Bab 23 : Puasa
Firman Allah Ta’ala :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)
Pengertian Puasa
Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Hukum – Hukum Puasa                                                                                                                                                                             
  1. Wajib
  2. Sunat
  3. Makruh
  4. Haram
                                                                                                Puasa wajib :                                                              
Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, qada’ puasa Ramadhan,puasa kifarah & puasa nazar.
Puasa Sunat :                                                                                               a)  Puasa dalam bulan Sya’ban
b)  Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
c)  Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
d)  Puasa hari  Tasu’a  dan  ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
f)  Puasa pada hari Isnin & Khamis
g)  Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15
h)  Puasa satu hari berbuka satu hari
i)  Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.
j)  Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab
Puasa Makruh :
a)  Menentukan hari untuk berpuasa seperti jumaat sahaja,Sabtu & Ahad sahaja
b)  Berpuasa sepanjang tahun
Puasa Haram :
a)  Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
b)  Puasa pada hari syak iaitu pada hari 30 Sya’ban
c)  Puasa pada hari raya aidil fitri,hari raya aidil adha dan hari-hari Tasyrik
d)  Puasa perempuan haid & Nifas
e)  Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
Syarat-syarat Puasa
Terbahagi kepada 2 :
1)  Syarat-syarat wajib
2)  Syarat-syarat sah
Syarat wajib
a)  Islam
b)  baligh
c)  berakal
d)  berupaya(sihat)
e)  bermukim
Syarat Sah
a)  Islam
b)  Berakal
c)  Bersih daripada haid & Nifas sepanjang hari
d)  Niat
Rukun Puasa
a)  Niat
b)  Menahan diri dari makan & minum serta perkara-perkara yang membatalkannya
Masa Puasa
Puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari
Faedah Puasa
a)  Melahirkan perasaan belas kasihan terhadap golongan miskin
b)  Mendidik nafsu & jiwa kearah kebaikan
c)  Dapat merasai apa yang ditanggung oleh golongan miskin
d)  Puasa merupakan perbuatan taat kepada Allah
e)  Mendidik budi pekerti untuk memiliki sifat-sifat terpuji
f)  Puasa mengajar seseorang supaya beramanah terhadap diri sendiri
g)  Puasa mengajar kesabaran dan berperaturan
f)  Puasa menyebarkan perasaan kasih sayang & persaudaraan dalam jiwa manusia
Sunat-sunat puasa
a)  Makan Sahur serta melambatkannya
b)  Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
c)  Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
d)  Mandi junub,haid dan nifas sebelum fajar
e)  Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
f)  Membaca Al-Quran
g)  Beriktikaf terutama 10 hari terakhir bulan Ramadhan
Perkara makruh ketika berpuasa
 a)  Berbekam
b)  Mengeluarkan darah
c)  Berkucup
d)  Merasa makanan
e)  Bersugi selepas gelincir matahari
f)  Mencium wangian
Perkara yang membatalkan puasa
 a)  Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja kecuali terlupa
b)  Makan dan minum sepanjang hari
c)  Muntah dengan sengaja
d)  Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
e)  Keluar darah haid & nifas
f)  Gila
g)  Pitam atau mabuk sepanjang hari
h)  Murtad
Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa
a)  Musafir
b)  Sakit
c)  Mengandung & Ibu yang menyusukan anak
d)  Tua
Keistimewaan Bulan Ramadhan
a)  Bulan yang mulia,berkat dan setiap doa akan dimakbulkan
b)  Allah merahmati orang yang mengimaninya
c)  Al-Quran diturunkan dalam bulan ini
d)  Iblis dipenjarakan
e)  Terdapat malam yang mulia iaitu malam Lailatul qadar.
f)  Solat tarawikh dan zakat fitrah dilaksanakan.
Menghormati Bulan Ramadhan
a)  Kita hendaklah mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.
b)  Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik di masa hadapan.
Niat Puasa dan Qadha’ Puasa Ramadhan
1)  Lafaz niat puasa fardhu Ramadhan :
                                                                                               
نويت صوم غد عن أداء فرض شهررمضان هذه السنة لله تعالى .
                                                                                               
Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
2)  Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :
نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى .
                                                                                               
Ertinya :  Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.
Doa Ketika Berbuka Puasa
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين.
Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.
Qada’ Puasa Ramadhan
Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’
Hukum Qada’ Puasa Ramadhan
Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran
Firman Allah Ta’ala :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)     
 
Waktu Qada’ Puasa Ramadhan
-  Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.
-  Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramdhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.
Kifarah Puasa
Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.
Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :
1)  Membebaskan seorang hamba yang beriman
2)  Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya  berpuasa 2 bulan berturut-turut
3)  Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang mendapat secupak makanan asasi negeri itu.
Fidyah
Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.
Hukum Fidyah
Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”.  (Surah Al-Baqarah Ayat 184)                                                     
Sebab-sebab wajib Fidyah
1)  Tidak mampu melakukan ibadah puasa
2)  Sakit yang tidak mampu untuk sembuh
3)  Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu
4) Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.
 
Bab 24 : Zakat
Zakat adalah satu rukun daripada lima rukun Islam, difardhukan dalam bulan Syawal tahun ke 2 hijrah. Dari segi bahasa ialah membersih dan menyubur dan dari segi Syara' ialah mengeluarkan sebahagian dari harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya.
Firman Allah Ta’ala  :
وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya :  “ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat ”.   (Surah An-Nur Ayat 56)
                                                                                                     
Firman Allah Ta’ala :
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Maksudnya : “ Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) ”. (Surah As-Syams Ayat 9)
 Hukum Zakat
 Wajib/Fardhu Ain ke atas orang Islam yang sudah sempurna syarat-syaratnya seperti cukup nisabnya,haulnya dan lain-lain lagi.
Firman Allah Ta’ala :
وَآتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya : “ Berilah Zakat ”.  (Surah An-Nisa’ Ayat 77)                                                                                                
Firman Allah Ta’ala :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
Maksudnya : “ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).(Surah At-Taubah Ayat 103)                                                                                              
Sabda Rasulullah s.a.w :
عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن عمربن الخطاب رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : بني الاسلام على خمس, شهادة أن لاإله إلاالله وان محمدا رسول الله,وإقام الصلاة,وإيتاء الزكاة وحج البيت,وصوم رمضان.
                                                                                   (رواه البخارى ومسلم)
Maksudnya : Dari ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar r.a katanya : Aku dengar rasulullah s.a.w. bersabda : Didirikan Islam atas lima (rukun) : Syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan yang di sembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di baitullah serta puasa di bulan Ramadhan.(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)
                                                                              
 Syarat-syarat zakat
Terbahagi kepada 2 bahagian :
1) Syarat wajib zakat
2) Syarat sah zakat
Syarat wajib Zakat
  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Sempurna Milik
  4. Cukup Nisab
  5. Cukup Haul (12 Bulan/1 Tahun)
Syarat sah zakat
1)  Niat
2)  Memberi milik (Al-Tamlik)  - diberi kepada orang yang berhak
Kategori Zakat
  1. Zakat Pendapatan
  2. Zakat Simpanan
  3. Zakat KWSP
  4. Zakat Emas/Perak
  5. Zakat Perniagaan
  6. Zakat Saham
  7. Zakat Tanaman
  8. Zakat Ternakan

Keterangan :
Nisab berdasarkan harga emas semasa iaitu 85gm = 20 misqal = 25 mayam 2.7108 saga.
Kaedah Pengiraan Zakat
Zakat Pendapatan
Takrifan :
Imbuhan atau perolehan yang di peroleh oleh individu daripada majikan atau individu samaada pemberian dalam bentuk tenaga atau perkhidmatan profesional atau fizikal dalam tempoh harian, bulanan atau tahunan yang boleh dikenakan zakat.
(Fatwa telah pun diwartakan pada 22 Mei 2000 bagi mewajibkan setiap umat Islam yang telah cukup syarat bagi melunaskan zakat pendapatan).
Kaedah Pengiraan :
Terdapat 2 kaedah pengiraan di mana pembayar zakat boleh membuat pilihan:
Kaedah 1 : (Tanpa penolakan)

Pendapatan dari semua sumber setahun (termasuk elaun-elaun)
RM30,000 x 2.5% = RM 750.00
Kaedah 2 : (Dengan penolakan)
Bil
Perkara
Jumlah
a.
Pendapatan Setahun
RM 30,000.00
b.
Perbelanjaan


1. Diri
RM 8,000.00

2. Isteri (yang tidak bekerja)
RM 5,000.00

3. Anak (RM800.00 seorang x 6 orang)
RM 4,800.00

4. Pemberian Ibubapa
RM 1,200.00

5. KWSP (11%)
RM 3,300.00

6. Caruman ke Organisasi yang membayar zakat
RM 1,800.00

Jumlah Perbelanjaan
RM 24,100.00
c.
Pendapatan yang layak di zakat (a-b)
RM 5,900.00
d.
Zakat yang wajib dibayar (RM5,900.00 x 2.5%)
RM 147.50
Zakat Wang simpanan
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun atau cukup nisab
.
Kaedah Pengiraan :
1.  Bagi simpanan tetap iaitu setelah cukup haul simpanan selama 354 hari dan melebihi nisab wajib dikeluarkan zakat.
2.  Bagi simpanan biasa pula, adalah berdasarkan jumlah baki terendah satu atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh satu tahun . Ianya juga hendaklah diketahui tempoh haulnya iaitu bilakah bermula dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.
Misalnya :
(Baki terendah bagi tahun 2005 adalah RM4,000.00)
RM4,000.00  x 2.5% = RM100.00
Zakat yang dikenakan adalah sebanyak RM100.00
Zakat KWSP/LTAT Dan Seumpamanya
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh pencarum melalui KWSP/LTAT setelah diperoleh wang caruman tersebut dan cukup nisab serta haulnya.
Kaedah Pengiraan :
1.  2.5% atas caruman KWSP ketika dikeluarkan samaada selepas bersara atau dikeluarkan untuk tujuan-tujuan lain sebelum bersara. Zakat perlu dibayar setiap kali pengeluaran dibuat.
2.  2.5% atas wang simpanan KWSP/LTAT bagi setiap pekerja berdasarkan penyata tahunan.
Zakat Emas/Perak
Takrifan :
Zakat emas dan perak merupakan zakat barangan kemas dan perhiasan wanita. Zakat yang dikeluarkan ke atas emas bergantung samaada emas yang dipakai ataupun yang disimpan yang mana telah cukup nisab dan haulnya.

Kaedah Pengiraan :
Zakat Emas

Pembayaran zakat emas terbahagi kepada 2 iaitu :
1.  2.5% atas nilai emas yang disimpan setahun yang nilai pasarannya melebihi kadar nisab (85gram).
2.  Emas yang dipakai tidak dikenakan zakat melainkan :
     Uruf nilai pasarannya melebihi kadar uruf ialah pemakaian setempat yang dibenarkan iaitu  RM5,000.00

Zakat Perak

2.5% ke atas nilai perak yang disimpan atau yang dipakai yang nilainya melebihi kadar nisab (624gram).
Zakat Perniagaan
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh sesuatu perniagaan persendirian (tunggal) perkongsian, Syarikat Berhad, Syarikat Sdn. Bhd, Koperasi dan persatuan yang telah genap setahun operasi perniagaan dan cukup nisab yang mana barangan itu diniat untuk diniagakan dan berkembang.
Kaedah Pengiraan :
2.5% atas harta perniagaan yang layak di zakat yang telah melebihi nisab. (Harta Semasa – Tanggungan Semasa) x peratus pemilikan ekuiti yang dimiliki oleh individu muslim.
Zakat Saham
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan ke atas pelaburan saham yang telah genap setahun dan cukup nisab.
Kaedah Pengiraan :
2.5% atas nilai terendah bagi semua saham yang dimiliki dalam tempoh setahun setelah ditolak pinjaman membeli saham dan tidak kurang dari kadar nisbah.
Zakat Tanaman
Takrifan :
Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sesebuah negeri yang telah cukup 400 gantang seperti padi, gandum, biji-bijian dan sebagainya.
Kaedah Pengiraan :
5 ausuk bersamaan dengan 400 gantang (setelah dibersihkan dari roman dan hampa) kadar nisab ialah 10% daripada padi atau bijian yang ditanam jika di siram /diairi dengan air hujan semata-mata dan 5% jika diairi menggunakan tenaga.
Zakat Ternakan
Takrifan :
Zakat yang dikenakan ke atas ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang tidak digunakan untuk tujuan kerja yang mana telah genap haulnya dan nisabnya.
Kaedah Pengiraan :
Zakat bagi ternakan ialah seekor lembu/kerbau bagi setiap 30 ekor lembu/kerbau dan seekor kambing bagi tiap 40 ekor kambing yang tidak digunakan untuk bekerja.
Qadha Zakat
Berbagai jenis zakat yang tidak ditunaikan semasa ianya wajib berzakat dan jika bayaran zakat dikeluarkan sekarang, ianya sebagai qadha zakat.

Bab 25 : Zakat Fitrah
Zakat Fitrah
Zakat ini di fardhukan pada tahun ke 2 hijrah iaitu tahun di fardhukan puasa. Di fardhukan ke atas setiap individu muslim lelaki atau perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Firman Allah Ta’ala :
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh).                                                                                     (Surah Al-A’la Ayat 14)

Zakat fitrah atau nama lainnya “zakat an-nafs” iaitu zakat badan maksudnya zakat untuk menyucikan jiwa dengan mengeluarkan makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan dengan kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.70kg beras atau senilai dengannya diberi kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.
Syarat Wajib Zakat Fitrah
 a) Mempunyai lebihan makanan atau hartanya untuk diri & keluarga pada malam dan siang hariraya.
b) Hidup pada akhir Ramadhan & awal Syawal
c) Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan dan hidup hingga selepasnya.
d) Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan
e) Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah
Waktu Afdhal/Sunat      :  Sebelum Sembahyang Sunat Hari Raya
Waktu Wajib                 :  Selepas terbenam matahari malam Aidilfitri sehingga terbit matahari esoknya               
Waktu Harus                 :  Sejak Awal Ramadhan
Waktu Makruh : Selepas Sembahyang Sunat Hari raya sehingga terbenam  matahari 1 Syawal
Waktu Haram            :  Selepas terbenam matahari 1 Syawal
Orang Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah
Firman Allah Ta’ala :
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ
وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang – orang fakir dan orang-orang miskin dan a’mil-a’mil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah dan (ingatlah) Allah amat mengetahui lagi amat bijaksana.(Surah At-Taubah Ayat 60)
Ada Lapan Asnaf :
1)  Orang Fakir  :
           
         Ialah orang yang tidak ada harta benda untuk keperluan hidupnya sehari-hari, tidak sanggup bekerja, tak mampu berusaha dan malu untuk meminta-minta.
2)  Orang Miskin :
Ialah orang yang boleh bekerja dan berusaha tetapi tidak mencukupi keperluan hidupnya sehari-hari.
3)  ‘Amil (pemungut zakat) :
Orang yang dilantik atau diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk memungut zakat.
4)  Muallaf  :
            Orang yang baru memeluk Agama Islam.
5)  Hamba  :
            Terbahagi kepada tiga :
            1)  Hamba Qin (hamba semata)
2) Hamba Mudabbar (hamba yang kemerdekaannya bergantung kepada mati tuannya).
3)  Hamba Mukattab (kemerdekaan dirinya bergantung kepada syarat-syarat yang diberikan oleh tuannya).
Sebagaimana keterangan Imam Syafie, hamba mukattablah yang layak menerima zakat.
 
6)  Orang Yang Berhutang Banyak :
Iaitu tanggungan hutang untuk kemaslahatan diri dan keluarganya ataupun kemaslahatan umat Islam bila hutangnya itu telah melebihi dari harta kekayaannya.         
7)  Sabilillah :
Orang yang berjuang di jalan Allah
           
8)  Ibnu Sabil
Orang yang dalam perjalanan jauh untuk menyempurnakan tuntutan Agama Islam kemudian kehabisan belanja atau biayanya.
Rujukan Kitab :
1) Kitab Tuntunan Ibadah
2) Kitab Fiqh Mazhab Syafie
3) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
4) Fiqh & Perundangan Islam
5) Jami’ul Fiqh Juzu’ 3
6) Fiqh  A’la Mazahib Arba’ah Juzu’ Awal.

Comments

Popular posts from this blog