Jalan Pahang Barat pusat pembiakan Aedes?
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 3 April: Selepas lebih seminggu longkang di Jalan Pahang Barat dekat sini penuh air bertakung, kini nyamuk memenuhi persekitaran jalan ini khasnya di kedai-kedai dan pejabat sekitarnya.

Sebulan lalu, ketika longkang di sini mula bertakung, beberapa pekerja sekitar kawasan ini terkena Denggi yang dipercayai membiak di kawasan ini.

"Bila kami masuk pejabat pada waktu pagi, penuh nyamuk-nyamuk di atas tangga naik ke pejabat kami. Ini sangat membimbangkan," kata seorang pekerja syarikat swasta di situ.

Sungutan tentang nyamuk ini juga datang dari para pengawal keselamatan yang bertugas di sekitar kawasan ini.

Jalan Pahang Barat terletak di tengah-tengah antara dua hospital iaitu Institut Raspiratori, HKL dan  Hospital Tawakal.

"Dulu tak banyak sangat nyamuk ni, kini teruk kami dikerjakan," kata seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan ini.

Kawasan longkang di depan bangunan baru Hospital Tawakal ini sentiasa saja tersumbat. Sudah beberapa kali ia dibersihkan oleh pihak berkenaan namun kali ini ia sangat teruk.

Ada yang mendakwa ia berpunca dari beberapa kedai makan yang terletak di depan bangunan Hospital Tawakal itu, namun sebab sebenar tidak diketahui.

Ada juga mendakwa ia berpunca dari gerai makan yang terletak di permulaan jalan  masuk ke sini namun ia tetap tidak ada bukti yang sahih.

Masing-masing salah menyalah antara satu sama lain, namun yang menjadi mangsa adalah komuniti yang bertugas di kawasan ini.

"Air dalam longkang ini jernih, kami bimbang ia menjadi tempat pembiakan nyamuk yang bahaya seperti Aedis kerana kami dengar nyamuk ni suka air jernih.

"Tiga minggu lalu seorang rakan kami kena Denggi...baru je baik tu," kata seorang petugas syarikat media yang terletak di situ.

Yang menaikkan darah sesetengah pihak di sini adalah tindakan perlahan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengendalikannya.

"Di hujung jalan ini ada pejabat penguatkuasa DBKL, namun yang mereka saman adalah motor dan kereta yang tersalah letak sahaja tetapi longkang yang penuh dengan air mereka tidak saman pula penyebabnya," kata seorang kakitangan Celcom yang juga bimbang dengan pembiakan nyamuk yang merbahaya.
 

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31646:jalan-pahang-barat-pusat-pembiakan-aedes&catid=1:utama&Ite

Comments

Popular posts from this blog