Sunat-sunat Dalam Sembahyang 

 

 

Memandang ke tempat sujud

Dalam kitab Sabilul-Muhtadin menyebut, 'Sunat mengekalkan tilik di dalam sekalian sembahyang kepada tempat sujud' (ms 228). Sama ada kita sembahyang bersendirian atau berjemaah, sama ada sebagai imam atau makmum, kita disunatkan memandang ke tempat sujud, sepanjang masa sembahyang kita. Sama ada kita sedang berdiri, rukuk, iktidal sehingga kepada saat-saat hendak sujud, mata kita sentiasa memandang ke tempat sujud. Ketika duduk antara dua sujud juga kita disarankan berbuat demikian. Bagi mereka yang pejam ketika sembahyang kerana baginya akan lebih khusyuk, maka hendaklah menundukkan kepalanya seperti sedang memandang ke tempat sujud.

Memandang ke tempat sujud ini meliputi semua keadaan dan suasana. Misalnya, jika kita sedang sembahyang mengadap kaabah sekalipun, hukumnya masih kekal, iaitu sunat memandang ke tempat sujud. Dalam kitab yang sama menyebut, 'dan jikalau ada ia di sisi kaabah atau di dalamnya sekalipun'. (ms 228).

Hukum ini meliputi juga bagi mereka yang buta atau yang sembahyang dalam kolam. 'dan jika ada ia buta atau di dalam kolam hendaklah ada kelakuannya seperti kelakuan orang yang menilik kepada tempat sujud'. (ms 228)

Mengapakah hukum ini diujudkan? Kitab yang sama menyebut, 'kerana yang demikian itu terlebih hampir kepada khusyuk, dan tempat sujudnya itu terlebih mulia'. (ms 288)

Tetapi ada ketikanya di mana kita tidak disunatkan memandang ke tempat sujud, iaitu ketika menyebut kalimah illal-llah ketika kita membaca tahyat awal dan tahyat akhir. Pada ketika itu kita disunatkan pula memandang kepada jari telunjuk. Dalam kitab menyebut, 'melainkan tatkala mengangkatkan telunjuk tatkala mengata illal-llah pada tasyhud, maka sunat baginya menilik kepada telunjuknya selama telunjuknya diangkatkan sehingga salam'. (ms 228)

Satu ketika lain yang tidak disunatkan ialah ketika kita sembahyang atas hamparan yang bercorak atau berlukis. Terpulanglah kepada anda untuk mentakrifkan corak dan lukisan yang dimaksudkan. Bandingkan dengan yang tersebut dalam kitab ini, yang menyebut, 'dan melainkan pada orang yang sembahyang atas hamparan yang bertulis dengan rupa haiwan dan lainnya yang melengkapi tulisannya itu pada tempat sujudnya, maka sunat baginya bahwasanya tidak menilik ia kepadanya'. (ms 228)

Khusyuk

Pada dasarnya khusyuk dalam sembahyang hukumnya sunat. Namun ada pendapat yang mengatakan bahawa khusyuk adalah satu daripada syarat sah sembahyang. Apakah yang dimaksudkan khusyuk dalam sembahyang?

Kitab ini menyentuh khusyuk dalam dua aspek, iaitu khusyuk dalam hati dan anggota, sebagaimana yang tercatat, 'Disunatkan di dalam sekalian sembahyang itu khusyuk dengan hatinya dan dengan sekalian anggotanya' (ms 229).

Khusyuk dalam hati iaitu menumpukan sepenuh hatinya terhadap sembahyang. Dengan kata lain, ketika dalam sembahyang, hati kita tidak terlintas langsung kepada perkara-perkara yang lain selain daripada yang berkait dengan sembahyang, iaitu bacaan-bacaan dan perbuatan-perbuatan dalam sembahyang, sebagaimana yang disebut dalam kitab berkenaan, 'Adapun khusyuk dengan hati, maka iaitu menghadirkan hati pada barang yang ia mengerjakandia seperti bahawa tiada dihadirkannya di dalam hatinya akan barang yang lain daripada barang yang ia di dalamnya' (ms 229).

Sehubungan ini, kitab ini juga memberikan contoh tentang perkara-perkara lain. Jika perkara yang dicontohkan ini berlaku dalam hati kita ketika sembahyang, akan dikira tidak khusyuk juga. Yang dimaksudkan ialah kita mengingat atau memikirkan dalam hati kita tentang akhirat. Kitab ini menyebut, 'dan jika ada yang lain itu taklik pada akhirat sekalipun' (ms 229).
Khusyuk anggota pula, kitab ini mencatatkan,

Adapun khusyuk dengan segala anggota maka iaitu mendiamkan dan menetapkan segala anggota seperti bahawa tiada digerakkannya dan tiada dipermainkan dengan salah satu daripadanya kerana bahawasanya Allah Taala telah memuji akan segala mereka yang khusyuk di dalam sembahyangnya.’


firmanNya () ertinya beroleh bahagia segala mukmin yang khusyuk mereka itu di dalam sembahyang mereka itu dan kerana bahawanya sembahyang dengan tiada khusyuk tiada pahala baginya.’ Tiada pahala bererti kita tidak mendapat apa-apa dari sembahyang kita. Mengapa tiada pahala? Telah disebutkan bahawa rukun-rukun sembahyang yang kita sempurnakan adalah hak Allah yang mesti ditunaikan, umpama kita membayar hutang kepada Allah yang menjadikan kita dengan segala rohani dan jasmani lengakap dengan segala pancaindera. Dengan menyempurnakan segala rukun yang ditetapkan sembahyang kita sah iaitu diterima Allah. Langsailah hutang kita. Tetapi apa yang kita dapat? Tiada pahala jika tiada khusyuk.

Dalam kitab yang sama, mencatatkan bahawa ada sesetengah pendapat yang menyatakan khusyuk itu sebagai satu syarat sah sembahyang. Dengan kata lain, tidak sah sembahyang jika tidak khusyuk; Kitab itu menyebut seperti berikut:

Dan lagi kerana bahawasanya ada bagi kita satu wajah yang mengatakan bahawa khusyuk itu satu syarat daripada segala syarat yang mengsahkan sembahyang.’ (ms 229)

Bagaimana cara mendapatkan khusyuk? Dicadangkan agar kita ibarat sedang berada dalam satu sesi bersama Allah s.w.t. Muka surat 229 kitab ini menyebut, 'Setengah daripada barang yang menghasilkan khusyuk bahawa menghadirkan yang sembahyang itu akan bahawasanya dirinya antara hadirat Tuhannnya yang amat besar kebesarannya dan kerajaannya, lagi yang amat tahu akan segala rahsia dan yang tersembunyi.’

Misalnya, apakah ertinya, ketika kita bersamaNya, sedang menghadapNya, tetapi hati dan perasaan kita ke tempat lain. Dalam kitab ini mencatatkan sebuah hadith, '() ertinya tiada bagi seorang daripada pahala sembahyangnya melainkan barang yang berakal ia dalamnya yakni barang yang hadir hatinya dalamnya.’ (ms229)

Satu cara lain untuk mendapatkan khusyuk ialah dengan memahami erti bacaan kita, atau yang sedang dibaca oleh imam ketika sembahyang berjemaan.

Dan disunatkan pula mentadbirkan akan qiraat yakni menghadirkan makna yang dibacanya akan dia daripada fatihah dan surah.’ (ms 229)

Antara yang menyebabkan kita tidak atau kurang khusyuk ialah gangguan fikiran kita tentang kerja-kerja yang belum selesai sebelumnya.

‘(Dan disunatkan) masuk kepada sembahyang itu dengan selesai hati daripada segala pekerjaan yang membimbangkan dia kerana bawasanya ia terlebih menolongi atas khusyuk.’ Sehubungan ini dalam satu ceramah di utara tanahair kita menyebut katanya, jika makanan sudah terhidang, ketika itu azan dilaungkan, maka kita diharuskan tidak perlu pergi berjemaah. Ini kerana dibimbangi kita tidak khusyuk sembahyang.
Wallahu-a'lam.

Comments

Popular posts from this blog