MENGAPA MANUSIA DIPANGGIL HAMBA ALLAH



 
 Siapa sebenarnya diri kita? Student? King? Raja (kapur)?Apa tujuan kita dihidupkan dan ke mana akhirnya hidup kita ini? Takkan setakat belajar, kerja, kahwin, pencen lepas tu mati? Persoalan sebegini perlu dijawab kerana ia menentukan tindak-tanduk kita dalam kehidupan.
Saya, anda dan semua makhluk yang ada di bumi ini, semuanya hamba Allah (bukan sekadar student aje). Allah yang menjadi dan menciptakan kita. Mustahil sesuatu itu terjadi sendiri tanpa campurtangan Allah. Walaupun pada lahirnya kita bertindak, berfikir dan sebagainya, semua itu adalah atas kehendakNya jua. Dan kita tetap sebagai hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa.
Menjadi hamba Allah memang bersesuaian dengan fitrah semua manusia. Buktinya, setiap hati kecil manusia bersetuju dan sangat bahagia apabila orang memanggilnya dengan gelaran ‘hamba Allah’. Tetapi bila ada orang cuba menggelarnya sebagai hamba selain Allah, seperti “hamba harta”, “hamba betina”, dia akan marah dan melenting. Walaupun orang itu hidupnya sentiasa mengikut kata nafsu, melakukan kemungkaran, memburu dunia sungguh-sungguh hingga lupa Allah, dia tetap tidak suka disebut sebagai hamba kepada apa yang diburu itu. Sebaliknya manusia suka kalau dipanggil “hamba Allah” walaupun dia bukan ingat sangat Allah, sembahyang sekadar nak lepaskan kewajipan, berdoa tidak sepenuh hati, berbuat baik tidak diniatkan kerana mengharapkan keredhaan Allah (sekadar nak tunjuk depan orang kononnya..).
 Begitulah fitrah manusia, suka untuk menjadi hamba kepada Allah. Tetapi kadang-kadang kita solat, kita puasa..tapi ikut ‘mood’ jugak. Agak-agaknya, adakah kita ni benar-benar menjadi hamba Allah? Untuk menjawabnya kita perlu faham pengertian hamba yang sebenarnya.
 Erti hamba ialah seorang yang tunduk, patuh, berserah diri, sentiasa takut, ikut arahan, memelihara daripada perkara yang tidak disukai oleh tuannya dan sanggup berbuat dan berkorban apa sahaja untuk tuannya. Nama pun hamba, betul tak?

Sikap lahir pula melambangkan rasa kehambaan yang bertapak di hati, iaitu rasa kekerdilan, kelemahan dan kedhaifan seorang hamba. Sementara sifat sombong, angkuh, ego, bangga diri dan sifat-sifat keji yang lain tidak ada padanya, kerana hamba martabatnya rendah.

 Setelah diukur dengan tindakan kita terhadap Allah, sudahkah mencukupi dan layak kita menyandang gelaran “hamba Allah” itu? Sudahkah kita menjalankan tugas sebagai hamba Allah, yakni menunaikan segala titah perintah dan menjauhi laranganNya . Sudahkah kita merasakan kerdilnya diri, lemah, bodoh, dhaif dan hina berbanding dengan Allah, Tuhan atau Tuan kita. Apakah kita sentiasa merasa gerun dan takut pada Allah sebagai mana firmannya:
“Aku hanya takut pada Allah” ( Al-Maidah:28)

Kalau belum, kita patut bimbang , bagaimanalah kita di sisi Allah, entah dipandang atau tidak muka kita yang tak malu ni. Kita mengaku sebagai hamba Allah, tetapi tidak mengikut segala ketetapan Allah dan tidak menyerah diri sepenuhnya kepada Allah. Apa ertinya ikrar dan pengakuan kita jika tiada bukti untuk Allah mengiktiraf kita sebagai hambaNya?

Jadi, wajarlah kita mendidik diri untuk mendapatkan rasa kehambaan itu. Mungkin pada peringkat awal kita perlu menggagahkan diri seperti bertafakur seketika di tengah malam memikirkan tanggungjawab sebagai hamba Allah (sedangkan bangun tengah-tengah malam nak tengok bola pun kita sanggup). Kemudian berusaha bersungguh-sungguh membuang sifat-sifat ketuanan seperti sombong, merasa diri hebat dan lain-lain. Kalau terlahir juga sikap itu, cepat-cepar beristighfar dan membaikinya. ‘A soul in search of God must fight’.

Sebenarnya, penghalang besar bagi fitrah murni untuk tunduk dan benar-benar mengabdikan diri kepada Allah ialah nafsu dan syaitan, nescaya manusia ini akan sentiasa merindui dan membesarkan Tuhannya dan taat padaNya. Fitrah roh sudah kenal Allah dan mengaku untuk menjadi hambaNya, seperti firmanNya:
“Allah bertanya kepada roh: Bukankah aku tuhanmu? Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Al-A’raf: 172).

Jadi kita perlu bermujahadah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. Sesiapa yang sungguh-sungguh mencari keredhaan Allah, mengabdikan diri kepada Allah dan sungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya, akan mendapat ganjaran kebaikan dan nikmat Syurga. Sebaliknya mereka yang enggan dan ingkar akan menerima azab yang pedih di Neraka, wal’iyazubillah. Pilihan di tangan kita, yang mana satu idaman kalbu? Firman Allah:
“Adapun mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka itu Syurga Makwa sebagai tempat tinggal sebab perbuatan mereka itu. Dan adapun bagi mereka yang fasik (perosak) maka tempat tinggal mereka adalah Neraka.” (As Sajadah: 20).

Oleh itu eloklah kita berusaha sungguh-sungguh memupuk fitrah murni itu dengan mendatangkan rasa berTuhankan Allah dan ingatkanlah diri kita bahawa “Aku hamba Allah”. Tanya pada diri selalu sudah layakkah aku digelar hamba Allah? Seterusnya berdoalah supaya Allah terima kita sebagai hamba-Nya yang diredhai dan dirahmati.

 SUMBER http://sinaronline.tripod.com/edisi19/ibadah.htm

Comments

  1. I like it because i was seeking for such type of info.
    I hope it benefits all one who land up here.
    Thanks for sharing!!
    1990 Isuzu NPR Truck AC Compressor

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog