Aku dan Islam Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Menyebut Tentang Jin, Iblis dan Syaitan
Hasil Nukilan & Titik Peluh Serta Penat Lelah Oleh fAiZ aS-ShoMuUt pada detik 12:10:00 PM
Semakin lama kita hidup semakin meningkat umur kita dan semakin dekat masanya untuk kita bertemu dengan-Nya. Pernahkah kita merenung sedetik tentang amalan dan dosa yang kita lakukan selama ini yang akan dilihat dan dibalas oleh-Nya di akhirat kelak? Hidup memang susah dan Allah tidak menjadikannya senang. Oleh sebab itulah Dia menciptakan Syurga dan Neraka kepada manusia dan jin. Selama sebulan menyepikan diri dari menghantar post ke blog saya ini, alhamdulillah dapat juga menyiapkan tajuk ini walaupun sudah sebulan teringin untuk mengeluarkan artikel ini. Hidup kita menjadi susah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan kehadiran beberapa ciptaan Allah, seperti Jin, Iblis, Syaitan dan Nafsu. Nafsu boleh dikawal jika betul caranya. Nafsu tidak mengajak manusia itu selain dari melakukan keburukan. Tetapi sedarkah kita bahawa masih ada lagi makhluk yang mengganggu kita iaitu Syaitan. Dia susah hendak dikawal apatah lagi dididik. Sememangnya tidak boleh. Ia sudah menjadi tugas bagi Syaitan untuk menyuruh melakukan kemungkaran kepada Allah. Ia juga sejajar dengan janjinya kepada Allah bahawa dia akan merosakkan anak-anak Adam hingga hari kiamat. Apa yang kita boleh lakukan untuk mengelak dari tipu daya Syaitan ini adalah dengan menjauhinya. Bagi saya, sememangnya tiada satu carapun untuk mengelakkan diri kita dari gangguan Syaitan. Mana tidaknya, sedangkan Nabi kita sendiri sering diganggu oleh Syaitan. Apatah lagi bagi kita yang jauh ke belakang dari Nabi. Namun dalam usaha untuk menjauhinya, kita mestilah tahu sedikit sebanyak mengenai makhluk Laknattullah ini. “Tak kenal maka tak cinta”. Itulah ungkapan yang sering dikeluarkan dari mulut masyarakat Melayu kini. Tetapi tidak semestinya apabila kita kenal, kita kena cinta dan tidak semestinya kita kenal siapa itu Syaitan, kita kena suka dia. Tidak. Tolong ubah sedikit maksud sebenar ungkapan tersebut. Kadang-kadang tidak boleh pakai juga ungkapan ini.

Baiklah berbalik kepada topik utama kita, agak terpesong sedikit tadi. Ada beberapa hadis yang banyak menyebut mengenai perihal Iblis dan Syaitan. Ada satu hadis yang ingin saya kongsikan di sini iaitu hadis riwayat Anas bin Malik R.A. ;

"Iblis telah bertanya pada Allah: wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepada-Mu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku."
Firman Allah:
"Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."
Iblis bertanya lagi:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?"
Firman Allah:
"Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?"
Firman Allah:
"Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?"
Firman Allah:
"Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?"
Firman Allah:
"Azan untukmu ialah seruling."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu melalui para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?"
Firman Allah:
"Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku."
Iblis Bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?"
Firman Allah:
"Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."
Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?"
Firman Allah:
"Perangkap bagimu ialah wanita."
Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?"
Firman Allah:
"Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta yang tidak disebutkan nama-Ku padanya."

Selain itu, Syaitan juga mempunyai nama masing-masing berserta dengan tugas yang tertentu. Ada satu artikel yang saya jumpa mengenai nama-nama Syaitan dalam Surah Al-Fatihah yang boleh tersebut namanya jika tersalah membacanya. Antara nama Syaitan dalam surah Al-Fatihah jika tersalah bacaan ialah;

1) syaitan yang bernama DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH

2) syaitan yang bernama HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB

3) syaitan yang bernama KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU

4) syaitan yang bernama KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK

5) syaitan yang bernama KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS

Tetapi saya tidak boleh memastikan kesahihan nama Syaitan ini kerana ia telah dibahaskan oleh Dr. Amran Kasimin. Beliau menolak kebenaran nama Syaitan di atas kerana ia tidak mempunyai sumber yang sahih. Tetapi jika betul ia palsu sekalipun, tidak salahkan kita memperbaiki bacaan Surah Al-Fatihah lebih-lebih ia merupakan rukun dalam solat. Ada beberapa nama Iblis yang mempunyai sumber yang insya-Allah, sahih iaitu dalam hadis riwayat Abdullah bin Muhammad bin Ubaid daripada Mujahid yang bermaksud;

“Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A’war, Masuth, Dasim dan Zalambur. Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah: A’war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina. Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri, manakala Zalambur, menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar”.

Dalam artikel Dr. Amran Kasimin, dalam kitab Raji Al-Asmar iaitu Al-Jin, ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia. Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila, Al-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa waswas, dan juga yang membisikkan telinga manusia agar timbul waswas. Nama jin lain yang disebut ialah At-Tabi’, ataupun Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, ia terdiri daripada lelaki dan perempuan, manakala Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat. Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah. Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan. Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali. Manakala Khanzab ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.

Demikianlah beberapa info mengenai perihal Jin, Iblis dan Syaitan. Sama-samalah kita renungkan bagi memperbaiki mutu amalan kita di samping mengurangkan sedikit demi sedikit amalan buruk kita selama ini. Insya-Allah. Sekian. Wallahhu-A’lam. (n_n)

Comments

Popular posts from this blog