Bab 3: Jual Beli

Bab Jualbeli :-
1. Jualbeli dari istilah bahasa ialah menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dari istilah syarak ialah menukar harta dengan harta mengikut cara-cara yang tertentu.
2. Dalil-dalil harus dan halal jualbeli:
1) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Dan Allah s.w.t telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah : ayat 275)

2) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
" Janganlah kamu makan harta yang ada di antara kamu dengan jalan batil melainkan dengan jalan jualbeli secara redha daripada engkau." (Surah An-Nisaa' : Ayat 29)

3) Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-
"Sesungguhnya jualbeli itu adalah lahir dari redha-meredhai."
(Riwayat Ibnu Hibban)

3. Hikmah diharuskan jualbeli :-
1. Allah s.w.t telah menjadikan sifat semulajadi manusia yang memerlukan pertukaran faedah harta di antara sesama manusia samada menerusi jualbeli, sewa-menyewa dan sebagainya.
2. Dengan adanya peraturan jualbeli ini maja akan terhindarlah kejadian rampas-merampas atau rompakan yang mana manusia ingin memiliki harta benda yang tiada padanya.
3. Berjualbeli adalah mengajar manusia supaya hidup bersatupadu dan hidup mengikut lunas undang-undang.
4. Rukun jualbeli terbahagi kepada enam :-
1. Penjual
2. Pembeli
3. Harga yang dibeli
4. Barang yang dijual
5. Sighah (lafaz penjual)
6. Qabul (lafaz pembeli)

5. Syarat-syarat penjual dan pembeli :-
1. Baliqh dan berakal
2. Tidak bankrap atau bodoh
3. Tidak dipaksa
4. Beragama Islam
5. Merdeka
6. Bukan berurusan dengan Musuh Islam.

6. Syarat-syarat harga dan barang yang dijual:-
1. Barang-barang itu mestilah suci dan bersih.
2. barang itu kepunyaan penjual itu sendiri ayau wakil penjual
3. Menyerahkan barang kepada pembeli ketika melakukan akad jualbeli.

Sebagaimana sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-
"Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullah s.a.w telah melarang dari menjual jualan secara tipu daya."

4. Penjual dan pembeli mesti tahu tentang jenis, kadar dan sifat barang yang dijual.
7. Syarat-syarat Ijab (lafaz Penjual) dan Qabul (lafaz Pembeli)
1. Tidak diselangi oleh perkataan yang lain ketika akad jualbeli.
2. Tidak diselangi oleh diam yang lama di antar ijab dan Qabul
3. Bersamaan Ijab dan Qabul dari segi maknanya walaupun berlainan dari segi lafaznya.
4. Tidak boleh dihadkan waktunya.
5. Tidak boleh bertakliq.

8. Apabila tidak cukup rukun dan syaratnya maka jualbeli tersebut adalah tidak sah.
9. Syarat membeli kitab suci Al-Quran dan kitab Al-Hadith itu hendaklah ia beragama Islam.
10. Beberapa persoalan yang melibatkan jualbeli :-
1. Tidak sah menjual binatang buas.
2. Tidak sah menjual sesuatu yang najis yang tidak dapat disucikan.
3. Tidak sah menjual harta benda yang telah digadaikan kepada orang lain melainkan dengan keizinan daripada orang yang memegang gadaian.
Bab 4 : Riba
1. Maksud Riba’.
- Pada bahasa ialah bertambah atau subur.
- Pada Syarak ialah aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika aqad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.

2. Riba’ terbahagi kepada tiga bahagian :-
a) Riba’ Al-Fadhl – riba yang dibayar lebih pada satu pihak yang menukarkan barang.
Contohnya : Satu kilo beras mahsuri ditukar dengan satu kilo beras yang lain ( berlainan kualiti dan jenis ).

b) Riba’ Al-Yad - riba’ yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli.
Contohnya : Seseorang yang beraqad sebanyak RM 100.00 tetapi
apabila diluar aqad dibayar RM 105.00.

c) Riba’ Al-Nasi’ah – riba’ yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya.
Contohnya : Pinjaman sebanyak RM 100.00 maka dibayar balik
RM 120.00

3. Dalil-dalil pengharaman riba’
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’. ”
( Surah Al – Baqarah – Ayat 275 )

- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu makan riba’ yang berganda-ganda dan takutlah kamu kepada Allah s.w.t mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.”
(Surah Ali Imran – Ayat 130)

- Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :
“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba’ orang yang berwakil padanya dan jurutulisnya dan saksi-saksinya dan mereka berkata mereka itu sama sahaja. “
(Riwayat Muslim)

4. Hikmah diharamkan riba’

- Riba adalah merupakan satu penindasan dan pemerasan terhadap orang-orang miskin kerana yang miskin bertambah miskin, fikirannya bertambah bimbang kerana memikirkan tentang bagaimana hendak membayar hutangnya yang sentiasa bertambah bunganya bila lambat dibayar.
- Pihak yang memakan riba’ akan bertambah kaya dan senang.
- Riba’ akan mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja.
- Riba boleh merenggangkan merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba’ dengan orang miskin seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara timbullah di sana-sini rompakan, pembunuhan dan sebagainya.
5. Syarat-syarat penjualan barang-barang untuk mengelakkan riba’ :-
- Barang yang sama jenis:-
a) Hendaklah sama sukatan atau timbangan keduanya.
b) Hendaklah sama dengan tunai.
c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.

- Barang yang tidak sama jenis:-
a) hendaklah dengan tunai.
b) hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.

6. Jika barang pertukaran itu berlainan jenis seperti beras dan wang dan sebagainya tidak dikenakan apa-apa syarat dan boleh dijualbeli sebagaimana dalam persetujuan antara kedua pihak.

( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badrain – Syeikh Daud Fattani )

Bab 5 : Jenis-jenis Harta
HARTA YANG BERHARGA (MUTAQAWWIM) DAN HARTA YANG TIDAK BERHARGA (GHAYR MUTAQAWWIM)
  • Harta yang berharga/bernilai ialah setiap harta yang disimpan oleh seseorang dan syara` mengharuskan penggunaannya. Contohnya seperti semua jenis harta tidak alih dan harta-harta alih juga makanan-makanan atau seumpamanya.
  • Harta yang tidak berharga/bernilai ialah harta yang tidak di dalam simpanan atau dimiliki orang seperti ikan di dalam sungai, burung di udara juga galian yang berada di dalam perut bumi atau harta yang tidak harus digunakannya pada syara` seperti arak, babi, kedua-dua ini tidak harus bagi orang Islam menggunakannya kecuali ketika darurat sahaja seperti bersangatan dahaga atau bersangatan lapar yang boleh membawa mati kalau tidak menggunakannya.
Tujuan pembahagian harta kepada harta yang berharga dan tidak berharga:
1. Harta yang berharga sah untuk semua urusan berakad dengannya seperti berjual beli, hibah, meminjam, gadaian, wasiat dan bersyarikat.
2. Harta yang tidak berharga tidak sah berakad dalam semua urusan seperti tidak sah menjual arak dan babi.
3. Wajib membayar ganti rugi oleh orang yang merosakkan harta yang berharga sama ada ganti rugi barang yang serupa sekiranya ada atau membayar nilai harganya.
4. Harta yang tidak berharga tidak wajib membayar ganti rugi orang yang merosakkannya.
HARTA TIDAK ALIH (`IQAR) DAN HARTA ALIH (MANQUL)
  • Harta tidak alih ialah harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti bangunan dan bumi.
  • Harta alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah bentuknya seperti wang ringgit, barangan perniagaan, haiwan dan lain-lain.
  • Terkadang harta alih bertukar menjadi tidak alih dan sebaliknya.
Contohnya pintu rumah, tingkap atau jendela akan menjadi tidak alih bila dipasang di bangunan yang tetap buat selamanya, sebaliknya runtuhan rumah atau bangunan, galian yang dikeluarkan dari perut bumi, batu dan tanah akan bertukar menjadi harta alih bila sahaja bercerai dari bumi.
Faedah pembahagian harta kepada harta alih dan harta tidak alih adalah mengikut perbezaan hukum-hukum fiqh seperti berikut:
1. Hukum as-syuf`ah adalah sabit pada harta tidak alih sahaja dan tidak sabit pada harta alih.
2. Hukum jual janji adalah khusus bagi harta tidak alih sahaja. Erti jual janji ialah seseorang yang perlu pada wang maka dia jual harta tidak alih dengan syarat bila ia dapat wang maka akan diambil balik harta tidak alih yang telah dijual itu dengan membelinya semula dari orang yang membelinya ketika ia terdesak.
3. Pemegang amanah harta anak yatim tidak boleh menjual harta tidak alih yang dimiliki oleh anak-anak yatim melainkan dengan alasan yang dibenarkan oleh syara` seperti membayar hutang atau sangat-sangat perlu kepada perbelanjaan untuk anak yatim tetapi mesti mendapat kebenaran dari hakim atau qadhi. Adapun harta alih, maka pemegang amanah harta anak yatim boleh menjualnya bila ada sebarang maslahah pada jualan tersebut.
4. Segala hak yang berkaitan dengan jiran tetangga adalah bersangkut paut dengan harta tidak alih sahaja. 

http://www.al-azim.com

Comments

Popular posts from this blog