Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.


2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
================================================================================

Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Keterangan/Hujah:


1. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.

2. Majoriti ulama' bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

3. Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.

4. Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.

5. Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.

6. Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.

====================================================================================

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.

Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.

Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Keterangan/Hujah:

1. Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

2. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud :

Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani)

3. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

4. Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

5. Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

6. Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

=============================================================================

Comments

Popular posts from this blog