PERANAN JAMAAH ISLAM DALAM MENGHADAPI THOGHUT DARI GOLONGAN PENGUASA

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapatnya jamaah Islam dalam sesuatu masyarakat yang diuji dengan thoghut di kalangan penguasa sehingga mereka sanggup melenyapkan orang-orang baik yang hendak mengislah masyarakat. Satu hakikat yang perlu difahami bahawa perjuangan Islam sering berhadapan dengan golongan penguasa terutamanya para pemerintah yang tidak berdasarkan kepada Islam dan sekaligus menjadi penghalang kepada kerja-kerja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan jelas dalam perjuangan Para Nabi dalam berhadapan dengan golongan toghut di zaman mereka. Justeru itu apakah yang sepatutnya dilakukan oleh jamaah ini jika berhadapan dengan keadaan ini?

Menurut Said Hawa jika jamaah Islam berhadapan dengan thoghut di kalangan pemerintah yang zalim, fasiq serta tidak menjalankan syariat Islam secara keseluruhannya, maka adalah menjadi satu kewajipan kepadanya sekiranya berkemampuan untuk menurunkan mereka dari kerusi pemerintahan dengan cara yang aman atau menukarkannya dengan orang yang selayaknya. Selagi mana mereka masih mendirikan solat kita tidak boleh membunuhnya tetapi jika mereka tidak solat harus untuk kita memeranginya [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan Wa Akhlaqan, M/S:403-404].

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintaimu dan kamu mencintai mereka, mereka mendoakan kemudian kamu mendoakan mereka. Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membencimu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu". Bertanya seseorang, "Ya RasulAllah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?". Jawab Rasulullah, "Tidak, selagi mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan yang tidak baik dari pembesarmu, proteslah tindakkannya dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)" [Riwayat Muslim, Kitab Al Imarah. Hadis No:4781].

Dalam mazhab Hanafi bahawa pemerintah yang fasiq hendaklah diturunkan dari takhtanya jika mampu dilakukan dengan cara yang aman [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan Wa Akhlaqan, M/S:404]. Namun sekiranya tidak mampu diturunkan dengan secara aman dan pemimpin itu masih lagi solat maka jamaah itu berkewajipan melaksanakan peranan-peranan ini. Antara peranan jamaah Islam apabila wujud golongan ini dalam masyarakat ialah :

1. Menjalankan Amar Makruf Nahi Mungkar

Konsep amar makruf nahi mungkar merupakan salah satu ciri keistimewaan umat Islam. Firman Allah yang bermaksud, "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)". [Surah Ali Imran:110]

Ia menjadi kewajipan bagi umat ini untuk melaksanakan tanggungjawab ini bagi memperbaiki nilai-nilai kemanusiaan di semua peringkat. Hukum kewajipannya amat jelas dinyatakan oleh Al Quran dan Al Hadis. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya" [Surah Ali Imran:104].

Rasulullah S.A.W menekankan betapa perlunya umat Islam melaksanakan kewajipan ini walaupun orang itu lemah imannya. Sabda Baginda S.A.W, "Barangsiapa dari kamu telah melihat kemungkaran, maka hendaklah diubah (dihilangkan) dengan tangan, jika tidak sanggup, maka dengan lisan dan jika masih tidak sanggup,maka dengan hatinya. Dan itulah iman yang paling lemah" [Riwayat Muslim, Kitab Al Iman, Hadis No:175].

Manakala para ulama pula menganggap orang yang berdiam diri dari perkara bid‘ah dan mungkar adalah orang yang redha dengan perkara tersebut dan ia mendapat dosa. Kalau ia tidak mampu, memadai membenci dengan hatinya [Said Hawa, Jundullah : Thaqafatan wa Akhlaqan, M/S:372]. Islam telah menggariskan langkah-langkah amar makruf nahi mungkar yang perlu dilaksanakan oleh sesuatu jamaah Islam terutamanya dalam masyarakat yang diuji dengan pemimpinnya yang zalim dan fasiq. Antara marhalah yang perlu dilaluinya ialah :

i. Nasihat, Pengajaran Yang Baik dan Peringatan (Tazkirah).

Jamaah Islam hendaklah memulakan peranan Amar Makruf Nahi Mungkar terhadap pemerintah yang zalim ini dengan menasihatinya melalui nasihat, tazkirah (peringatan) dan pengajaran yang baik kerana al-Din itu adalah nasihat. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman" [Surah Az Dzaariyaat:55].

Firman Allah Taala lagi, "Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu" [Surah Qaaf:45].

Ia hendaklah menyebut hakikat kehidupan ini yang bermula dari air yang hina dan akan berakhir dengan sekujur tubuh yang tidak bermaya. Kalau begitulah permulaan dan pengakhirannya maka tidak selayaknya kita menyombong diri, melampaui batas dan bermusuhan dengan manusia. Sesungguhnya pemerintah itu juga merupakan hamba Allah dan tiada hak baginya untuk menindas hamba-hamba kepada Tuhannya iaitu hamba Allah sepertinya juga. Ia tidak berhak menzalimi hamba-hamba Allah yang lain kerana Allah Taala lebih kuat daripadanya dan Maha Besar sifatNya.

Seorang lelaki yang sempat hidup di zaman pemerintahan Uthmaniyyah sebelum berlakunya perang dunia pertama telah menceritakan bahawa kebiasaan bagi sultan empayar ini baginda menunggang kuda untuk sampai di Masjid Jami’e Sultan Ahmad bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Apabila baginda sampai di pintu masjid sedang menunggu seorang dari tenteranya sambil berdiri tegak mengadap sultan yang berada di atas tunggangannya. Maka tentera tersebut berkata dengan suara yang kuat, "Wahai sultanku, janganlah engkau tertipu. Allah itu lebih hebat darimu dan Maha Besar!". Mendengar seruan itu baginda segera turun dari kuda tunggangannya dan berjalan kaki masuk ke masjid [Dr.Abd Karim Zaidan, Al Sunan Al Ilahiyyah, M/S:196].

Jamaah Islam ini juga perlu menyebut di dalam nasihatnya bahawa Allah Taala selalu menangguhkan pembalasan terhadap pemerintah yang zalim kerana sifatNya yang lemah lembut terhadap hamba-hambaNya. Mudah-mudahan Allah Taala mengampuninya sekiranya ia bertaubat. Kemungkinan nasihat-nasihat ini akan menyedarkannya atau menimbulkan rasa takutnya kepada Allah Taala.

Nasihat dan peringatan yang dikemukakan oleh jamaah Islam ini hendaklah dilakukan dengan cara hikmah dan lemah lembut sebagaimana Allah Taala telah memerintahkan NabiNya Musa dan Harun agar berhadapan dengan Firaun dengan cara berlembut terhadapnya. Firman Allah Taala, "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut" [Surah Toha:43-44].

Dalam perkara ini Imam Al Ghazali menyatakan bahawa hendaklah melarang dengan melalui pengajaran, nasihat dan menakut-nakutkan mereka dengan azab Allah Taala. Ia dikemukakan ketika berhadapan dengan orang yang mengerjakan sesuatu sedangkan dan ia mengetahui bahawa perbuatan itu adalah mungkar, atau terhadap orang yang sentiasa membuat kemungkaran setelah mengetahui bahawa perbuatan itu mungkar seperti orang yang terus menerus meminum arak, membuat kezaliman, atau memaki-maki kaum muslimin atau yang seumpama dengannya. Sebaik-baiknya hendaklah diberi pengajaran, dipertakutkan dengan Allah Taala dan dibacakan hadith-hadith kepadanya yang berkisar tentang balasan siksa terhadap perbuatan mungkar serta diceritakan kepadanya perjalanan hidup para alim ulama terdahulu dan ibadat orang-orang yang bertaqwa. Semuanya ini hendaklah disampaikan dengan penuh kasih sayang, lemah lembut tanpa disertai dengan kata-kata yang kasar dan emosi bahkan hendaklah memandangnya dengan kasih sayang dan menganggap bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan itu merupakan satu malapetaka yang menimpa dirinya, kerana atas dasar bahawa orang-orang Islam seperti jiwa yang satu. Di sinilah bahaya besar yang sepatutnya di elakkan kerana ia akan membawa kebinasaan [Al Ghazali, Ihya’ ‘Ulumiddin, Terj. Prof. Tk. H. Ismail Yakub, 3/523].

ii. Mengucapkan Kata-kata Larangan Yang Keras.

Termasuk juga dalam amar makruf nahi mungkar terhadap golongan thoghut ini dengan memaki dan menggertak mereka dengan kata-kata yang kasar dan keras. Ia dilakukan ketika mana larangan secara lembut tidak berhasil bahkan mereka menunjukkan bibit-bibit penentangan dan mempersendakan nasihat dan pengajaran yang diajukan [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/525]. Contoh yang boleh di ambil ialah dari sunnah Para Nabi dalam marhalah dakwahnya sebagaimana permulaan Nabi Musa berhadapan dengan Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut, tetapi cara bercakapnya berubah apabila Firaun menunjukkan adabnya yang buruk kepada Nabi Musa A.S. Firman Allah Taala, "Nabi Musa menjawab; Sebenarnya engkau (wahai Firaun) telah pun mengetahui tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau wahai Firaun, akan binasa". [Surah Al Isra’:102]

Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S terhadap pembesar-pembesar kaumnya. Setelah menasihati mereka dengan lemah lembut dan membentangkan hujjah yang ilmiah tetapi tidak diterima, malah Baginda diancam nyawanya maka Nabi Ibrahim menukar uslub dakwahnya dengan memaki mereka. Allah menceritakan keadaan ini dalam firmanNya, "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" [Surah Al Anbiya’:67].

Menurut Imam Al Ghazali yang dimaksudkan dengan makian dan kata-kata yang kasar itu bukanlah memaki dengan perkara-perkara yang keji dan juga bukan pula pembohongan, tetapi hendaklah mengucapkan kata-kata yang tidak termasuk dalam perkara-perkara keji seperti mengatakan, Hai orang fasiq!, Hai si ahmaq (orang dungu)! Tidakkah kamu takut kepada Allah? atau Hai orang yang bebal dan yang senada dengannya. Ini adalah kerana semua orang fasiq adalah dungu dan bodoh. Jika tidak kerana kedunguannya maka ia tidak akan melakukan maksiat kepada Allah Taala [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/525].

Orang yang pintar adalah orang yang memang diakui oleh Rasulullah S.A.W akan kepandaiannya sehingga Baginda bersabda, "Orang pintar ialah orang yang menjadikan dirinya tunduk kepada semua perintah Allah dan beramal untuk bekalan selepas mati, sedangkan orang yang dungu ialah orang yang mengikuti dirinya kepada ajakan hawa nafsu dan ia berangan-angan bahawa Allah akan mengampuninya" [Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim dan At Tirmizi].

Peringkat ini mempunyai adab dan tatasusilanya iaitulah yang Pertama : tidak menggunakan cara ini melainkan bila benar-benar diperlukan dan jika tidak berhasil dengan dengan kata-kata yang lemah lembut. Kedua : tidak akan mengeluarkan kata-kata tersebut melainkan dengan kebenaran serta bercakap sekadar yang diperlukan sahaja [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/526].

Namun menurut Imam Al Ghazali uslub sebegini tidak berapa berkesan dan tidak diharuskan jika diucapkan kepada golongan pemerintah kerana kemungkinan ia akan menimbulkan fitnah dan mendatangkan keburukan kepada orang lain. Tetapi jikalau uslub ini tidak memudaratkan orang lain dan hanya pada dirinya sahaja maka ianya diharuskan mengikut jumhur ulama’ malah disunatkan [Al Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, 3/560].

Sebenarnya sudah menjadi adat kebiasaan ulama terdahulu, mereka sering tampil menegah kemungkaran dan berterus terang menghalangnya tanpa memperdulikan bahaya terhadap dirinya. Mereka selalu diuji dengan berbagai-bagai seksaan yang membawa kesengsaraan kepada dirinya kerana mereka menyedari bahawa yang demikian itu membolehkan mereka mati syahid sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, kemudian orang yang bangkit berhadapan dengan penguasa dan menyuruhnya berbuat baik serta melarang yang mungkar kerana Allah Taala, lalu sang penguasa itu membunuhnya di atas persoalan yang demikian itu" [Riwayat Al Hakim dan At Tabrani].

Dapatlah disimpulkan daripada perkara di atas bahawa uslub atau cara bercakap dan berucap dengan mad‘u (sasaran dakwah) ini berbeza-beza mengikut keadaan seseorang itu. Ia akan berubah-ubah mengikut kesesuaian suasana dan situasi. Peringkat awal seruan amal makruf nahi mungkar ini hendaklah dengan lemah lembut dan nasihat yang baik. Sehinggalah peringkat yang paling akhir yang sesuai dengan sikap golongan thoghut yang perilakunya sentiasa mencabar, menghina dan mendustai kebenaran, maka mereka ini hendaklah dihadapi dengan cabaran juga serta penentangan sebagaimana marhalah (peringkat) dakwah Nabi Musa kepada Firaun.

iii. Membangkang Setiap Penyelewengan dan Kezaliman.

Jamaah Islam hendaklah mengambil sikap sebagai pembangkang sekiranya berbagai-bagai nasihat yang diberikan tidak mampu mengubah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang melampaui batas ini. Maksud pembangkang di sini ialah tidak berkasih sayang dan bersekongkol dengan mereka [Said Hawa, Jundullah : Thaqofatan wa Akhlaqan, M/S:404]. Rasulullah S.A.W bersabda, "Aku memohon perlindungan untuk engkau dengan Allah wahai Ka’ab bin ‘Ujrah daripada pemimpin-pemimpin yang di kemudian hari setelah aku tiada, maka siapa yang menutup pintu-pintu mereka, membenarkan pembohongan mereka dan membantu tindakan mereka yang zalim, maka ia bukan termasuk dari umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga ( yang ada di syurga). Dan siapa yang menutup pintu-pintu mereka atau tidak menutupnya, tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu kezaliman yang dilakukan maka ia termasuk dalam umatku dan aku sebahagian daripadanya. Dan ia akan dapat sampai ke telaga itu (di syurga)". [Riwayat At Tirmizi]

Adalah menjadi kewajipan setiap jamaah Islam berhadapan dengan setiap penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dengan berdebat, mengemukakan hujjah-hujjah serta membangkang keras perilaku mereka di samping masih lagi menasihatinya secara berterusan. Dalam perkara ini Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sesungguhnya semulia-mulia jihad ialah mengatakan keadilan kepada penguasa yang zalim" [Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah].

Sikap membangkang ini juga hendaklah disertakan dengan menghalang segala kefasadan (kerosakan) yang dilakukan dengan apa sahaja cara yang terbaik dengan membuat penyelidikan dan kajian serta memberi peringatan kepada masyarakat agar berwaspada dan jangan tertipu dengannya. Hendaklah mewar-warkan atau menghebahkan kepada masyarakat tentang penyelewengan yang dilakukan. Para ulama telah menggariskan tempat-tempat yang dibolehkan untuk mengumpat pemerintah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam a-Nawawi di dalam kitab Al Azkaar. Beliau menyebut bahawa antara tempat-tempat yang diharuskan mengumpat ialah orang yang mempunyai wilayah pemerintahan tetapi tidak menjalankan kewajipan yang sepatutnya samada ia bukanlah orang yang baik ataupun ia seorang yang fasiq atau lalai dan yang seumpama dengannya. Maka wajiblah menyebut kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah ini bagi menggantikannya dengan orang yang lebih baik dan sesuai [An Nawawi, Al Azkaar fi Kalaami Sayyidi Al Abraar, M/S:295-296]

2. Memberi Penerangan dan Penjelasan Kepada Masyarakat.

Jamaah Islam ini mestilah memberitahu masyarakat melalui program-program penerangan tentang penyelewengan pihak pemerintah serta kewajipan mereka ketika berhadapan dengan pemimpin yang thoghut dan zalim. Antara bentuk penerangan dan penjelasan yang boleh dihebahkan kepada masyarakat ialah :

i. Haram Menyokong Orang Yang Zalim.

Ia hendaklah memberitahu masyarakatnya bahawa Allah Taala mengharamkan hamba-hambanya memberi sokongan dan pertolongan kepada pemimpin yang zalim dan melampaui batas, bahkan melarang dari cenderung kepadanya samada cenderung dengan kata-kata dan perbuatannya, memuji-mujinya, menganggap segala pekerjaannya adalah yang terbaik, hadir dalam majlisnya ataupun menunjukkan kegembiraan apabila bertemu dengannya [Dr. Abd Karim Zaidan, Al Sunan Al Ilahiyyah, M/S:197].

Semuanya ini termasuk dalam makna memberi sokongan kepada pemimpin yang zalim atau cenderung kepadanya. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" [Surah Huud:113].

Daripada ayat di atas para ulama berhujjah bahawa Allah Taala melarang dari memberi sebarang bentuk pertolongan kepada orang-orang yang zalim dan berkhidmat dengannya. Imam Al Alusiy mengatakan bahawa makna cenderung kepada orang-orang yang membuat kezaliman ialah duduk bersama-sama mereka dalam satu majlis tanpa ada sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak [Al Alusiy, Ruh Al Ma‘ani, 12/154]

ii. Pemimpin Thoghut Dan Zalim Tidak Boleh diikuti dan Ditaati.

Masyarakat juga mesti diberitahu bahawa pemimpin toghut tidak boleh diikuti atau ditaati. Ia tidak akan mampu melakukan perkara yang melampai batas tanpa pertolongan dan dokongan dari para pengikut dan para penyokongnya. Pengikut dan penyokong adalah sebahagian daripada masyarakat dan mereka merupakan jentera pemimpinnya ketika melaksanakan kezaliman dan perkara yang melampaui batas. Oleh yang demikian mereka juga dianggap toghut dan zalim seperti pemimpinnya. Mereka turut terlibat dan berkongsi melakukan dosa dan jenayah ini, kerana itulah Allah Taala mensifatkan Fir‘aun dan pengikut-pengikutnya dengan sifat yang satu sebagaimana firmanNya, "Sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah". [Surah Al Qasas:8]

Begitu juga apabila Allah Taala membinasakan Firaun, mereka juga turut serta dibinasakan oleh Allah Taala. FirmanNya, "Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya" [Surah Toha:78].

Firman Allah lagi, "Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim" [Surah Al Qasas:40].

Pengikut dan penyokong juga akan melakukan perkara yang melampaui batas sebagaimana pemimpinnya. Firman Allah Taala, "Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami" [Surah Al Qasas:39].

iii. Umat Islam Memiliki Peribadi Muslim.

Seperkara lagi yang perlu diberitahu kepada masyarakat bahawa umat Islam mempunyai peribadi yang satu iaitulah peribadi Muslim yang berteraskan kepada Islam secara menyeluruh dalam setiap pendiriannya. Tidak patut bagi seorang Islam itu mengucapkan kata-kata dan melakukan sesuatu tindakan yang tidak selari dengan kehendak Islam. Semuanya hendaklah dilakukan dan dilafazkan kerana tujuan yang satu iaitu mengharapkan keredhaan Allah Taala, "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" [Surah Al An‘aam:162-163].

Justeru itu tidak sewajarnyalah seorang Muslim mempunyai dua peribadi : Peribadi Muslim ketika berada di masjid dan peribadi pak turut dan khadam kepada pemimpin thoghut ketika melaksanakan kezalimannya. Peribadi ini sangat bertentangan dengan tuntutan Islam. Setiap individu Muslim itu mestilah menjaga keperibadian muslimnya dan hendaklah segala pekerjaannya selaras dengan keperibadian ini. - TARBAWI
 
 

Comments

Popular posts from this blog