Budaya Suka Banding


Budaya 'suka banding' ini memang kuat dalam masyarakat kita. Secara peribadi, saya amat tidak menyukainya. Banyak pengalaman masa lepas yang benar-benar memberi kesan yang kurang baik kepada hidup saya.
Semasa kita kecil, ramai rasanya menyetujui bahawa budaya 'suka banding' keputusan pelajaran cukup menyakitkan. Seolah-olah diri kita begitu hina atau tidak mempunyai nilai langsung bila diri kita dibandingkan dengan mereka yang lebih baik pencapaiannya. Tidak cukup dengan itu, kita juga selalu 'suka banding' tahap kedudukan dari segi ekonomi. Jika kita datang dari keluarga kaya maka kita akan lebih dihormati berbanding dengan jika kita datang dari keluarga miskin. Perlukah ini semua?

Semasa kita meningkat dewasa, kita ingatkan budaya 'suka banding' ini makin berkurangan tetapi rupanya kita silap. Makin tebal jadinya budaya ini. Kita selalu lihat manusia sekeliling 'suka banding' apa benda yang kita ada, apa pangkat yang kita ada, apa pencapaian yang kita ada dan seribu satu macam lagi perbandingan-perbandingan yang cukup merimaskan. Perlukah ini semua?
Jika kita tidak berhati-hati, budaya 'suka banding' ini akan menyebabkan timbulnya bermacam-macam penyakit hati seperti rendah diri, sakit hati, dendam, bongkak, tak sedar diri dan macam-macam lagi. Ramai yang hidupnya berlegar-legar sekitar membuat perbandingan sehingga lewat usia mereka. Jika beginilah cara hidup kita, mana mungkin datang rasa tenteram dan aman dalam diri?
'Suka banding' memang perlu tetapi bukan sampai membawa kepada corak kehidupan seperti di atas. Perbandingan yang membawa kepada motivasi agar hidup menjadi lebih baik dari sebelumnya memang dituntut. Jika dilihat dari sudut pengurusan masakini, ada suatu inisiatif yang bernama Penandaarasan (Benchmarking) yang sebenarnya menggunakan konsep 'suka banding' ini dalam usaha bawa sesuatu organisasi itu lebih baik dari sebelum ini.
Akhir kata, bagaimana harus kita menangani budaya 'suka banding'yang membawa kepada kesan negatif ini? Rasanya mudah sahaja. Bagaimana? Ianya perlu bermula dari rumah di mana ibu bapa harus mengelakkan 'suka banding' anak-anak mereka dengan anak-anak orang lain. Mungkin niatnya baik tetapi dalam banyak hal kaedah perlaksanaannya selalu membinasakan!
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Mior Azli merupakan seorang jurutera awam yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun dan berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan. Bermula pada tahun 1992, beliau telah melaksanakan pembelajaran secara bersendirian untuk mengkaji dan mempelajari segala cabang ilmu mengenai ilmu pembangunan diri, pasukan dan kepimpinan. Sebenarnya, ini merupakan 'passion' beliau. Pengasas Program Produktiviti Bersepadu 3K (PPB3K) ini menulis di miorazli.com



Comments

Popular posts from this blog