ELAKKAN PERKARA MAKRUH DALAM SOLAT




(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ibadat sembahyang terdiri daripada syarat-syarat, rukun-rukun, perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan lain-lain lagi yang wajib dipelajari dengan mendalam oleh setiap muslim agar tidak akan berlaku kesilapan ketika melaksanakannya. Kesilapan yang dilakukan dalam sembahyang akan mendatangkan kerugian kerana ianya merosakkan kesempurnaan pahala sembahyang. Salah satu jalan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala sembahyang adalah dengan mengelakkan diri dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang. Makruh ialah meninggalkan sesuatu perkara yang dibenci dan akan diberi ganjaran pahala bagi orang yang meninggalkannya, sementara itu tidak pula berdosa bagi yang melakukannya. Walaubagaimanapun, melakukannya akan mendatangkan kerugian kerana kehilangan pahala.

Perkara Makruh Dalam Sembahyang
 
Melakukan perkara makruh dalam sembahyang boleh mendatangkan kesan kepada kesempurnaan pahala sembahyang. Oleh yang demikian, dengan mempelajari secara mendalam tentang setiap perkara yang berkaitan dengan sembahyang akan dapat mengelakkan seseorang dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang itu.
Antara perkara makruh dalam sembahyang:

1. Meninggalkan perkara sunat dalam sembahyang

2. Menoleh
Makruh menoleh ke kanan atau ke kiri ketika dalam sembahyang jika tidak ada hajat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu
‘anha, katanya:
“Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang menoleh dalam sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Ianya adalah satu curian, iaitu syaitan
mencuri (kekhusyu‘an) dari sembahyang seorang hamba dengan (perbuatan) menoleh itu”.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Berkata Adzra‘ie Rahimahullah: “Jika dia senghaja melakukannya, sedangkan dia tahu perbuatan menoleh itu adalah makruh, maka hukumnya haram, bahkan menjadi batal jika dia melakukannya
secara olok-olok (main-main).”
Jika seseorang menolehkan mukanya dan berpaling dadanya dari kiblat, maka batal sembahyangnya.
Melirik-lirikkan mata atau mengerlingkan mata tanpa menolehkan muka adalah harus.

3. Mendongakkan muka ke langit
Makruh mendongakkan muka atau pandangan ke langit ketika di dalam sembahyang, walaupun bagi orang buta.
Anas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bagaimanakah keadaan kaum yang mendongak pandangan mereka ke langit di dalam sembahyang mereka?” Baginda mengeraskan percakapannya tentang perkara itu sehingga Baginda bersabda: “Demi sesungguhnya mereka hendaklah menghentikannya (mendongak ke langit ketika sembahyang), atau demi sesungguhnya akan disambar pandangan mereka itu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Begitu juga makruh melihat atau merenung benda-benda yang boleh mengalihkan perhatian dari sembahyang seperti melihat atau merenung tanda-tanda pada baju atau sebagainya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang pada kain segi empat yang ada padanya tanda-tanda. Baginda memandang kepadanya dengan sekali pandangan. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda bersabda: “Pergilah dengan kain segi empat yang ada tandatanda ini kepada Abu Jaham, dan bawalah kepadaku kain tebal (yang tidak ada tanda) milik Abu Jaham. Sesungguhnya kain segi empat yang bertanda itu membuatkan aku lengah (lalai) dari sembahyangku.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghantar kain segi empat yang ada tanda-tanda tersebut kepada Abu Jaham Radhiallahu ‘anhu kerana beliau yang menghadiahkannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullah dalam kitab Muwattha’.

4. Melipat rambut atau melipat baju
Makruh melipat rambut seperti menyanggulnya atau memasuk - masukkannya ke bawah serban ketika di dalam sembahyang.
Begitu juga makruh melipat baju seperti melipat lengan bajunya dan lain-lain lagi.
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk bersujud pada tujuh anggota tubuh dan tidak melipat rambut atau pakaian (pada waktu sembahyang). Anggota-anggota itu adalah dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Meletakkan tangan di mulut

Makruh meletakkan tangan di mulut tanpa ada hajat atau tujuan. Begitu juga dengan perbuatan mematah-matahkan jari atau mencelah-celahi jari, meletakkan tangan di hidung atau di mulut. Ini kerana, perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan khusyu‘ dalam sembahyang.
Makruh menguap dalam sembahyang pada keadaan dirinya mampu untuk menahan dari menguap. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
َ“Adapun menguap itu, maka sesungguhnya ianya adalah daripada (gangguan) syaitan, maka tegahlah ia (tegah diri dari menguap) selagi mampu. Maka apabila seseorang berkata: “haa”, ketawalah (kerananya) syaitan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, sunat meletakkan tangan di mulut ketika menguap di dalam sembahyang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tangan yang digunakan untuk menutup mulut ketika menguap:
• Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah: boleh menggunakan antara tangan kanan atau kiri bagi tujuan tersebut.
• Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah: sunat digunakan tangan kiri.
• Menurut Imam Syabramallisi dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallah: Adalah lebih utama menggunakan belakang telapak tangan sebelah kiri.






Dipetik daripada: Pejabat Mufti Brunei Darussalam

perkara haram daan makruh
1

Comments

Popular posts from this blog