Kumpul wang beli kitab

26 Dis
Sebagaimana menurut Dr.Raghib as-Sirjani dalam bukunya Spiritual Reading, hadis adalah sumber ilmu yang amat dititikberatkan untuk dikuasai oleh seorang pembaca khususnya seorang Muslim selepas kitab al-Quran. Mungkin bagi golongan yang mempunyai penguasaan agama yang tinggi dan sederhana dapat memahami dan mengetahui definisi hadis dengan baik.
Biasanya, kita membaca dan melihat hadis-hadis ini di televisyen, mendengarnya di radio, dalam buku-buku motivasi malahan dalam novel juga diselitkan oleh beberapa penulis.
Hadis boleh dimaksudkan sebagai sebarang perbuatan dan lafaz Rasulullah saw sepanjang kehidupan baginda dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada para sahabat dan kaum muslimin. Walau bagaimanapun, hadis terdiri daripada beberapa jenis yakni hadis sahih, hadis hasan, hadis daif dan hadis maudu’.
Alhamdulilah, semasa menunggu isteri di kedai rambut, saya menyempatkan diri membaca sebuah buku yang menerangkan secara terperinci tentang ilmu hadis. Dalam masa yang agak lama ketika menunggu, saya berpeluang menghabiskan buku yang nipis tetapi mempunyai zat yang besar dalam memahamkan tentang bidang ilmu tersebut kepada individu yang lemah seperti saya. Dengan membaca dan menghayatinya, saya amat berterima kasih kepada penulis buku tersebut kerana berjaya mengolah dan menulis pengenalan bidang ilmu hadis secara menarik dan amat mudah untuk difahami. Bukunya bertajuk Apa Itu Ilmu Hadis? karya  Hasnan Abu Bakar, terbitan PTS.
Buku ini sudah diulang cetak buat kali kedua. Tuan Hasnan dianggap telah berjaya mencapai tujuan penulisannya untuk memberikan kefahaman kepada pembaca tentang ilmu hadis. Dalamnya dimuatkan bagaimana sesuatu hadis itu diproses sehingga menjadi tatapan generasi kini. Apa yang menarik bagi saya yang serba kekurangan ini berasa kagum adalah mengenai satu pernyataan oleh penulis.
Bangsa Arab mempunyai ingatan yang kuat. Mereka mampu menghafal berpuluh-puluh baris syair yang didengar pada pertama kali tanpa perlu menyalinnya pada kertas. Malahan kelebihan ini turut dikuasai oleh para pengikut Nabi Muhammad saw. Mereka mampu menghafal setiap patah ayat al-Quran dan tutur kata baginda.
Itulah keadaan bangsa Arab pada suatu ketika dahulu yang mempunyai daya ingatan yang begitu kuat. Maka, dengan kelebihan ini mereka mampu menghafaz dan mengulang semula segala pesanan Rasulullah saw kepada kaum Muslimin yang seterusnya. Hadis ini disampaikan daripada satu generasi kepada generasi yang lain sehingga ianya akhir dibukukan oleh para tokoh agama. Antara tokoh agama yang paling berjasa dalam mencatat dan membukukan ilmu hadis adalah Imam Bukhari dan Imam Muslim sehingga kedua-dua kitab yang ditulis oleh mereka adalah kitab terbaik sebagai rujukan utama kepada orang Islam.
Tambahan lagi, teknik penyampaian oleh penulis dalam menjelaskan ilmu hadis juga amat menarik dan kreatif. Berserta dengan gambar rajah membuatkan pembaca lebih memahami apa yang disampaikan. Pelbagai teknik penjelasan yang digunakan bagi memudahkan pembaca untuk mendalami apa yang ingin disampaikan oleh penulis khususnya tentang perbandingan hadis-hadis dan juga bagaimana sesuatu hadis itu direkodkan berdasarkan kepada kriteria yang ada.
Contoh kitab hadis Shahih Bukhari
Selepas membaca buku ini, saya berasa senang dan lega kerana sudah lama ingin mendalami bidang hadis untuk rujukan dalam kehidupan seharian. Kini, saya sedang cuba menyimpan wang untuk membeli kitab hadis yang tinggi nilai harganya di pasaran. Diharapkan dengan pembacaan dan penghayatan daripadanya nanti membuatkan diri lebih mendekatkan kepada-Nya kerana kerendahan dan kelalaian diri.

 http://mesejabdul.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog