WANITA UMNO DAN UMMI HAFILDA




Ada kenyataan Ummi Hafilda (foto) yang tak berapa sedap dibaca dalam wawancaranya di dalam akhbar Utusan Malaysia semalam mengenai Wanita UMNO. Secara kebetulan, semalam juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil membuat pengumumannya untuk melepaskan jawatan menteri kabinet berkuatkuasa 8 April nanti.

Saya tidak mengenali Ummi Hafilda secara dekat, dan tidak juga berpeluang mendengar ceramahnya sebelum ini. Saya hanya sekadar membaca di dada-dada akhbar dan cakap rakan-rakan politik mengenai isi kandungan ceramah Ummi yang hebat dan meruntun hati Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sememangnya sudah lama terniat di hati saya hendak menjemput Ummi berceramah di sekitar Tanjong Malim atau di DUN Slim yang saya wakili.

Namun seolah ada sikap riak Ummi dalam wawancaranya di dada Utusan Malaysia semalam yang membuatkan minda saya tertanya-tanya. Memperkecilkan gerakkerja dan usaha yang dilakukan oleh dua juta ahli Pergerakan Wanita UMNO terhadap parti dan negara selama ini bukanlah satu kenyataan tepat dan bijak daripada Ummi.

Rata-rata ahli UMNO mengakui peranan besar yang telah dimainkan oleh Wanita UMNO sejak sekian lama untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti. Sekadar menyebut sedikit daripada sebilangan besar sumbangan mereka adalah kesanggupan Wanita merayu undi dari rumah ke rumah pada setiap kali Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Kecil. Skuad Sayang Wanita UMNO pula ketika ini bergerak dengan begitu efisyen mendekati rakyat. Sekretariat Jalinan Rakyat yang diterajui oleh Wanita UMNO juga memainkan peranan yang cukup besar memperkukuhkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam membuat kajian mengenai aliran sikap pengundi.

Mungkin kenyataan Ummi dilihat tertumpu kepada kurangnya usaha Wanita UMNO menyerang Anwar Ibrahim dalam siri ceramah sebagaimana dilakukannya. Itu tanggapan luaran Ummi. Pastinya Wanita UMNO juga ada memainkan peranan itu mengikut acuan dan cara mereka sendiri, cuma kurang mendapat publisiti sebagaimana yang diterima oleh Ummi. Lebihnya Ummi sebab dia mempunyai first hand information mengenai Anwar, berdasarkan rentetan sejarah hubungan beliau dan keluarganya dengan Ketua Pembangkang itu.

Parti menghargai usaha yang dilakukan oleh Ummi. Tetapi dalam masa yang sama, Ummi perlu mengurangkan sikap riak dan bangga diri sehingga mengeluarkan pula kenyataan memperkecilkan kerja pihak lain, apatah lagi terhadap Wanita UMNO yang telah banyak berjasa kepada UMNO sejak parti itu ditubuhkan lagi. Ummi perlu melihat gerakkerja Wanita UMNO dari sudut yang lebih luas secara positif.

Kepada Wanita UMNO, anggaplah kenyataan Ummi ini, selain dugaan yang sedang dihadapi Dato' Seri Shahrizat, sebagai satu cabaran untuk terus terus tekun dan tabah mendekati rakyat melalui gerakkerja yang dilakukan, khususnya menjelang PRU13.

Di bawah ini saya siarkan sedikit kenyataan Ummi yang disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam :

"Bagi saya kumpulan wanita dalam sebuah parti ini (UMNO) mesti realistik. Bukannya ‘lembu punya susu, sapi pula yang dapat nama’. Saya lihat pergerakan wanita ini banyak mempunyai kenyataan retorik. Balik-balik kata kita akan serang habis-habisan. Tapi yang siang malam berceramah di seluruh negara sekarang ini adalah Ummi Hafilda.

Di mana dua juta ahli wanita yang lain. Kenapa tak berani serang Anwar. Pengalaman kita kalah pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan kita tak kerja keras seperti mana Anwar dan Azmin. Dalam strategi pilihan raya kena ada penghapusan hipokrisi Anwar dan gengnya. 

Bila Anwar pergi ke seluruh negara, dia pengaruhi dan psiko rakyat untuk benci kerajaan, UMNO dan akhirnya dia menang lima negeri. Inilah yang kita nak tonjolkan. Kita jangan dibuai mimpi dan sekadar buat kenyataan (retorik) nak serang, tapi apa strateginya. Jujurnya, saya tak pernah dengar mereka serang Anwar sedangkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerja bermatian-matian sampai peluh tak kering turun padang ke seluruh negara.

Tapi Anwar sampaikan lari tak cukup tanah kerana Ummi Hafilda. Yang malam-malam bergadai nyawa adalah Ummi Hafilda. Saya dibaling batu, dicarut dan dimaki. Saya buat ni semua meskipun saya tak pegang satu jawatan pun dalam parti. Saya buat atas kerelaan saya".
http://khusairitgmalim.blogspot.com/2012/03/wanita-umno-dan-ummi-hafilda.html

Wawancara penuh Ummi Hafilda di Utusan Malaysia boleh dibaca di

Luahan hati Ummi Hafilda

SAMA ada kita kasihan, simpati, meluat atau menyampah dengannya, perkembangan hidup Ummi Hafilda Ali tetap diikuti ramai.

Apabila adik bongsu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ini turun padang berceramah sejak awal tahun lepas, khalayaknya pelbagai. Setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan, Ummi menambah peminat ceramahnya. Intinya berkisar dua isu utama sahaja. Hipokrisi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gengnya. Lebih penting lagi kisah abangnya, Azmin yang masih terus membuang keluarganya. 

Saya disuakan oleh Ummi telefon bimbitnya yang tertera beberapa rakaman video yang menampakkan melaut manusia berkopiah, berserban di Pasir Puteh dan Besut. Mereka tidak berganjak, berhenti berborak, asyik mendengar pendedahan Ummi dalam ceramahnya.

Menginjak usia 44 tahun, susunan ayat wanita ini teratur demi untuk menjelaskan kebenaran demi kebenaran dalam satu pertemuan dengan saya dan rakan jurugambar, Shahril Azman Mohd. Zain di Mont Kiara Solaris dekat Hartamas, Kuala Lumpur Khamis lalu. Ikuti sedutan luahan Ummi:

Tunggulah mak tutup mata Min!

Azmin seorang anak baik. Solat dia jaga, tak pernah tinggal. Dia taat kepada mak bapa. Namun, akhirnya saya (Ummi) kecewa kerana ia bukan sahaja dirosakkan 100 peratus oleh Anwar Ibrahim tetapi 300 peratus. 

Hari ini saya nak cabar Azmin sudah lapan bulan dia tak balik tengok mak dia. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, dia boleh ikuti program Korban Satu Malaysia, tapi mak dia panadol pun dia tak beri. Mak dia, Hajah Che Tom (binti Yahaya, 78) sudah beberapa kali pengsan. Mak uzur. 

Saya tweet dia (Azmin) 15 kali pada 6 Februari baru ini, saya tanya kepadanya, kenapa buang mak, buang kakak-kakak. Saya tanya dia kenapa tak jawab.

Inilah yang kita pertikaikan. Kalau dia bercakap pasal idealisme, perjuangan dan kepimpinan yang dia nak rampas, kenapa natijahnya buat keluarga ini. 

Bagi saya ibu adalah jannah (syurga). Azmin marah sebab mak sokong saya. Seorang ibu tak payah pergi universiti kalau nak tahu anak mana yang benar atau mana yang salah. Dan mak tahu saya di pihak yang benar. 

Saya cabar Azmin. Kalau dia nak jadi pemimpin, dia kena minta ampun pada mak dan berbaik-baik dengan kakak-kakak dia, Norlia Ali, 54, Intan Dawini, 52. Selepas dua kakak, seorang lagi abang saya, Azman, 50, kemudian Azmin, diikuti kelima, Azwan 45. Mak saya tu sudah tak ada air mata dah. Air mata darah pun tak ada dah. Sejahat mana pun anak dia, dia pun rindukan dia juga. Berpuluh-puluh kali dia telefon Azmin dan bagi mesej, Min, Min ini mak Min. Kenapa dia tak jawab. 

Saya tweet dia. Kau kenal tak lagi Hajah Che Tom. Kenapa dia tak respons. Macam mana dia nak jadi pemimpin, kalau nasib mak dan keluarga dia tak bela. Yang saya nampak, Anwar telah merosakkan institusi keluarga. Dan saya salah satu keluarga yang menjadi mangsa percaturan kerakusan politik Anwar.

(Ummi ketika ini sebak) Masa dia (Azmin) belajar di luar negara, saya cukup terharu apabila dia bagi surat yang sokong dan nasihat pada saya. Azmin seorang abang yang baik. Dahulu, semasa saya darjah satu hingga tiga, saya tak pernah bawa beg sekolah, Azmin yang tolong bawakan. Dia cukup sayang pada saya. Tapi hari ni dia maki saya. Kerana Anwar, dia buang saya dan adik-beradik. Saya nak tanya dia, kalau dia terlantar sakit, siapa yang nak bacakan Yasin buat dia. Adakah Nurul Izzah, Anwar atau Dr. Wan Azizah (Wan Ismail). Kalau dia mati, adik-beradik juga yang datang. Saya bersyukur selepas 7 tahun bersengketa dengan Azwan, Alhamdulillah dia kembali ke pangkuan keluarga. 

Ini yang saya tekankan kepada Azwan. Keluarga adalah penting Wan. Dan akhirnya Azwan terima hakikat ini. Tapi kenapa Azmin ego, sekalipun dia terhutang budi kepada Anwar kerana kemewahan, kedudukan wang ringgit tetapi bukan kemewahan atau pangkat itu dia nak bawa dalam kubur.

Sejak 1997 lagi dia buang saya. Bukan tujuan saya nak aibkan Azmin. Kalau cuba baca surat saya 14 tahun lalu, saya tulis kepada Tun Dr. Mahathir (Mohamad). Tun, tolong selamatkan abang saya Azmin yang terlalu baik. Kalau saya berniat jahat, kenapa saya tulis tiga perenggan ini. Saya tulis sebab Dr. Mahathir bapa angkat kepada Azmin. Tujuan saya baik tapi tak terfikir pun surat itu akan jadi kes mahkamah. Ini tunjukkan Tuhan mengatasi segalanya. Saya buat surat ini supaya Dr. Mahathir tarbiahkan Azmin dan Anwar.

Tapi Azmin anggap ia ancaman untuk dia melangkah lebih jauh dalam politik sehingga menghalalkan segalanya. Saya ingat kata-kata terakhir Azmin kepada kakak-kakak dan saya di rumah Kak Long. Kata dia, bos aku (Anwar) boleh bagi aku berjuta-juta, korang habuk pun tak ada. Kami sungguh terperanjat. Di mana rasionalnya Azmin sebagai anak Ustaz Ali (arwah) yang mengajar al-Quran dan agama. Kenapa dia hilang pedoman. Kenapa duit dijadikan landasan perjuangan dan hala tuju Azmin. 

Azmin dibuang keluarga tapi dia buat fitnah di dalam blog-blog pembangkang kata saya anak derhaka, dibuang keluarga sedangkan dia yang dibuang. Bila anak kakak saya kahwin tahun lepas, berkali-kali kami telefon dan mesej dia, tapi tak jawab. Seluruh dunia boleh pergi, kahwin anak saudara sulung tak boleh.

Tentang mak lagi, ada dia ingat nak hantar mak setiap bulan ke IJN (Institut Jantung Negara). Saya yang hantar, kalau tak saya, Intan.
Ada suatu masa, mak rindu pada dia. Tapi mak fikir balik, kalau ibu dia boleh buang, jangan sampai bila mak dah tutup mata esok, dia tak sempat nak minta ampun dan maaf. Dia kena fikir sendirilah. Dia nak gunakan ibu sebagai bahan politiknya mahu mak sokong dia. Orang lain boleh dia rasuah tapi ibu tak boleh macam tu. Bagaimana kami nak halalkan benda-benda ini dalam keluarga Ustaz Ali (bin Omar yang meninggal dunia pada 1999 ketika berusia 79 tahun) sebab satu Klang Gate tahu dia guru agama. Kenapa nak halalkan kemungkaran. Saya ada sebab dedahkan kebenaran semua ini tentang Azmin. Kalau dia terlepas menjadi pemimpin, ini berbahaya kepada negara. 

Orang kata Dr. Mahathir bagi saya RM10 juta, Daim pula RM7 juta. Tapi yang betulnya 10 sen pun Dr. Mahathir tak bayar sehingga hari ini.

Kecewa retorik akan serang habis-habisan

Bagi saya kumpulan wanita dalam sebuah parti ini mesti realistik. Bukannya ‘lembu punya susu, sapi pula yang dapat nama’. Saya lihat pergerakan wanita ini banyak mempunyai kenyataan retorik. Balik-balik kata kita akan serang habis-habisan. Tapi yang siang malam berceramah di seluruh negara sekarang ini adalah Ummi Hafilda. 

Di mana dua juta ahli wanita yang lain. Kenapa tak berani serang Anwar. Pengalaman kita kalah pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan kita tak kerja keras seperti mana Anwar dan Azmin. Dalam strategi pilihan raya kena ada penghapusan hipokrisi Anwar dan gengnya. 

Bila Anwar pergi ke seluruh negara, dia pengaruhi dan psiko rakyat untuk benci kerajaan, UMNO dan akhirnya dia menang lima negeri. Inilah yang kita nak tonjolkan. Kita jangan dibuai mimpi dan sekadar buat kenyataan (retorik) nak serang, tapi apa strateginya. Jujurnya, saya tak pernah dengar mereka serang Anwar sedangkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerja bermatian-matian sampai peluh tak kering turun padang ke seluruh negara.

Tapi Anwar sampaikan lari tak cukup tanah kerana Ummi Hafilda. Yang malam-malam bergadai nyawa adalah Ummi Hafilda. Saya dibaling batu, dicarut dan dimaki. Saya buat ni semua meskipun saya tak pegang satu jawatan pun dalam parti. Saya buat atas kerelaan saya. 

Cuma, saya perhatikan pembangkang sebenarnya tidaklah sekuat mana. Tapi ia disebabkan masalah domestik kita (BN)
 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0311&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm&arc=hive
 

Comments

Popular posts from this blog