Orang-orang Islam adalah bersaudara |
Dalam perutusannya sempena Idul Fitri lalu, Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa [lihat harakahdaily.net] Sekali imbas kenyataan ini, kelihatannya seperti benar. Kerana bagi kita yang mengimani isi Al-Quran mempercayai asal kejadian manusia adalah dari keturunan Nabi Adam a.s dan pasangan, Hawa. Secara biologi (biologically), memanglah kita meyakini semua manusia yang wujud hari ini merupakan keturunan dari Adam, bukannya dari keluarga beruk seperti yang didakwa oleh Charles Darwin. Wujudnya manusia dalam bentuk plural setelah mengalami proses pembiakan sepanjang sejarah alam; berbilang bangsa, warna kulit, ras, bahasa, budaya dan sebagainya merupakan bukti kekuasaan Allah SWT menciptakan makluk-Nya (manusia) dalam ruang pluraliti. Firman Allah, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." [TMQ ar-Rum (30):22] Setelah berkembang biaknya manusia dengan jumlah yang begitu ramai di seluruh pelosok bumi, maka bertembung pulalah antara satu sama lain akibat perselisihan, perbezaan mahupun pertentangan akibat fitrah yang wujud dalam setiap manusia. Justeru, sebahagian menjadi musuh sebahagian yang lain. “Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa". [TMQ al-Baqarah (2):36] Manusia difitrahkan memiliki akal yang menjadi alat untuk mereka membuat pilihan. Ia bebas memilih tanpa dipaksa atau ditambat pada mana-mana kuasa, melainkan itulah iradah (kehendak) dari Allah, Yang Maha Perkasa. Manusia bebas (free will) untuk membuat pilihan, dan setiap perbuatan yang lahir dari pilihan tadi pasti dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Dan asas pilihan manusia itu hanyalah 2 (dua); beriman atau kufur! Sejak pengutusan Adam lagi hinggalah setelah Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, risalah Allah yang dibawa oleh para Rasul telah membawa pelbagai persoalan yang memisahkan antara keimanan dan kekufuran. Maka lahirlah dua golongan manusia iaitu orang-orang beriman dan orang-orang kafir. Perbezaan antara mereka adalah bergantung kepada tauhid/aqidah yang mereka anuti. Biarpun, secara biologi mereka hadir dari punca yang sama, tetapi aqidah merekalah yang memisahkan mereka. Orang-orang kafir menjadi musuh kepada orang-orang beriman dan mereka wajib didakwahi (dan diperangi dalam keadaan-keadaan tertentu) oleh orang-orang beriman sehinggalah mereka memeluk Islam, atau mereka tunduk dan patuh kepada risalah Allah. Oleh kerana itu, dari zaman Adam hingga Muhammad SAW, perpisahan dan perbezaan akidah yang memisahkan manusia kafir dan manusia Mukmin menjadi jelas, begitu juga pemisahan antara hak dan batil. Namun, oleh sebab manusia berasal dari bapa yang sama, maka, golongan kuffar tidak pernah sunyi dalam menyesatkan umat Islam dengan pemikiran-pemikiran kufur mereka. Bagi Yahudi dan Nasrani khususnya yang tidak pernah putus memerangi Islam, baik secara pemikiran mahupun fizikal, maka salah satu alat penyesatan mereka adalah konsep pluralisme (persamaan agama)! Idea ini menular di tengah-tengah masyarakat dunia sebagai alat kuffar, khususnya Barat untuk ‘mencairkan’ kekuatan akidah umat Islam agar dapat menerima mereka sebagai sahabat atau saudara, akibat kesamaan ‘bapa’ yang manusia miliki. Setelah pemikiran/akidah Islam ini diserang, maka goyahlah akidah umat ini, walhal mereka menganut agama yang benar. Maka lahirlah golongan yang bersifat apologetik, yakni ingin membela Islam tapi dari ‘kandang’ orang salah. Seterusnya, mereka dilihat sebagai ‘pembela’ Islam, padahal mereka telah menjadi penyokong idea pluralisme, sama ada secara sedar atau tidak. Idea penyesatan Barat ini cuba menyatakan bahawa manusia adalah sama sahaja, seolah-olah mereka adalah adik-beradik atau bersaudara. Justeru, idea ini menyatakan bahawa kita perlu berbaik-baik sesama kita. Atas dasar ini, maka umat Islam pun berbaiklah dengan mereka dan menganggap mereka adik-beradik, walhal mereka sebaliknya membunuh umat Islam, merogol, menangkap, memenjara, menyeksa, malah mereka sebenarnya membenci Islam dan umatnya habis-habisan. Pembunuhan demi pembunuhan ke atas umat Islam mereka lakukan, namun dalam masa yang sama, mereka tetap mencanangkan bahawa kita semua adalah sama kerana berasal dari bapa yang sama. Sudahnya, umat Islam yang menerima konsep pluralisme ini terus-menerus berada dalam perangkap, walaupun mereka ikhlas memperkatakannya. Walaupun secara biloginya semua manusia berasal dari sumber yang satu, namun Allah telah membezakan di antara manusia kufur dengan manusia Islam. Allah telah menjadikan kekafiran sebagai musuh kepada keIslaman dan Allah tidak pernah menyamakan antara golongan kafir dan Islam, malah keduanya dijadikan dan telah dikatakan oleh Allah sebagai musuh, bukannya saudara. “...sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” [TMQ an-Nisa’ (4):101] Dan Allah menjadikan hanya orang-orang beriman sesama mereka sahaja sebagai saudara. Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." [TMQ al-Hujurat (49:10] Demikianlah kedudukan manusia yang diciptakan oleh Allah di mana Allah telah membezakan keduanya, satu golongan kafir dan satu lagi beriman, walaupun mengikut logiknya semua manusia itu berasal dari Adam. Jika nak diikutkan logik juga, maka siapakah di kalangan umat Islam yang sanggup untuk mengatakan bahawa George Bush dan Tony Blair yang telah membunuh ratusan ribu umat Islam itu adalah saudaranya, atau adik-beradiknya, kerana Bush dan Blair juga berasal dari Adam. Siapakah yang sanggup mengatakan bahawa Firaun yg mengaku Tuhan dahulu adalah saudaranya kerana Firaun pun berasal dari Adam. Sanggupkah untuk kita mengatakan yang Salman Rushdie dan Geert Wilders adalah adik-beradik kita kerana keduanya berasal dari Adam? Bagaimana pula dengan Shimon Peres, Benyamin Netanyahu, Rizak Yabin, Ehud Olmert, Mustafa Kamal laknatullah dan lain-lain, sanggupkah untuk kita mengaku yang mereka ini adik-beradik kita juga, sebab semuanya berasal dari Adam...Itu belum masuk lagi Abu Jahal, Abu Lahab, Walid bin Mughirah, Utbah bin Rabiah dan sekutu-sekutu mereka yang memusuhi Rasulullah - apakah kita semua sanggup untuk mengaku yang mereka adalah adik-beradik kita? Dan bagi umat Islam yang mempercayai adanya soalan di kubur di mana malaikat akan bertanya, “siapakah saudara kamu”? Bukankah kita dituntut untuk menjawab “orang-orang Islam adalah saudaraku...”? Wallahu a’lam. |
Comments
Post a Comment