Wednesday, April 13, 2011
Semailah Benih Ini...
Assalamualaikum, salam tarbiah dan dakwah.
Untaian kata-kata kali ini aku padukan untuk mereka yang telah mendahului aku dalam bidang kepimpinan khasnya, dan amnya untuk mereka yang akan bersama-samaku dalam bahtera kepimpinan sesi akan datang.
Benarlah, setiap apa yang kita perkatakan akan diuji. Makin banyak kita berbicara, makin bertambah liku ujian yang perlu kita hadapi untuk melaksanakan kata-kata dan bicara kehidupan kita. Perkara inilah yang perlu diberikan inzar kepada manusia, supaya tidak mengundang murka Allah Tuhan yang Maha Agung.
"kemurkaan besar di sisi Allah terhadap kamu yang berkata-kata pada perkara yang kamu tidak laksanakan..." (mafhum surah as-saff, ayat 3)
Tiada murka yang membuahkan suka, dan tiada lagi kesukaan jika hidup sentiasa dinaungi kemurkaanNya.
Buat kamu yang 'terdahulu'.
Manusia yang bijak akalnya tidak akan lena. Kehidupannya dipenuhi dengan belajar dan berfikir. Guru yang diam tapi berisi bagi mereka ini ialah pengalaman dan sejarah. Dan insan yang hebat pastinya mengambil ibrah dan pedoman daripada kedua-dua perkara ini.
Perkara ini yang aku butuhkan daripada sahabat sekalian. Pengalaman kalian dalam seni dan ilmu kepimpinan mahasiswa ini sangat diperlukan bukan kerana ingin dibuat perbandingan semata, namun semuanya untuk memastikan kami meneruskan pacuan yang telah kalian mulakan dahulunya. Kita sering mengatakan yang kita hanyalah rantai perjuangan yang panjang, dan aku ingin pastikannya tidak sekadar retorika dalam perjuangan yang panjang ini.
Sejarah adalah perkara yang paling berguna. Aku juga sebahagian daripada sejarah itu, namun pandangan yang lebih luas (wider view) sangat diperlukan supaya kami dapat melihat suasana dengan gambaran yang lebih luas (wider picture). Sejarah juga pastinya tidak suci dan putih sahaja, sudah tentu ada kotor dan hitam dalam perjalanan tersebut, dan perkara itu yang perlu kita elakkan.
"tidak sepatutnya seorang mu'min itu masuk dalam lubang ular yang sama sebanyak dua kali..."- mafhum hadis nabi s.a.w.
Buatmu yang terkemudian
Detik masa sentiasa bergerak tanpa sebarang limitasi. Tidak pernah menunggu kita, tidak pernah simpati dengan nasib kita. Perlumbaan dengan masa sudah tentu berlaku setiap masa; saling cuba memotong antara satu sama lain.
Sudah tiba giliran 'benih' yang baru ini bercambah mekar menaungi ruang di alam kampus ini khususnya. Benih yang masih baru dan mentah ini perlu berhadapan dengan suasana yang makin lama gersang dengan nilai-nilai islam.
Kepimpinan itu tidak diminta. Ia ialah sesuatu yang diberi. Pemberian yang akan menguji potensi ilmu, iman dan iltizam, agar yang lahir daripadanya itu ialah buah amal, akhlak dan tadhiyah (pengorbanan). Pemberian ini bukan percuma, perlu satu kesepaduan kukuh untuk membayarnya.
Apa yang perlu kita usahakan mulai sekarang ialah kukuhkan saf perjuangan, hayatilah bahawa kepimpinan itu sifatnya bukan keseorangan (one man show), namun ia bersifat sebuah organisasi dan berjemaah (team work). Seni sunnatullah perlu kita raikan dalam memenuhi tuntutan fitrah alam untuk mendapat keberhasilan dalam gerak kerja kita, selain usaha berganda dalam memahami syariatullah. Kalam hikmah Saidina Umar perlu dijadikan tunjang kepimpinan islam:
"tafaqquhlah (fahamkan dirimu dengan ilmu) sebelum kamu memimpin..."
Semailah benih-benih ini.
Buat kalian yang 'terdahulu', jangan pernah lupa untuk menyemai kami dengan baja yang baik, siraman yang mencukupi, dan sinaran mentari yang menyinari benih yang masih kecil untuk bercambah. Agar kemudian nanti, gerakan kami tidak bertatih, bahkan lebih maju dan laju dari kalian. Bukan dengan niat untuk menonjolkan kepimpinan kami pada sesi kali ini, tidak lain hanyalah demi dakwah yang kita cintai ini.
Sahabatku sekalian, impianku juga indah, seindah kalam taujih dari Tuhan:
Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya itu bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang antara mereka. Kamu melihat mereka ruku' dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Pada wajah mereka itu ada tanda-tanda bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka yang disebut dalam Taurat dan Injil, yaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu menjadi semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak di atas batangnya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir -dengan kekuatan orang mu'min. Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan mengerjakan kebaikan di antara mereka itu dengan keampunan dan pahala yang besar.
Moga tenang si penanam benih, yang telah mendahului kita semua ini.
KKDJ|0316.
Comments
Post a Comment