E- Fatwa

Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.
Keterangan/Hujah:


1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.

2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan vitamin D3.

3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.

4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.

5. Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci.

6. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.

7. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga adalah suci.

8. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.
---------------------------------------------------------------------------------
Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
------------------------------------------------------------------------------

Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri;

2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu; dan

3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk .
------------------------------------------------------------------------------

Mengugurkan Kandungan Ke Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mar 1990 telah membincangkan Mengugurkan Kandungan Ke Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan. Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

==================================================================================
Hukum Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation)

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 - 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation). Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.
Keterangan/Hujah:

1. Jumhur al-Syafi'iyyah, Imam Ahmad dan al-Hanabilah dan pendapat Sahnun daripada Mazhab Maliki mengatakan khitan adalah wajib bagi perempuan.

2. Amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam. Ia telah wujud di zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Ini dijelaskan melalui hadis riwayat Abi Daud dan Amal ahli Madinah. Jadi dakwaan yang mengatakan bahawa amalan ini tidak ada dalam Islam adalah tidak tepat.

3. Setakat ini belum ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa amalan berkhatan di kalangan wanita menimbulkan mudharat sehingga membahayakan nyawa wanita. Di dalam Islam, sekiranya sesuatu amalan yang diperintahkan itu boleh menimbulkan mudharat pada diri dan nyawa orang yang melakukannya, maka ia wajib ditinggalkan.

4. Amalan Female Genital Mutilation (FGM) seperti yang ditentang oleh World Health Organization (WHO) adalah bertentangan dengan amalan berkhatan seperti yang ditetapkan oleh Syarak.
===============================================================================

Hukum Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pesakit heamophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit heamophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.

2. Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.

Keterangan/Hujah:


1. Haemophilia adalah penyakit yang melibatkan kegagalan fungsi darah di mana darah pesakit tidak dapat membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembeku dalam darah (clothing factor). Pakar perubatan belum menemui ubat bagi merawat penyakit warisan (genetic) ini dan pesakit akan menderita sepanjang hayat. Pesakit heamophilia akan mudah mengalami pendarahan walaupun hanya berpunca daripada kecederaan kecil seperti pendarahan dalam sendi tulang, pendarahan hidung bahkan pendarahan dalam otak.

2. Menurut fuqaha’ sebarang penyakit termasuk penyakit keturunan adalah perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini prinsip pencegahan (al-wiqayah khairun minal ‘ilaj ; mencegah lebih baik dari mengubat) daripada sebarang bentuk gejala yang menjejaskan kesihatan menjadi pegangan. Ia selaras dengan tujuan syariat Islam (maqasid al-syari’ah) yang pada asasnya untuk menjaga lima perkara utama iaitu memelihara agama, nyawa, harta, akal, dan keturunan. Atas asas ini juga hukum taklif hanya ditujukan kepada orang Islam yang memenuhi syarat untuk melaksanakan ibadat.

3. Beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dikaitkan dengan kelonggaran yang wajar diberi kepada kedua-dua golongan dan kekecualian daripada melaksanakan amalan berkhatan iaitu:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak memudharatkan.

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: Dharurat boleh menghapuskan larangan

الضرر يزال.

Maksudnya: Kemudharatan hendaklah dihapuskan


4. Heamophilia merupakan sejenis penyakit di mana aliran darah tidak dapat berhenti walaupun setelah dijahit. Penyakit ini sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

5. Mengikut prinsip Islam, penjagaan terhadap nyawa amat diutamakan dan sekiranya kewajipan berkhatan ini boleh mendatangkan mudharat kepada pesakit heamophilia, maka kewajipan tersebut digugurkan.

6. Dalam semua kewajipan yang diwajibkan ke atas umat Islam, akal yang waras adalah antara syarat utama. Sekiranya seseorang itu mengalami cacat akal yang teruk atau gila, tiada taklif ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya.
==========================================================================

Fatwa berkenaan dengan senaman Yoga dan perkara yang berkaitan dengannya.

* Akidah

Keputusan:

a) Senaman Yoga berasal daripada Masyarakat Hindu sejak sebelum masihi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya.

b) Apa-apa jua jenis atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang orang Islam beramal dengannya.

c) Mana-mana orang tidak boleh memiliki, menyebarkan, mengedarkan atau menerbitkan apa-apa buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya dan termasuklah apa-apa filem atau rakaman audio, khidmat pesanan ringkas dan e-emel yang berkaitan dengan amalan, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan (b).
Status Penwartaan:
Diwartakan
Nombor Rujukan:
PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU
Akta/Enakmen:
Seksyen 34

Comments

Popular posts from this blog