MCA Kepada Shahrizat : Jangan Sampai Kena Paksa Letak Jawatan

Post Pic
SHAH ALAM, 15 FEB : Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil harus meletakkan jawatan secara sukarela sebelum beliau dipaksa berbuat demikian berikutan tindakannya yang didakwa memberi imej buruk terhadap parti terhadap BN, kata seorang pemimpin MCA hari ini. 

Menurut Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book, sudah tiba masanya Shahrizat melepaskan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2004 itu sebagai bukti beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab. 

"Dia (Shahrizat) perlu fikirkan kesan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diusahakan oleh ahli keluarganya memeberi kesan kepada parti dan kepada kerajaan Barisan Nasional.

"Kesan yang sekarang sudah kurang baik kerana itu Shahrizat harus letak jawatan. Jangan tunggu sampai dipaksa," katanya kepada AntaraPos.com.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengulangi gesaan supaya Shahrizat meletakkan jawatannya.

Dalam ingatannya kepada Shahrizat, Mahathir berpesan agar Ketua Wanita UMNO itu lebih menyayangi parti berbanding jawatan yang disandangnya sebagai menteri. 

Sebagai pemimpin, seseorang itu perlu tahu bila masa yang paling sesuai untuk berundur, katanya. 

Selain Mahathir, Theng Book juga punya pendirian yang sama bersabit isu itu yang mana kemelut NFC turut mengheret kerajaan dan Barisan Nasional kepada kritikan yang berpanjangan. 

"Saya setuju dengan apa yang Tun Dr. Mahathir cakap kerana projek NFC itu menggunakan wang kerajaan dan sekarang dia (Shahrizat Abdul Jalil) sudah membuat kerajaan UMNO-Barisan Nasional diserang kerana tidak mengikut prosedur,"ujarnya. 

Shahrizat didesak berundur ekoran skandal yang melibatkan keluarganya dengan dakwaan penyelewengan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan kepada syarikat penternakan lembu NFC itu.

Jutaan ringgit wang NFC didakwa dibelanjakan oleh ahli keluarganya bagi pembelian kondominium mewah, tanah, kereta serta juga percutian.

Walau bagaimanapun, Shahrizat dan keluarganya menafikan sebarang salah laku berkait dengan NFC.

Tindakan Shahrizat yang menafikan segala dakwaan pembangkang itu akhirnya mengundang kebimbangan banyak pihak termasuk parti-parti lain di bawah Barisan Nasional yang menyifatkan isu NFC ini akan mendatangkan tsunami besar kepada BN.

Sebelum ini, tiga pemimpin UMNO, Ghafur Salleh, Bung Mokhtar Radin dan Syed Ali Al Habshi juga mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik juga mengulasnya dengan berkata, pimpinan UMNO seharusnya mengambil tindakan.

NFC ditubuhkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) untuk meningkatkan hasil daging negara dari bergantung kepada negara asing.
 
 http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WlcZJk

Comments

Popular posts from this blog