Pengemis jalanan cemarkan ibu negara

 



Kebanyakan pengemis jalanan membabitkan pendatang asing.



TANPA menghiraukan keselamatan diri apatah lagi risiko-risiko lain yang bakal dihadapi, kumpulan pengemis jalanan tegar kini menjalankan aktiviti harian mereka di beberapa kawasan tumpuan sekitar Lembah Klang.

Jika sebelum ini kita mungkin biasa melihat pengemis yang duduk di kaki-kaki lima bangunan, tetapi kini senarionya berbeza.

Bagi mereka yang biasa ke luar negara terutama Jakarta, Manila, Mumbai dan beberapa bandar besar di dunia ketiga yang yang lain, senario pengemis mengetuk cermin kereta ketika berhenti di lampu isyarat mungkin perkara biasa.

Tetapi, kini ia sudah menular ke negara ini. Sebenarnya, isu pengemis di negara ini tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Tetapi apa yang membimbangkan hari ini, aktiviti mengemis ini bukan semakin berkurangan bahkan 'berkembang' dan menukar operasinya dengan mengemis di jalanan terutama di sekitar persimpangan lampu isyarat.

Golongan ini dengan beraninya mendekati dan mengetuk pintu satu demi satu kenderaan yang berhenti ketika lampu merah bagi meminta sedekah dan sesetengahnya berselindung di sebalik aktiviti menjual pen dan ayat suci al-Quran.

Tidak kurang juga ada yang memancing simpati dengan menunjukkan kekurangan fizikal mereka seperti cedera atau kudung tangan dan kaki.

Daripada pemerhatian yang dilakukan di sekitar kawasan Batu 3, Shah Alam dan Sri Gombak, mendapati rata-rata pengemis jalanan ini adalah pendatang asing terutama dari Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya.

Kebanyakan mereka warga emas berusia dalam lingkungan 50 tahun ke atas, namun ada juga yang jauh lebih muda.

Begitupun daripada pemerhatian beberapa hari di kawasan Sri Gombak, Gombak, Selangor, baru-baru ini didapati terdapat sekurang-kurangnya tiga orang pengemis 'tetap' di kawasan tersebut.
Seperti bertukar-tukar 'syif', pada awalnya seorang lelaki tua berketayap meminta sedekah dengan melakukan 'drama jalanan' iaitu jalan terhincut-hincut sambil bertongkat meminta sedekah dengan mengetuk tingkap setiap kereta yang berhenti.
 Usaha lelaki tua tersebut meraih simpati nyata berhasil apabila ada beberapa pengguna kenderaan menurunkan cermin tingkap dan menghulurkan wang. 

Sehari selepas itu, tempat lelaki tua tadi diganti pula dengan seorang wanita tua bertudung.

Dengan memegang sekotak pen dan juga sepapan ubat, dia dilihat mampu memujuk pemandu-pemandu yang berhenti membeli pen yang dijualnya pada harga RM1.

Sesetengahnya pula menghulurkan sejumlah wang tanpa mengambil pen yang dijual.

Ketika cuba mendekatinya untuk bertanyakan beberapa soalan, ternyata wanita lingkungan usia lewat 50-an itu bukan rakyat tempatan.

Malah ketika ditanya berasal dari mana dengan wajah terpinga-pinga serta seolah-olah tidak memahami apa yang diperkatakan, dia cuma berkata: "Pakistan, Pakistan."

Apabila ditanya mengenai ubat yang dipegangnya pula, dengan menggunakan bahasa isyarat, dia memberitahu ubat itu adalah kepunyaannya.

Setelah diasak dengan beberapa soalan lain, pengemis wanita itu memarahi penulis dalam bahasa yang tidak difahami.

Begitu juga apabila menyedari gambarnya dirakam oleh jurugambar, dia terus duduk di atas pembahagi jalan dengan muka yang masam.
Untuk seketika wanita tersebut menghentikan aktivitinya sehinggalah kami beredar. 

Di satu persimpangan lain di Sri Gombak terdapat seorang lagi pengemis jalanan lelaki yang modus operandinya hampir serupa.

Dengan menjual ayat-ayat al-Quran, pengemis lelaki muda berketayap itu dilihat menjual barangannya setiap kali lampu isyarat bertukar merah.

Tetapi sebaik sahaja melihat kelibat jurugambar dan mengetahui gelagatnya diperhatikan, dia terus melarikan diri.

Tanpa disedari, dari jauh penulis memerhatikan sahaja gelagat mereka seawal pukul 10 pagi sebaik sahaja mereka memulakan 'tugasan' harian.

Daripada pemerhatian tersebut juga didapati mereka sanggup berpanas dan mengulangi perkara yang sama tanpa jemu sehingga ke petang.

Secara tidak langsung gelagat mereka ini sebenarnya turut mengundang kepada kesesakan lalu lintas selain mengganggu kelancaran perjalanan.

Walaupun tidak ada kawasan khusus yang menjadi tumpuan golongan itu untuk meraih simpati masyarakat tetapi pemerhatian mendapati jumlah mereka semakin meningkat di kawasan sekitar Lembah Klang seperti di Shah Alam, Klang, Keramat, Gombak dan juga sekitar pusat bandar.

Perkembangan negatif itu dilihat ada kaitan dengan sikap pemurah rakyat Malaysia yang sebenarnya menjadikan pengemis-pengemis ini semakin berani meneruskan kegiatan tersebut.

Ia ditambah dengan ketiadaan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Senario ini jika dibiarkan berterusan pasti akan mengubah wajah Kuala Lumpur dan ia bakal menjadi kota pengemis. 

Ke mana-mana sahaja kita pergi sekarang ini, sama ada ketika makan bersama keluarga dan berhenti di lampu isyarat, kita akan di sapa oleh pengemis. Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai 'lubuk rezeki' bagi peminta sedekah.

Tidak salah sekiranya ingin menghulurkan bantuan tetapi rasanya lebih elok jika disalurkan kepada pihak yang sesuai supaya wang yang dihulurkan itu benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

 http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Comments

Popular posts from this blog