AL-QURANUL KARIM & HARI JUMAAT : Cukuplah kita menyatakan bahawa Hari Jumaat adalah satu hari yang perlu diagungkan oleh setiap umat Islam berdalilkan namanya dipilih oleh Allah Ta’ala untuk menghiasi satu surah daripada 114 surah di dalam Al-Quranul Karim .
Mengapakah Allah Ta’ala tidak menghiasinya dengan nama hari-hari selain Jumaat ?
Sudah tentulah disebabkan hari-hari selainnya tidak mempunyai keistimewaan yang hebat berbanding Hari Jumaat . Etika yang perlu kita laksanakan di Hari Jumaat digambarkan sendiri oleh Allah Ta’ala , Tuhan Yang telah menurunkan agama Islam ini menerusi surah tersebut. Di antaranya ialah tiga ayat terakhir daripada surah tersebut.
Firman Allah Ta’ala di dalam ayat 9 , 10 & 11 :Ertinya : “Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jum'at, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli . Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui “ . ~ Ayat 9 Ertinya : “Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung “.~ Ayat 10 Ertinya : “Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah: "Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan", dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezki “ . ~ Ayat 11 HADIST-HADIST SAHIH MENGENAI KELEBIHAN HARI JUMAAT : Sengaja kami membawa beberapa hadist sahih yang menyatakan akan kelebihan Hari Jumaat , agar tiada siapa yang dapat membantah sesuatu yang telah diterima oleh umat Islam dan yang telah menjadi ijma’ .
Hadist-Hadist sebagai mana berikut dan yang bertanda *** itu menunjukkan huraian ringkas daripada al-Ahkam online .
1 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seakan-akan dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam iaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar zikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid . ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rh – No : 881)
*** Fenomena berkerja di Hari Jumaat telah meyaksikan yang ramai dikalangan umat Islam tidak berkesempatan untuk merayakan Solat Jumaat melainkan setelah azan dilaungkan dan adakalanya tatkala khatib telah pun naik ke mimbar. Maka kalau begitu , bilakah umat Islam diberi peluang oleh pihak berkuasa / majikannya untuk mendapat pahala @ fadhilat walaupun seumpama sebiji telur ayam !? .
2 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu *** Di dalam kitab “ Bulughul Maram “ yang memuatkan hadist-hadist hukum , Al-Imam al-Hafiz Ibnu Hajar as-‘Asqolani ( rh ) telah membawa hadist di atas dengan mempunyai sambungannya lagi iaiatu dengan lafaz yang maknanya : (( sambil dia – Baginda Rasulullah s.a.w – mengisyaratkan dengan jarinya yang membawa erti masa yang amat sedikit à Lihat hadist di dalam kitab tersebut . Nombor : 487 – Hadist ini diriwayatkan bersama oleh Al-Imam al-Bukhari r.h dan Imam Muslim r.h )) . *** Almarhum Ustadz A. Hassan Bandung ( rh ) ketika menghuraikan hadist di atas , beliau menyatakan : “ Waqtu yang sangat maqbul du’a seseorang padanya itu amat sedikit ; dari itu, hendaklah kita terus beri’badat dan berdu’a supaya kebetulan du’a kita kena di sa’at itu “ . ( Lihat Tarjamah Bulughul Maram ~ ms 251 , Terbitan : c.v Diponegoro, Bandung ) .
3 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok dan kaum Nasrani lusa ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rh – No : 876 ) *** Hadis ini sendiri memberi erti bahawa Hari Jumaat merupakan hari kebesaran umat Islam. Manakala kaum Yahudi menyambut hari kebesaran mereka pada Hari Sabtu ( Sabbath ) dan orang-orang Kristian pula membesarkan Hari Ahad .
4 - Ertinya : Daripada Ibnu Sabbaq ( r.a ) . Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda di satu Hari Jumaat daripada beberapa Hari Jumaat lain : “ Wahai seluruh orang-orang Islam ! . Sesungguhnya hari ini adalah hari yang Allah jadikan ia sebagai satu hari raya. Maka , hendaklah kamu melakukan mandi ( mandi sunat hari Jumaat ), dan sesiapa yang mempunyai wangi-wangian , maka tidaklah mengapa jika dia mempergunakannya dan hendaklah kamu semua menggosok gigi “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan Oleh Al-Imam Malik Bin Anas ( rh ) di dalam Al-Muwattho’ ( Bab At-Toharah : Hadis ke-59 ) . *** Hadis ini dengan jelas menyebut mengenai Hari Jumaat sebagai salah-satu Hari Perayaan umat Islam . Imam Abu Sa’ad ( rh ) dan Ibnu Suraqah ( rh ) dengan jelas telah menyatakan dengan pasti bahawa pengkhususan itu bererti keistimewaan bagi umat Islam ( lihat kitab Sharful Mustofa ) . Maka siapakah lagi yang berani membantah hadis ini dengan mengengkari keistimewaan Hari Jumaat ? .
5 - Ertinya : Daripada Saidina Salman al-Farisi ( r.a ) , dia berkata : Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda : “ Tidaklah seseorang itu mandi pada Hari Jumaat , menyucikan diri sedaya-upayanya , menghiasi rambutnya dan memakai wangi-wangian yang terdapat di rumahnya, lalu dia keluar ( menuju masjid untuk menunaikan Solat Jumaat ) dan tidak pula dia melangkah bahu-bahu makmum yang datang berada di hadapannya, kemudian dia menunaikan solat menurut keupayaannya ( solat sunat tahiyatul masjid ) , selepas itu dia berdiam diri ( mendengar dengan teliti ) apa yang disampaikan oleh imam ( menerusi khutbahnya ) melainkan dosa-dosanya akan diampun di antara Hari Jumaat itu dengan Jumaat berikutnya “ .~ ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rh – No : 883 )
6 -Ertinya : Daripada Saidina Abu Hurairah ( r.a ) , daripada Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Janganlah kami mengkhususkan malam Jumaat daripada malam-malam selainnya untuk melakukan qiyamullail , dan janganlah pula kamu mengkhususkan Hari Jumaat selain daripada hari-hari selainnya untuk kamu berpuasa , melainkan jika kebetulan hari puasa ( wajib ) itu jatuh pada hari itu “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim ( rh ) di dalam Kitab As-Siyam dan lihat juga Bulughul Maram oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-‘Asqolani ( rh ) – Hadis ke-707 . *** Mengapakah tidak dibenarkan mengkhususkan puasa ( sunat) pada Hari Jumaat itu kalau bukannya disebabkan Hari Jumaat mempunyai kedudukan yang sama dengan Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil Adha !? .
7 - Ertinya : Daripada Saidina Abu Hurairah ( r.a ) , sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “ Sembahyang 5 Waktu itu , Hari Jumaat ke Hari Jumaat berikutnya dan Bulan Ramdhan ke Bulan Ramadhan seterusnya, semuanya itu adalah penebus dosa-dosa di antara waktu-waktu tersebut selagi dijauhi dosa-dosa besar “ .~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad ( rh ) di dalam Jilid 2 , halaman 360 ( no. hadist : 8700 ) , Sahih Al-Imam Muslim ( rh ) – Kitab At-Toharah , No : Hadist : 233 , At-Targhib Wat Tarhib ( 2 / 92 ) , Sunan Imam At-Tirmidzie ( rh ) Abwab As-Solah : 120 , No : 214 – Jamie’ As-Soghir ( 5170 ) dan Al-Fiqhul Islamiy Wa Adillatuh ( Jilid 2 , ms 1282 ).
*** Al-Imam al-Hafiz as-Suyuti ( rh ) telah menulis sebuah kitab khusus ( Khususiyyat Yaum al-Jum’ah ) berkenaan dengan kelebihan Hari Jumaat ini ,dan dinyatakan bahawa di antara kelebihannya ialah :
1 – Roh-roh dihimpunkan pada hari itu . 2 – Disunatkan menziarahi kubur pada hari itu. 3 – Penghuni-penghuni kubur merasa aman pada hari itu daripada azab kubur. 4 – Orang yang mati pada hari itu , ataupun malam itu , diselamatkan daripada azab kubur. 5 – Tidak dinyalakan nyalaan api neraka pada hari tu . 6 – Para penghuni syurga menzirahi Tuhan mereka , Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Lihat -> Ad-Durrul Mukhtar Wa Raddul Muhtar ( 1 / 770 ) , Al-Badai’e ( 1 / 270 ) , Bidayatul Mujtahid ( 1 / 127 ) , Al-Qawaninul Fiqhiah ( 31 ) , Al-Muhazzab ( 1 / 110 ) , Hasyiah Imam Ad-Dusuqi ( 1 / 386 ), Mughny Al-Muhtaj ( 1 / 25 ) dan Al-Fiqhul Islamiy Wa Adillatuh ( 2 / 1282 ).
BEBERAPA KEKELIRUAN DAN PENJELASANNYA : Isu pertukaran hari kelepasan am daripada Hari Jumaat kepada Hari Ahad begitu hangat dibicarakan di kalangan umat Islam Malaysia, khasnya apabila Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO & Barisan Nasional ( BN ) berusaha menukar hari cuti mingguan tersebut di Negeri Perlis Indera Kayangan dan Johor Darul Takzim pada tahun 1994 .
Berikut , kami bawakan beberapa kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang tidak suka Hari Jumaat ditabalkan sebagai Hari Kelepasan Am ( Cuti Mingguan ) , dan sanggahan serta penjelasan terhadap kekeliruan ( kebebalan ? ) tersebut .
1 – Pertama : “ Alahai ! , apalah nak dibising-bisingkan apabila ditukarkan cuti drp Hari Jumaat kpd Hari Ahad , bukankah kita pun sebelum ini dah biasa bercuti pada Hari Ahad !? “ . Jawapan Kami : Memang pertukaran hari kelepasan am ini merupakan satu isu yang perlu dipandang sensitif oleh setiap umat Islam kerana ianya sendiri melibatkan maruah umat Islam dan syiar-syiar kebesaran Islam . Oleh itu , ianya memang perlu di”bising-bising”kan . Dakwaan yang mengatakan bahawa kita sebelum ini sudah biasa bercuti pada Hari Ahad adalah bohong semata-mata ! . Kita ( orang-orang Islam ) sebelum kedatangan penjajah , sama ada dari Portugal, ataupun Belanda , ataupun Inggeris , semua negeri-negeri di Tanah Melayu telah beramal dengan undang-undang Islam . Dan mereka juga telah menjadikan Hari Jumaat sebagai hari cuti mereka. Dan amalan ini masih terus berkekalan di negeri-negeri yang diperintah oleh umat Islam yang peka terhadap hal ini seperti Kelantan Darul Naim , Terengganu Darul Iman dan Negara Brunei Darussalam sendiri masih menjadikan Hari Jumaat sebagai Hari Kelepasan Am ! . Apabila penjajah-penjajah Barat yang beragama Kristian berjaya menjajah tanah air kita , mereka berusaha memadamkan syiar-syiar kebesaran Islam termasuklah Institusi dan Kedaulatan Hari Jumaat . Namun usaha mereka itu tidak berjaya sepenuhnya sehinggalah diteruskan pula oleh penjajah yang “ berkulit samo-matang “ dan “ berhidung pesek “ ! . Portugis, Belanda dan Inggeris tidak berjaya memusnahkan kebesaran Hari Jumaat , akan tetapi “ boneka-boneka penjajah” itulah yang telah berjaya melakukannya ! .
: 2 – “ Tidakkah di dalam ayat 10 , Surah Al-Jum’ah sendiri menyatakan bahawa hendaklah kita bertebaran di atas muka bumi Allah Ta’ala di hari Jumaat . Bertebaran di sini ialah untuk mencari kurniaan-Nya Ta’ala. Ini bermakna hendaklah kita berkerja , bukannya menyambutnya sebagai Hari Kelepasan Am “. Jawapan : Ya , memang benar kita dituntut untuk bertebaran mencari rezeki di muka bumi Allah Ta’ala ini selepas menunaikan Solat Jumaat . Akan tetapi tuntutan ini menurut Ilmu Usul Fiqh adalah bersifat ( LIL IBAHAH ) – Menunjukkan keharusan semata-mata . Maka tidak patut dikatakan bahawa tuntutan itu bermaksud WAJB sehingga semua orang mestilah berkerja selepas menunaikan sembahyang Jumaat. Saidina Ibnu ‘Abbas ( r.a ) sendiri sebagai seorang sahabat yang paling terkemuka tidak pernah pula berhujah dengan ayat 10 daripada Surah Al-Jum’ah itu untuk mewajibkan berkerja selepas sembahyang Jumaat dilaksanakan . Malahan beliau ( r.a ) sendiri menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “ bertebaranlah kamu di atas muka bumi dan carilah kurniaan Allah “ di dalam ayat tersebut ialah tuntutan untuk mengeratkan silatur-rahim seperti menziarahi orang yang sakit, melawat jenazah dan menziarahi saudara-mara dan seumpamanya . Bukankah mengeratkan silatur-rahim itu sendiri termasuk di dalam pengertian rezeki ? . Mengeksploitasi ayat di atas demi mewajibkan berkerja di Hari Jumaat adalah tindakan menyalah-gunakan ayat-ayat Al-Quran dan tafsiran seperti itu sendiri tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ulama’ sebelum ini . : Yang jelas itu hanyalah dalil ( dalih ? ) untuk terus menghapuskan syiar-syiar kebesaran Islam ! . Kita juga suka untuk bertanya dengan orang yang berdalih dengan mengeskploitasi ayat-ayat Al-Quran , ikhlaskah orang-orang yang berhujah dengan menggunakan Al-Quranul Karim ini demi mencari-cari hujah untuk tidak dibenarkan Hari Jumaat dijadikan hari kebesaran umat Islam ? . Kalau benar-benar ikhlas , mengapakah mereka tidak meneliti terlebih dahulu Firman-Firman Allah Ta’ala sebelum mereka menyerang umat Islam di Kg. Memali , Baling pada tahun 19 November 1985 ? . Mengapakah tidak diteliti terlebih dahulu Al-Quran sebelum diluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) ? , Kanun Tanah Negara ? , Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan ? , AUKU ? , Pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara ? , Menjemput Pasukan Kriket Israel ? , Membenarkan atlit-atlit wanita separuh bogel di padang dan trek sukan ? , Membenarkan FRU memasuki rumah-rumah Allah Ta’ala dengan tidak menanggalkan kasut-kasut mereka dan menangkap seorang tua yang sedang beriktikaf di dalamnya ? dan di manakah penelitian mereka terhadap Al-Quran sebelum mereka mengisytiharkan “ perang “ terhadap Sekolah-Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) !??
3 – “ Di dalam Islam sendiri tidak ada satu pun hari cuti . Sebenarnya amalan bercuti ini adalah dipinjam daripada tradisi Yahudi yang mengharamkan segala aktiviti dan perkerjaan di hari Sabtu dengan hujah untuk memuliakannya dengan beribadat. Maka apakah kita perlu meniru-niru Yahudi dengan mengkhususkan satu hari seperti Hari Jumaat itu untuk bercuti ? “ . Jawapan : Memang di dalam Islam tiada isitilah CUTI di dalam melaksanakan ibadah dan daripada mengingati Allah Ta’ala . Dan isu cuti mingguan juga tidak timbul kalau kita semua memang telah sepakat untuk terus berkerja seminggu 7 hari tanpa mahu kepada cuti mingguan . Tapi siapakah yang pula mahu menjadi terlampau rajin tak bertempat seperti itu ? . Maka , isu ini secara automatik timbul apabila kita sendiri mahukan ada di dalam satu minggu , satu hari kelepasan dan cuti, di mana pada hari itulah kita dapat menenangkan fikiran , merehatkan badan , lebih bermesra dan memberi perhatian kepada anggota keluarga dan saudara-mara , mempunyai kesempatan yang lebih untuk menimba ilmu pengetahuan . Bukan itu sahaja , malahan senario hari ini telah memperlihatkan bahawa majoriti rakyat negara kita mahukan 2 hari di dalam seminggu sebagai hari kelepasan am ( cuti ) demi merapatkan hubungan kekeluargaan dan demi menimba ilmu pengetahuan . Dan sudah pastilah kita tidak mahu mencontohi rakyat Jepun yang terlalu rajin berkerja sehingga menimbulkan banyak konflik rumah-tangga dan hilangnya sifat kemanusiaan yang mengambil berat masalah hubungan kekeluargan ini . Bahkan kebanyakan mereka sendiri sudah menjadi seperti robot yang hanya dicipta untuk berkeja . Sesuailah dengan fantasi mereka yang suka kepada khayalan-khayalan seperti Ultraman , Pokaemon dan Doraemon ! . Tapi , adakah budaya seperti itu sesuai dengan rakyat negara kita yang masih mengutamakan hubungan kekeluargaan dan kejiranan !? . Inilah satu fenomena tragis yang pernah digambarkan oleh Asy-Syahid Syed Qutb ( rh ) yang menyatakan bahawa pembangunan kini rata-ratanya lebih menjurus kepada kehancuran nilai-nilai kemanusiaan ataupun dehumanisasi, di mana manusia sekarang kebanyakannya telah dipupuk dengan ciri-ciri kerobotan dan kehaiwanan . Memang di zaman Baginda Rasulullah s.a.w sendiri tidak diisytiharkan Hari Jumaat sebagai hari kepasan am . Akan hari cuti sebagai mana yang dilaksanakan oleh orang-orang Yahudi sehingga tidak membenarkan sebarang aktiviti tetapi selepas luasnya empayar pemerintahan Islam dan dengan makin majunya negara-negara di dunia yang melahirkan berbagai-bagai masalah yang kompleks , maka lahirlah kehendak manusia untuk bercuti selepas penat-lelah berkerja di dalam seminggu .Dan di dalam sejarah umat Islam , Kerajaan Islam Utsmaniah ( Ottoman ) pernah mengisytiharkan Hari Jumaat sebagai hari kelepasan am demi menyambut tuntutan semasa dan demi memberi peluang untuk umat Islam bersegera ke masjid pada hari Jumaat . Dan keputusan ini diikuti pula oleh semua jajahan empayar tersebut termasuklah kesultanan Melayu di Asia Tenggara . Ya , memang dalam Islam , memang tidak ada konsep bercuti sebagai dikumandangkan ! . Tidak sedikit umat Islam yang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat di atas alasan ianya menganggu produktiviti sektor-sektor perkilangan . Apakah kita mahu nasib umat Islam yang merupakan majoriti rakyat negara kita yang tercinta ini terus-menerus diabaikan dan dizalimi !?. Maka , kalau mahu bercuti , bukankah Hari Jumaat ini lebih dijalankan. Dan memang pada Hari Jumaat itu sendiri kita boleh berkerja , akan tetapi semua sektor perkerjaan hendaklah ditutup tatkala azan Jumaat dilaungkan demi meraikan syiar Islam tersebut . Dan kalau mahu terus berkerja , silalah berkerja selepas menunaikan Solat Jumaat itu , bukannya dibenarkan umat Islam terus berkerja walhal azan Jumaat sedang layak dipilih sebagai hari cuti !? . Dan ini sendiri sememangnya tuntutan majoriti rakyat termasuklah orang-orang bukan Islam di dalam negara kita pun mahu ada hari cuti mingguan . Dan ini juga sama-sekali tidak bertentangan dengan semangat kuat berkerja yang dimiliki oleh rakyat negara kita . Umat Islam Malaysia sendiri sememangnya mahukan Hari Jumaat dipilih sebagai Hari Cuti Mingguan agar mereka mempunyai kesempatan untuk bersegera ke rumah-rumah Allah Ta’ala . Maka , tidak timbullah sikap tergesa-gesa mengejar masa , mencari kenderaan ataupun mencari tempat parking dalam keadaan kelam-kabut. Malah , kalau khutbah Jumaat itu panjang sedikit, tidak akan ada sungutan para jemaah. Umat Islam akan lebih berpeluang untuk menunaikan ibadat Jumaat dengan tenteram tanpa perlu terkejar-kejar .
4 – “ Alah ! , kalau kita bercuti pada Hari Jumaat sekalipun , orang-orang yang malas tetap tidak akan pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat . Maka apalah perlunya kita bercuti di hari tersebut !? “ . Jawapan : Kata-kata di atas juga jelas lahirnya daripada orang-orang yang sudah tiada sensitivititerhadap segala isu yang menyentuh perasaan umat Islam . Dan ia juga merupakan satu gejala kebodohan dan kebebalan yang telah meresap masuk membeku ke dalam pemikiran sebahagian manusia yang masih terus-menerus mendakwa diri sebagai mukmin sejati . Isu ada sebahagian umat Islam yang malas dan tidak menunaikan sembahyang Jumaat itu BUKANLAH SATU HUJAH YANG MUNASABAH untuk mengatakan bahawa tidak boleh kita menyambut Hari Jumaat sebagai Hari Cuti Mingguan . Sebab orang yang malas menunaikan sembahyang Jumaat tetap tidak akan menunaikannya meskipun Hari Ahad dijadikan Hari Cuti Mingguan !!!. Masalah ini sebenarnya berkaitan dengan masalah penguatkuasaan yang mesti diperkemaskan oleh pihak pemerintah / majikan kerja. Sebaliknya , pihak pemerintah dan majikan kerja akan berdosa jika ada di kalangan pekerja-pekerjanya yang beragama Islam , yang tidak dapat menunaikan sembahyang Jumaat disebabkan halangan kerja , walaupun seorang sahaja yang meninggalkannya ( tanpa uzur yang dibenarkan di dalam syarak ) . Dan dakwaan di atas , kalau mahu diterima juga , maka sudah tentu kaedah logik yang tidak logik di atas kena juga dilaksanakan di sekolah-sekolah . Mengapa pula begitu ? . Sebab , asal-usul didirikan sesebuah sekolah adalah untuk mendidik murid-murid menjadi manusia yang berjiwa manusia dan bertamadun serta berahklak mulia, maka adakah disebabkan ada sebahagian murid-murid yang berakhlak buruk dan berjiwa kebinatangan menyebabkan kita perlu membubarkan sekolah dan tidak perlu mewujudkan sekolah kepada anak-anak kita !? . Tidakkah pemikiran seperti itu hanya lahir daripada manusia yang tidak reti berfikir !!?? .
5 – “ Bercuti Hari Jumaat akan menyebabkan sukar dijalankan perhubungan dengan sektor-sektor kewangan di negara-negara lain dan ini akan menyumbang kepada kemelesetan ekonomi dan produktiviti negara “ . Jawapan : Ini juga salah-satu contoh kebebalan fikiran yang terhasil hasil penjajahan Barat menerusi serangan-serangan pemikiran ke atas umat Islam . Sesungguhnya kepesatan pembangunan sesuatu negara tidak semestinya terganggu disebabkan bercuti pada Hari Jumaat . Sebaliknya bercuti pada Hari Ahad juga tidak semestinya menjanjikan kejayaan di dalam sektor pembangunan dan produktiviti negara . Lihat sahaja negara kita yang menjadikan Hari Ahad sebagai Hari Cuti Mingguan . Apakah selama kita bercuti pada Hari Ahad , kita berjaya menjadi kuasa besar dunia setanding USA , China ataupun Russia ? . Adakah kita mampu menjadikan Ringgit Malaysia ( RM ) kita setanding dengan US Dollar ? . Adakah kita mampu mencipta senjata-senjata yang canggih lagi sofistikated untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman-ancaman musuh , ataupun kita hanya berbangga dengan mencipta “ Styer-47 “ dan “ Meriam Buluh “ semata-mata ? . Adakah selama kita bercuti Hari Ahad ini menyebabkan kita mampu mencipta banyak kenderaan sendiri sebagai mana USA , Jerman , Jepun dan Korea , ataupun kita hanya mampu mencipta kereta dengan “ meminjam “ teknologi negara-negara asing , ataupun hanya mampu mencipta kereta daripada tin-tin Milo ? . Ini sendiri menjadi bukti bahawa bercuti di Hari Ahad tidak semestinya menjadikan negara kita pesat membangun dan menjadi kiblat dunia di dalam sektor pembangunan . Apatah lagi , kami difahamkan bahawa negara Jepun dan Korea sendiri tidak menjadikan Hari Ahad sebagai Hari Cuti Mingguan , sebaliknya Hari Isnin ataupun Selasa ( kalau tak silap kami ) . Dakwaan di atas juga tertolak dengan perbezaan masa di antara negara-negara dan juga tertolak dek kecanggihan sistem perhubungan di abad ini . Ini kerana kalau di negara kita jam 12.00 tengahari , maka di U.K jam 3.00 pagi ! . Di Mesir pula jam 6.00 pagi ! . Di New Zealand pula jam 3.00 petang !. Dan sudah tentulah di Jepun , USA , Kanada , dan lain-lain semuanya tidak mempunyai masa yang sama dengan negara kita . Ertinya , jika bursa saham dan bank-bank negara kita dibuka pada sesuatu waktu , maka belum tentu lagi bursa saham dan bank-bank di negara-negara lain mesti dibuka di waktu itu . Oleh kerana perbezaan waktu itu sendiri tidak menyebabkan hubungan di antara sesebuah negara dengan negara lain terganggu, apatah lagi dengan adanya berbagai teknologi perhubungan yang canggih seperti faks , komputer dan internet , maka tidak ada sebab untuk kita menerima dakwaan yang menyatakan bahawa bercuti di Hari Jumaat menyebabkan pembangunan negara terbantut disebabkan sukar berurusan dengan negara-negara lain !!! . Dalam hubungan perjanjian untuk membangun rantau segi tiga yang ditandatangani oleh negara kita, maka umat Islam mendominasi hubungan tersebut, sama ada ianya di dalam kawasan segi tiga utara ( Indonesia , Malaysia dan Thailand ) ataupun kawasan segi tiga selatan ( Riau, Indonesia – Johor Bharu, Malaysia – Singapura ) . Umat Islam merupakan pihak majoriti di dalam perjanjian ini . Maka apakah tidak patut umat Islam yang menjadi majoriti ini diberikan hak untuk mengagungkan syiar kebesaran agama mereka seperti syiar Hari Jumaat ini ? Tidak ada satu perundangan di dalam dunia ini yang menyatakan bahawa suara minoriti hendaklah diutamakan daripada suara majoriti . Maka sekiranya di dalam Negara Malaysia itu sendiri , majoritinya beragama Islam , maka apakah patut “dibenamkan” kehendak mereka ini dengan lebih mementingkan golongan yang bukan Islam ( sebagai minoriti ) ?. Bukankah ini pelik bin ajaib alias hairan !? . BERSAMBUNG INSYA-ALLAH………TO BE CONTINUE ( PART – II ) Semoga ada manfaatnya bersama Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .
RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN ] 1 - FATHUL BARI BI SYARH SAHIH AL-IMAM AL-BUKHARI ( RH ) Oleh : Syeikhul Islam Al-Hafiz al-Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqolani ( rh ) Jilid 3 , Halaman 24 Terbitan : Darul Fikr , Beirut 2 - AL-MUWATTO’ WAT TA’ALIQ al-MUMAJJAD ‘ALA MUWATTO’ MUHAMMAD Oleh : Al-Imam Al-Kabir Malik ( rh ) & Al’-‘Allamah al-Muhaddist Al-Lucknowi ( rh ) Jilid 1 , halaman 295 – 296 Terbitan : Darul Qalam , Damsyiq 3 - AL-MUSNAD LIL IMAM AHMAD BIN HANBAL ( RH ) Dihuraikan Oleh : Al-‘Allamah Asy-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir ( rh ) Jilid ke-8 , ms 396 Terbitan : Darul Hadist , Kaherah . 4 - SYARH SAHIH AL-IMAM MUSLIM ( RH ) Komentar Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily ( ha ) Terbitan : Darul Khayr , Beirut 5 - AL-FIQHUL ISLAMY WA ADILLATUH Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Wahabah Az-Zuhaily ( ha ) Terbitan : Darul Fikr al-Mu’asir , Beirut 6 - BIDAYATUL MUJTAHID WA NIHAYATUL MUQTASID Oleh : Al-‘Allamah Al-Imam Ibnu Rusyd ( rh ) Terbitan : Darul Fikr , Beirut 7 - TARJAMAH BULUGHUL MARAM Oleh : Almarhum Ustadz A. Hassan Bandung ( rh ) Terbitan : c.v DIPONEGORO Bandung 8 - UMNO PEMUSNAH INSTITUSI JUMAAT Terbitan : Dewan Pemuda PAS Pusat ( 1994 ) 15 / Dzulqa’edah / 1423 H 17 / Januari / 2003 M JUMAAT – Bandaraya Kaherah
Pendekar ® :duel2 http://al-ahkam.com.my/forum
http://nuraiman.wordpress.com/2008/04/13/cuti-hari-jumaat
Comments
Post a Comment