KENAPA HATI MENJADI KERAS

Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh......

Hadis Riwayat: TIRMIZI DARIPADA IBNU UMAR R.A. BERKATA:
RASULULLAH SAW BERSABDA:
" Jangan memperbanyak percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT.,maka sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah SWT, itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras.  Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT ialah mereka yang berhati keras."

KETERANGAN
  Ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu penyakit yang sangat ketara sekali di tengah-tengah masyarakat.  Banyak orang yang bersusah hati, gelisah dan tidak merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi moden pada hari ini, bahkan jutaan wang telah dimilikinya, namun kepuasan hidup masih belum lagi dapat di rasainya.

Ini semuanya berpunca dari hati yang keras, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT.  Kemudian kekerasan hati ini pula adalah berpunca daripada banyak bercakap perkara-perkara yang tidak faedahnya dan tidak ada hubungkait dengan mengingati Allah SWT., oleh itu bagi orang yang beriman hendaklah ia selalu menggunakan lidahnya untuk berzikir kepada Allah SWT, ataupun bercakap perkara-perkara yang ada hubung-kait dengan maslahat agamanya yang dapat memberikan faedah dalam meningkatkan ketaqwaan atau paling kurang, bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah ataupun alatan yang dapat membantunya untuk menambah apa jua jenis ketaatan yang akan dicatitkan dalam suratan amal kebaikan pada hari qiamat nanti, atau kalau tidak mampu juga berbuat demikian hendaklah dia  berdiam sahaja, jangan banyak bercakap-cakap.

Kenyataan yang selalu ternampak di hadapan mata kita ialah wujudnya orang-orang yang banyak membuang masa bercakap-cakap perkara yang tidak berfaedah bahkan ada yang berani bercakap perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum-hukum syara' dan berani bercakap sambil merendah-merendahkan, ajaran agama yang boleh menyebabkan kefasiqan dan terkadang boleh menyebabkan kekufuran.

Hati yang keras adalah hati yang tidak mudah menerima nasihat daripada orang lain.  Kalau ditegur ia selalu melenting dan menunjukkan rasa besar diri, pantang di-tegur dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Hati yang keras sentiasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dan merasa berat untuk berzikir atau membaca al-Quran dan sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang diwajibkan Allah SWT.  Kalau masuk waktu sembahyangia merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu bukan merasa bertuah kerana berpeluang untuk sekali lagi berhadapan dengan Allah SWT dan kalau sembahyang,maka badannya sahaja yang sembahyang, sedangkan hatinya pergi merayau ke sana dan ke mari.  Tetapi kalau mahu melihat suatu pertunjukan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT hatinya selalu terpanggil ke sana.  Dia sanggup bersusah payah untuk sampai ke sana dan merasa ringan walaupun ia terpaksa untuk mengorbankan apa jua yang diperlukan asal sahaja maksud di hati dapat tercapai.

PADA MULANYA HATI SETIAP INSAN ADALAH BAIK.  Hati seseorang telah diciptakan olehAllah SWT menerusi fitrah manusia yang semulajadi yang meminati dan mencintai setiapyang baik dan membenci setiap yang tidak baik.  Maka atas dasar inilah terletaknya hukum taklif ataupun hukum-hukum syara' kepada seorang.  Kemudian lalu Allah SWT menyempurnakan pemberian-Nya kepada insan dengan mengutus para Rasul yang membimbing manusia ke jalan kebenaran dan juga Allah SWT menurunkan kitab-kitab untuk menjadi pegangan dalam hidup di dunia ini dan untuk menjamin kebahagian mereka di akhirat nanti.  Maka apabila manusia mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh para Rasul dan berpegang teguh dengan kitab-kitab yang diturunkan, mereka akan dapat memperolehi petunjuk yang akan membawa mereka mencapai keredhaan Allah SWT dan terhindar daripada alan kesesatan yang dimurkai-Nya.

Tetapi manusia ini ada mempunyai musuh yang sangat pandai dan sangat mendendam kepadanya, iaitu IBLIS yang telah bersumpah di hadapan Allah SWT untuk menyesatkan manusia.  Iblis selalu menggoda hati manusia dan ia berusaha untuk membalut fitrah suci yang ada di hati manusia dengan balutan daripada hawa nafsu, syahwat, tamak, cintadunia dan sebagainya.  Iblis tidak akan berputus asa dari mencapai matlamat yang telah disumpahkannya di hadapan Allah SWT itu.  Ia akan berbuat segala sesuatu yang yangdapat memesongkan manusia dari matlamat hidupnya yang sebenar.  Maka apabila Iblis masuk ke dalam hati seseorang, ia akan membisikkan kepadanya suatu kesenangan atau kebahagiaan dunia ini, lalu ia mendorongnya untuk merebut peluang yang ada. Sedikit demi sedikit ditiupkannya semangat nafsu dan syahwat yang telah sedia ada dihati manusia sebagai kesempurnaan fitrahnya.  Seterusnya apabila hati seseorang telah tergoda dan matanya telah tertutup dengan bayangan kelazatan hawa nafsu dansyahwat, maka ketika itulah manusia akan melupakan Tuhannya sehingga ia berani berbuat maksiat yang mengakibatkan satu titik hitam telah tumbuh di lembaran suci fitrah
yang ada di dalam hatinya.

Selanjutnya apabila keadaan ini dibiarkan, kotoran yang mendap di hati tidak dibersihkan titik hitam yang mengotori lembaran fitrah tidak dicuci dengan air taubat, maka lembaran hati yang telah tergores dengan titik hitam akan bertambah hitam, sehingga maksiat demi maksiat yang dilakukan yang menyebabkan kekotoran yang sangat teruk di dalam hati yang memudahkan bagi Iblis untuk menguasainya.  Maka apabila sudah ditawan olehIblis, hati akan kurang membenci kemaksiatan bahkan terkadang merasa seronok dengan berbuat maksiat dan akhirnya sampai ke peringkat ia merasa berbangga dengan bermacam-macam maksiat yang dilakukannya.  Hati yang telah sampai ke peringkat ini bermakna ia sudah terlalu sakit dan sangat susah untuk diubati.  Lembaran putih fitrah telah menjadi hitam legam dan sudah terlalu susah untuk dibersihkan.  Hati yang seperti inilah yang dinamakan hati yang keras, hati yang tidak sensitif dengan dosa walaupun sebenar iamelakukan dosa yang besar, apakan lagi kalau cahay dosa yang kecil-kecil.  Dan hati yang seperti inilah hati yang telah termeterikan dengan maksiat, hati yang telah tertutup dengan selaput hawa nafsu, syahwat dan berbagai lapisan lagi, sehingga hati yang seperti ini sangat susah menerima nasihat dan teguran daripada orang lain, seperti yang telah disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang ertinya:

" Sesungguhnya seseorang hamba apabila ia melakukan sesuatu kesalahan maka akan digoreskan di dalam hatinya satu titik hitam; maka apabila ia menarik diri [dari kemaksiatan itu] dan terus beristighfar dan bertaubat [kepada Allah SWT] hatinya akan kembali suci bersih.  Tetapi apabila ia kembali melakukan kesalahan itu maka titik hitam itu akan bertambah [di dalam hatinya] sehingga sampailah titik hitam itu memenuhi segala permukaan hatinya. Dan inilah yang dinamakan 'Ar-Raan' ataupun 'karat' di hati yang disebutkan Allah SWT
dalam firman-Nya :[seperti yang tersebut dalam hadis di atas, yang bermaksud]: " sekali-kali bukan demikian [seperti apa yang dikatakan oleh orang-orang kafir], sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu [daripada perbuatan dosa] telah menutup hati mereka."H.R. Tirmizi. 

HATI yang sakit teruk sangat susah untuk diubati, samalah halnya dengan penyakit yang sudah terlalu teruk, maka sangat susat untuk dirawat dan diubati.  Namun peluang untuk merawatnya masih ada.  Pintu taubat masih lagi terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkan keampunan.  HATI yang tersangat kotor masih dapat dibersihkan dan penyakitnya yang teruk masih boleh diberi penawar, asalkan pesakit bersedia untuk di rawat dan ubati.  Dan sudah menjadi suatu kepastian pesakit terpaksa menjaga pantang larang bahkan terkadang terpaksa untuk dibedah [operation] atau dipotong sebahagian daripada anggotanya.

Kalau tubuh badan kita yang kasar ini ditimpa oleh sebarang penyakit, tentulah kita akan segera menemui dokto untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.  Kita bimbang penyakit ini akan bertambah besar dan akan merebak ke seluruh anggota badan yang boleh membawa kepada kematian yang akan memisahkan kita dari segala jenis kelazatan dan kebahagiaan dunia ini.  Maka penyakit yang ada di dalam HATI yang merupakan tempatpandang Allah SWT itu adalah lebih mustahak untuk mendapat perhatian dan lebih utama untuk mendapat rawatan yang rapi dan pengubatan yang sempurna.

Cuba kita renungkan ! [ Begitu besar perhatian yang kita berikan terhadap tubuh badan yang kasar ini walaupun hanya sedikit penyakit yang datang menghinggapinya.  Kita pasti akan bersegera membuat rawatan kerana takut mati yang menyebabkan kita terpaksa meninggalkan segala kelazatan dan kebahagiaan dunia ini, maka betapa kita tidak mahu mengambil berat dengan penyakit yang hinggap di hati kita, yang jikalau kita biarkan dan tidak mahu membuat rawatan, kita bukan hanya sekadar terpisah dari kelazatan dan kebahagiaan yang bersifat sementara, tetapi kita akan terpisah dari kelazatan Syurga yang kekal abadi itu.  Dan sudah pasti jikalau seseorang itu tidak berpeluang masuk ke dalam Syurga, ia akan diheret dan dicampakkan ke dalam api Neraka yang sangat dahsyat dan mengerikan itu. Na'uzubillah min zalik.

Oleh itu marilah kita memeriksa hati kita masing-masing: Apakah ia sihat ataukah ia telah berpenyakit.  Selama ini apakah hati kita menjadi tempat iman yang mantap dan merupakan sumber kekuatan yang dapat mendorong untuk kita berbuat kebaikan ataukah ia telah menjadi sarang Iblis atai istana syaitan yang telah menjadi sumber kekuatan yang selalu mendorong untuk kita melakukan dosa dan kemaksiatan.  Cubalah kita meraba dada kita masing-masing dan bertanya kepada diri kita sendiri, sejauh mana keta'atan kita kepada Allah SWT...Sudahkah kita merancang untuk masa depan kita di hari akhirat nanti, seperti kita telah merancang untuk hari tua kita di dunia ini.  Sejauh mana persiapan yang telah kita sediakan untuk menghadapi kematian yang bila-bila masa mungkin menemui kita.  Maka bersiaplah sebelum terlambat dan bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan berusahalah untuk mengubati hati dan membersihkan jiwa daripada " Akhlak Mazmumah" [sifat sifat yang tercela] dan berusaha pula untuk menhiaskannya dengan " Akhlak Mahmudah" [sifat-saifat yang terpuji] dengan bercerminkan kepada tunjuk-ajar yang telah diwariskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai hadiah yang besar kepada umatnya.  Marilah kita mendengari nasihat Bagindayang timbul daripada perasaan yang sangat cinta kepada kita, di mana tidak ada satu jalan daripada jalan kebaikan, kecuali telah Baginda tunjukkan kepada kita dan tidak ada satu jalan daripada jalan kejahatan kecuali telah Baginda melarang kita daripada mendekatinya.
Maka marilah kita mendengar amanah Baginda, suapay kita dihimpunkan pada hari qiamat nanti bersama-sama dalam barisan umatnya yang setia kepadanya dan mendapat syafa'atnya yang besar kerana kita tahu menghargai nasihat dan tunjuk-ajar yang telah Baginda berikan.

Tatapilah Firman Allah yang bermaksud:
" Pada hari itu [hari qiamat] sudah tidak berguna lagi harta benda
dan anak-pinak, kecuali orang yang datang menghadap Allah
dengan hati yang sihat [bersih]."
Surah: Asy-Syu'ara:88-89.
AMIN

Wassalamu'alaikum Warahmatullah.

Comments

Popular posts from this blog