Dakwah Fardu Kifayah, Seorang Buat, Yang Lain Tak Payah?


Dakwah berasal dari perkataan Arab da’awa (dal-‘ain-wau). Kemudian berubah menjadi da’a (dal-‘ain-alif) kerana wujudnya huruf ‘illah wau dalam kata asal. Perubahan kata tersebut bertujuan memudahkan sebutan mengikut kaedah bahasa arab. Ia bermaksud mengajak atau menyeru. ALLAH menyebut dalam al-Quran;
Katakanlah (wahai Nabi), “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan yakin. Maha Suci ALLAH, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.” (surah Yusuf; 12:108)

Ia juga membawa maksud kecenderungan terhadap suara dan kata-kata yang keluar dari diri seseorang. Kerana itu ALLAH berfirman;

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada ALLAH, mengerjakan amal soleh dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (surah Fusshilat; 41:33)
Dalam ayat ini ALLAH menyebutkan golongan yang paling utama perkataannya, yakni mereka yang mengajak kepada ALLAH.

Dari itu para ulama mendefinisikan dakwah, sebagaimana disebut oleh Ibnu Taimiyah, sebagai mengajak orang lain untuk beriman kepada ALLAH dan ajaran yang dibawa oleh para rasul-NYA, dengan cara membenarkan setiap apa yang dibawa oleh mereka dan mentaati setiap apa yang mereka perintahkan. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah)

Apakah hukum berdakwah? Mengikut pendapat jumhur, hukumnya ialah fardhu kifayah, berdasarkan firman ALLAH;

Dan hendaklah ada dari kalangan kalian segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (surah Ali ‘Imran; 3:104)

Kalimah wal takun minkum dalam ayat di atas adalah perintah ALLAH agar perlu sentiasa wujud segolongan pendakwah dalam setiap kelompok masyarakat. Kalimah minkum beerti sebahagian dari kalian, ertinya tidak semua diwajibkan menjalankan tugas dakwah. Kewajipan tersebut terlaksana apabila telah wujud sebilangan yang menjalankannya. Kerana itulah hukumnya adalah fardhu kifayah. Tapi, andai dalam suatu komuniti tiada orang yang menjalankan tugas dakwah, maka ketika itu hukum dakwah adalah fardhu ‘ain dan seluruh anggota komuniti tersebut berdosa apabila tiada yang menyahut perintah ALLAH untuk berdakwah.

Kalau begitu adakah beerti kita tidak diwajibkan berdakwah? Kerana dakwah adalah fardhu kifayah, dan kini telah wujud banyak persatuan, jemaah dan sekelompok orang yang sentiasa berdakwah. Adakah mahasiswa mahasiswi di universiti tidak lagi wajib berdakwah setelah wujud sekelompok jemaah yang mewujudkan institusi halaqah atau usrah, atau sebuah persatuan yang sentiasa menganjurkan majlis taalim dan ceramah atau forum Islam perdana? Adakah kewajipan itu telah terangkat?

Di sinilah punca salah faham yang melanda sebahagian besar masyarakat. Malah mungkin tak terlepas juga para da’I kita pada hari ini. Adakah benar fahaman demikian?

Benar dakwah adalah fardhu kifayah, tapi bukan beerti kita boleh mengelompokkan diri kita dalam kalangan yang berdiam diri dengan alasan telah wujud golongan yang menjalankan tugas dakwah tersebut. Mengapa? Kerana sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, kewajipan dakwah belum terlaksana sepenuhnya. Masih terlalu ramai yang tertidur dan belum disedarkan dengan kewajipan mereka selaku hamba ALLAH. Pelbagai statistik yang amat memeranjatkan dan membimbangkan telah dikeluarkan tentang bilangan yang tidak solat, tidak pandai membaca al-Quran, kes zina, pembunuhan, kelahiran anak luar nikah, dan 1001 macam lagi kemaksiatan lainnya. Apabila masih ada objek dakwah yang terlalai dengan syahwat dan kemaksiatan sebegini, maka seluruh kaum Muslimin wajib mengemban tugas dakwah, dan wajib pula membantu para pendakwah yang sedang melaksanakan tugas amar ma’ruf nahi mungkar tersebut. Kewajipan ini adalah demi membantu menambah kekuatan, kuantiti dan kualiti umat Islam, sehingga memiliki kekuatan yang cukup untuk mencegah para pelaku maksiat dan menghentikan pelanggaran syariat yang berlaku saban waktu.

Maka, setelah keadaan menjadi demikian, syariat ditinggikan, maksiat dihindari, masyarakatnya adalah masyarakat Muslim dalam erti kata sebenar, barulah boleh sebahagian orang mendiamkan diri dengan alasan kewajipan dakwah telah terlaksana dan Islam telah terimplementasi dengan baik.

Jadi sahabat, ikhwah wal akhawat sekalian, renungkanlah. Kondisi kita sekarang adakah kondisi yang membenarkan kita berdiam diri ataukah menuntut suatu tindakan dari diri? Ketika membicarakan tentang fardhu kifayah, suka saya memetik kata-kata seorang da’I muda dalam sebuah tazkirah yang disampaikannya (dengan sedikit modifikasi). Fardhu kifayah, seorang buat, orang lain tak payah. Mengapa meletakkan diri kita dalam kalangan yang terlepas kewajipannya kerana telah dilaksanakan oleh orang lain? Mengapa tidak bersikap proaktif dan mengelompokkan diri dalam kalangan yang bekerja melaksanakan kewajipan tersebut agar kewajipan orang lain terlepas.

Maraji’ 1. Fiqh Da’wah, Jum’ah Amin Abdul Aziz 2. al-Muntolaq, Muhammad Ahmad ar-Rasyid

http://www.purebase.org/halaqah/v3/index.php?option=com_content&view=article&id=550:dakwah-fardu-kifayah-seorang-buat-yang-lain-tak-payah&catid

Comments

Popular posts from this blog