Selipar Yang Berjaya Membuatkan Aku Terasa Pilu

 


Aku tak pernah terfikir nak ambik gambar selipar tu semata-mata. yang ada gambar ini. Cuba perhatikan kaki aku. itulah selipar amporlo yang aku maksudkan.




Aku ada sepasang selipar. Jenama selipar itu adalah Amporlo. Berwarna coklat bersaiz 7. Aku membeli selipar ini pada 15 Disember 2010. Ketika itu adalah hari kedua terakhir aku exam. Esoknya adalah exam Bahasa Arab Tinggi. Paper last. Siapa yang tak nak ingat hari bersejarah tu kan. Hatta orang paling bangang sejarah pun takkan lupa tarikh yang baginya penting. Bagi aku,tarikh itu penting. Sebab itulah tarikh permulaan untok aku menggunakan segala ilmu aku di dunia yang sebenar.

Berbalik balik tentang cerita selipar aku. Selipar ini sebenarnya pengganti selipar aku yang hilang. Masalah aku bukan selipar hilang,tetapi aku juga menghilangkan selipar orang. Aku rasa sangat berdosa sampai sekarang sebab prinsip kebanyakan budak sekolah aku dulu adalah, barang kau adalah barang aku. Jadi, mana-mana selipar yang layak disarungkan kat kaki aku,itulah yang aku sarung. Hakikatnya,aku pernah sebulan takda selipar sendiri.

Ianya sebuah selipar. Tak pernah seorang manusia pun di muka bumi ini akan menjangka bahawa selipar yang diletakkan di kaki ini akan mengguris hati kita suatu hari nanti.

Selipar itulah yang aku pakai sewaktu kali pertama aku menunggang kereta manual. Scene seterusnya,kereta itu telah melanggar dan membengkokkan pagar rumah aku. Selipar itulah yang aku pakai. Kemudian, selipar itu aku bawa ketika kali pertama aku menjadi guru sementara. Ketika itu,selipar ini begitu setia dengan aku. Aku membawanya untok ke mana-mana. Dia tidak pernah merungut. Selipar ini adalah selipar untok aku bermain bola sepak dan bersukan,kerana aku sangat selesa memakainya ke mana-mana. Selipar ini tidak pernah marah.

Selipar ini menjadi saksi pertemuan aku dengan bekas awek aku. Selipar ini langsung tidak pernah jeles. Aku membawanya dengan jiwa yang lupa bahawa selipar ini sangat berjasa, lalu aku bawa ke mana-mana.

Selipar ini aku bawa ke Makkah. Sangat besar jasanya. Sungguh. Inilah kemuncak aku bersama selipar ini. Selipar ini menahan kaki aku daripada terkena panas lantai Masjid Nabawi. Aku jinjing selipar ini masok ke dalam masjid,takut dicuri. Selipar ini menemani aku ke mana sahaja ketika aku ingin bershopping di Madinah. Malah,usai aku bertawaf,selipar ini aku keluarkan dengan manja,lalu aku hempas dan terus disarong. Selipar inilah yang melapik kaki aku,setia dan berjasa.

Selipar ini menjadi saksi aku menangis kerana baru putus cinta. Selipar ini aku membawanya untok mencari kerja sebagai Ejen Travel,menemani dengan setia. Selipar ini terus menjadi haus dan haus. Tetapi selipar ini tidak pernah menangis dan merintih apatah lagi mengadu tentang ketuaannya. Warnanya semakin luntur. Tapaknya semakin haus. Talinya hampir putus. Tetapi ia tetap setia menemani aku,walaupun usianya sudah semakin tua.

Adakah aku menjiwai dirinya ketika itu?

Tidak. Dia sekadar selipar. Aku langsung tidak memikirkan jasanya sepanjang 6 bulan aku memakainya. Sedikit pun tidak difikirkan. Dia sekadar selipar.

Suatu hari,sewaktu aku ke Tesco,aku sudah berhasrat untok membeli selipar baru. Lalu setelah dipilih,dan membayarnya,aku telah membuat sesuatu yang sangat zalim dan kejam.

Aku menanggalkan selipar Amporlo itu,lalu aku sarungkan selipar baru ke kaki. Amat bodoh dan tidak mengenang budi aku ketika itu,aku tinggalkannya di tepi jalan,berharap petugas kebersihan akan mengambil dan membuangnya..............

Setelah berbulan menemani aku,bersama-sama setia mengharungi pelbagai pengalaman,itukah yang aku balas kepadanya? Setelah dia setia dan tidak pernah merungut melindungiku, itu pembalasannya? Kepala bana sial apa perasaan aku ini. Kenapa aku sanggup lakukan perkara tersebut kepada objek yang begitu berharga.

Aku dapat merasa bahawa,ketika aku meninggalkannya di tepi jalan, dia menangis dalam ketuaan. Semakin jauh aku berjalan meninggalkannya,semakin kuat tangisannya. Aku tidak pernah mengucapkan terima kaseh kepadanya,jauh sekali untok menyimpannya sebagai barang yang berharga. Jasa yang sekian lama ditumpahkan,telah dibalas dengan anggapan sampah terhadapnya. Kesetiaannya dicemari dengan sifat tidak berterima kaseh aku kepadanya.

Selipar Amporlo,aku meminta maaf. Kekesalan aku sungguh tidak terbendung. Sekiranya ada sesuatu yang mampu memutarkan masa,maka aku cepat cepat mengambilmu semula dan dijadikan salah satu koleksi paling berharga,untok aku kenang dan tunjok kepada insan-insan yang rapat denganku. Aku benar-benar kesal. Minta maaf,selipar.

Kaulah sahabat. Kau setia melindungi. Kau sering tersenyum menemaniku.

Terima kaseh. Kau adalah sahabat sejati,yang akan aku kenang sampai mati.
 
http://akumelayuislam.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog