Hukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram. Muzakarah berpandangan bahawa mencegah penularan wabak yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan semasa menunaikan ibadah haji atau umrah amat dituntut oleh Islam. Oleh itu, dalam keadaan di mana sesuatu penyakit itu telah menjadi wabak, Islam memberi pengecualian dan kelonggaran kepada para jemaah untuk menutup sebahagian muka walaupun ia merupakan perkara yang dilarang semasa menunaikan ibadah haji atau umrah.

Oleh yang demikian, Muzakarah memutuskan bahawa jemaah haji dan umrah ketika di dalam ihram diharuskan menutup sebahagian muka dengan memakai mask (penutup mulut dan hidung) serta tidak perlu membayar dam.
Keterangan/Hujah:

1. Menjaga kesihatan badan lebih-lebih lagi ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah di Makkah adalah sangat-sangat dititikberatkan oleh Islam. Oleh itu setiap jemaah haji perlu mengikut langkah-langkah pencegahan terutama penggunaan mask bagi menjaga kesihatan diri mereka daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

2. Penularan wabak ini tidak dapat tidak perlu ada usaha untuk mencegah supaya diri terus terpelihara dan sihat serta dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna. Di dalam kaedah fiqhiyyah:

" الحاجة تنـزل منـزلة الضرورة "

iaitu Hajat menepati darurat. Maksud hajat ialah jika tidak disempurnakan nescaya melibatkan atau mendatangkan kesukaran atau kesusahan.

3. Seseorang lelaki yang berihram dilarang daripada menutup semua bahagian kepalanya atau sebahagiannya dengan apa sahaja yang boleh dikira sebagai menutupnya, sama ada pakaian berjahit atau pun tidak. Semua larangan ini dikecualikan jika terdapat keperluan yang memaksa seperti untuk tujuan pengubatan dan rawatan.

4. Di dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan mengenai larangan ke atas perempuan yang menutup seluruh anggota badan termasuk wajah kerana ihram perempuan adalah pada mukanya.

5. Walaubagaimanapun, dalam keadaan di mana ia dianggap sebagai satu bentuk keuzuran yang tidak dapat dielakkan kerana jemaah haji terpaksa menutup muka dan hidung (sebahagian muka) kerana disebabkan sesuatu wabak, maka diharuskan bagi jemaah lelaki dan wanita untuk menutup sebahagian mukanya.

6. Semasa menunaikan haji atau umrah, terdapat perkara-perkara yang dilarang melakukannya dan dianggap berdosa dan diwajibkan membayar dam, walaubagaimanpun pertimbangan keadaan umat Islam masih diambilkira oleh Islam dalam hukum yang ditetapkan.

7. Dalam keadaan dharurat di mana suatu penyakit telah menjadi wabak yang mengancam nyawa seperti H1N1, tindakan pencegahan yang diambil bagi melindungi nyawa adalah dibenarkan oleh Islam dan tidak dikenakan dam (denda) walaupun ia merupakan perkara yang dilarang dalam keadaan biasa selaras dengan kaedah fiqhiyyah:

"درء المفاسد مقدم على جلب المصالح "
-----------------------------------------------------------------------------------

Akaun Simpanan Yang Tidak Aktif Dalam Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-27 yang bersidang pada 3 Oct 1990 telah membincangkan Akaun Simpanan Yang Tidak Aktif Dalam Lembaga Urusan Dan Tabung Haji. Muzakarah telah memutuskan bahawa dari segi hukum syarak, Lembaga Urusan Dan Tabung Haji tidak boleh menyerahkan wang daripada Akaun Tidak Aktif bagi pendeposit-pendeposit Tabung Haji kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut.

Fatwa ini adalah berdasarkan bahawa telah ada akad persetujuan di antara pendeposit dengan Lembaga Urusan Dan Tabung Haji yang meletakkan Lembaga Urusan Dan Tabung Haji sebagai pemegang amanah untuk menjalankan urusniaga wang simpanan pendeposit. Hak pendeposit ke atas wang simpanan itu masih kekal dan tidak terputus walaupun akaun itu tidak aktif telah melebihi tujuh (7) tahun.

----------------------------------------------------------------------------------

Hukum Bermabit Di Mina Bagi Jemaah Haji Yang Tidak Diperuntukkan Tempat Di Mina

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah membincangkan Hukum Bermabit Di Mina Bagi Jemaah Haji Yang Tidak Diperuntukkan Tempat Di Mina. Muzakarah telah memutuskan bahawa Jemaah haji yang tidak diperuntukkan tempat untuk bermabit di Mina adalah digugurkan daripada melaksanakan kewajipan berkenaan dan tidak dikenakan apa-apa dam, ibadat haji mereka adalah sah dan tidak berdosa kerana mereka adalah termasuk golongan al-ma'zurin sama seperti siqayah al-'abas yang diberikan rukhsah oleh Nabi SAW untuk tidak bermabit di Mina.

--------------------------------------------------------------------------------

Hukum Haji Lebih Daripada Sekali

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-20 yang bersidang pada 2 April 1988 telah membincangkan Hukum Haji Lebih Daripada Sekali. Muzakarah telah memutuskan bahawa perspektif hukum bahawa kesan jemaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan didunia dan beroleh ganjaran yang besar diakhirat. terserahlah kepada orang perseorangan bahawa dia telah mendahulukan amalan yang wajib kemudian mengerjakan pula amalan yang sunat.
--------------------------------------------------------------------------------

Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram.
Keterangan/Hujah:


1. Ketika ini hanya terdapat dua jenis vaksin sahaja di pasaran iaitu jenama Mencevax dan jenama Monumune. Vaksin jenama Mencevax adalah dari sumber susu, jantung dan lemak lembu berbanding vaksin jenama Monumune yang sumbernya mengandungi bahan khinzir.

2. Permasalahan keraguan terhadap kandungan vaksin jenama Mencevax hanya melibatkan sumbernya iaitu lembu tersebut sama ada ianya disembelih atau sebaliknya. Sekiranya lembu tersebut tidak disembelih vaksin Mencevax juga mengandungi bahan dari najis.

3. Keharusan menggunakan vaksin jenama Mencevax adalah berasaskan kaedah fiqf "Akhafu al-Dhararin " walaupun sumbernya dari lembu yang belum dapat dipastikan ia disembelih atau pun tidak. Hal ini amat jelas bahawa penggunaan suntikan vaksin jenama Monumune yang mengandungi unsur khinzir tidak boleh digunakan.

4. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa walaupun bahan sumber yang asal daripada benda yang najis dan haram sekalipun namun jika ianya diproses dan berlaku perubahan atau pertukaran 'ain yakni sifatnya maka ia dibolehkan. Hal ini mengharuskan untuk menggunakan vaksin berjenama Monumune walaupun bahan sumbernya terdiri unsur khinzir.

5. Penegasan oleh pihak berkuasa amat diperlukan dan menyatakan bahawa vaksin yang sumbernya dari bahan yang diharamkan adalah tidak dibolehkan dan diharamkan. Secara langsung pihak hospital atau klinik swasta perlu akur dan tiada alasan untuk tidak menyediakan vaksin berjenama Mencevax bagi kegunaan suntikan kepada Jemaah Haji atau Umrah Malaysia.

6. Pemberitahuan kepada masyarakat Islam Malaysia perlulah meliputi kedua-dua jenama vaksin iaitu Monumune dan Mencevax. Bahkan dinyatakan juga vaksin berjenama Monumune yang mengandungi asid amino khinzir adalah diharamkan. Maka hanya vaksin berjenama Mencevax adalah diharuskan kerana tiada mengandungi sumber yang diharamkan oleh syarak.

---------------------------------------------------------------------------------
Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:

1. Situasi kini dianggap tidak dharurat;

2. Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan kedua-dua vaksin; dan

3. Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.

Keterangan/Hujah:


1. Anthrax adalah sejenis penyakit berjangkit yang akut dan boleh menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar dari semua rongga yang terbuka. Jangkitan anthrax boleh berlaku sama ada pada kulit (cutaneous anthrax), saluran usus (Gastrointestinal anthrax) atau serangan melalui pernafasan (inhalation anthrax). Vaksin BioThrax™ digunakan sebagai imunisasi atau suntikan pelalian bagi membantu melindungi daripada jangkitan anthrax. RotaTeq pula ialah vaksin bagi mencegah kes rotavirus yang menyebabkan muntah dan cirit birit di kalangan kanak-kanak.

2. Islam mengharuskan berubat dengan benda-benda yang diharamkan sekiranya dalam keadaan dharurat iaitu tiada ubat alternatif yang lain adalah berpandu kepada Firman Allah s.w.t.,

Maksudnya : Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An’am : 119)


3. Jumhur Fuqaha’ dari Mazhab Hanafi, al-Malikiyyah, pandangan sohih dari Mazhab Syafie dan Hanabilah berpendapat berubat dengan suatu yang najis seperti arak adalah haram dan tidak harus. Dalam konteks ini Prof. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa pada asasnya, haram kita berubat benda yang najis atau haram.

4. Dalam mempertimbangkan hukum keharusan mengambil benda haram dalam situasi dharurat beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dijadikan sandaran. Antaranya ialah kaedah “ Dharurat mengharuskan perkara yang dilarang” atau الضرورات تبيح المحضورات. Dalam situasi sesebuah negara yang memerlukan perlindungan atau pelalian daripada ancaman serangan biologi seperti anthrax atau serangan cirit birit di kalangan kanak-kanak, kepentingan suntikan BioThrax™ dan RotaTeq tidak dinafikan sekiranya tiada alternatif lain. Walaupun penggunaan BioThrax™ dan RotaTeq mungkin diharuskan namun pengambilan suatu yang haram semasa dharurat dibatasi dengan kaedah الضرورات تقدر بقدرها (dharurat dinilai sekadar keperluan). Dalam masa yang sama orang Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh keluar daripada situasi dharurat. Berdasarkan kaedah ini, menggunakan suatu yang haram dalam situasi bukan dharurat adalah dilarang.

5. Penggunaan Vaksin Biothrax dan Rotateq tidak diperlukan memandangkan Malaysia bukan dalam keadaan dharurat dan telah ada vaksin halal untuk kegunaan umat Islam di Malaysia.

6. Setakat ini umat Islam di Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan vaksin yang disahkan halal kerana pakar-pakar dalam bidang sains farmasi di Malaysia mampu menghasilkannya.

7. Gesaan supaya menggunakan vaksin-vaksin yang mengandungi unsur-unsur yang tidak halal ini juga merupakan strategi musuh-musuh Islam untuk meracuni pemikiran dan daya ketahanan umat Islam apabila terlalu banyak sumber yang haram menjadi darah daging umat Islam.

--------------------------------------------------------------------------------
Hukum Suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA)
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA). Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Setelah meneliti laporan kajian dari dalam dan luar negara serta hujah-hujah yang jelas dalam pengeluaran fatwa oleh beberapa negara Islam lain, Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan, najis dan diharamkan, antara bahan-bahannya ialah khinzir.

2. Suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox ini juga didapati boleh memberi mudharat kepada pengguna bagi jangka pendek, jangka panjang dan boleh dimanipulasikan untuk tujuan penipuan.

3. Berdasarkan kepada penemuan-penemuan seperti yang dinyatakan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox adalah haram digunakan.

4. Walaubagaimanapun untuk tujuan perubatan, suntikan Botulinum Toxin Type A ini adalah dibenarkan dengan syarat penggunaannya dalam keadaaan darurat dan mengikut keperluan serta dilakukan oleh pakar yang bertauliah.

Keterangan/Hujah:


1. Botox adalah singkatan Botulinum Toxin Type A (Botox cosmetic). Ia adalah sejenis protin kompleks yang dihasilkan oleh sejenis bakteria, clostridium botulinum yang mengandungi racun yang hampir sama dengan racun yang dikenalpasti menjadi punca keracunan makanan. Toksin bakteria Botulinum ini boleh melumpuhkan fungsi otot perut dan ia boleh membawa maut jika diambil dalam jumlah yang besar kira-kira 5000 unit. Dalam konteks penggunaanya di bidang rawatan kosmetik, Botox yang digunakan untuk terapi dikatakan selamat dan tidak membahayakan tubuh kerana dosnya hanya 1% dari dos yang boleh menyebabkan gejala keracunan.

2. Berdasarkan maklumat kajian perubatan yang dikemukakan oleh American Medical Association, Chicago U.S.A dan American Veterinary Medical Association Schaumburg U.S.A. berkaitan kandungan Botulinum Toxin Type A dan laporan yang terkandung di dalam kertas fatwa Department Of Islamic Endowment And Religious Affairs Ecumenical Decrees (Fatwa) And Research Committee Synod Of Islamic Jurisprudence Dubai, United Arab Emirates (UAE), BTA dihasilkan daripada sumber-sumber yang meragukan dan kemudharatan yang dialami akibat penggunaannya amat besar dan ramai umat Islam menggunakannya.

3. Kebanyakan mereka yang menggunakan suntikan BTA ini lebih cenderung kepada kepentingan yang dilarang oleh Syariat Islam.Suntikan BTA ini adalah bersifat sementara dan ia merupakan suatu penipuan (gharar) kepada pasangan (suami atau isteri) apabila keadaan fizikal seseorang itu kembali kepada asal. Ini mengakibatkan salah seorang daripada mereka boleh menuntut fasakh .Dalam berhias beberapa perkara perlu dikenalpasti agar tidak terkeluar dari landasan syarak. Pertama, bahan yang digunakan untuk berhias hendaklah bebas daripada sebarang unsur yang meragukan atau seperti daripada haiwan atau mengandungi perkara yang najis; Kedua, bahan yang digunakan itu hendaklah tidak memudharatkan; Ketiga, tidak bersikap berlebih-lebihan sehingga merubah ciptaan Allah swt. Keempat, berhias hendaklah dengan niat yang bersih kerana berhias menjadi perkara terlarang sekiranya niatnya adalah untuk bertabbaruj lebih-lebih lagi jika ia dilakukan untuk tujuan riak, menunjuk-nunjuk dan dipuji oleh manusia.

4. Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawy dalam buku al-Halal wa al-Haram menyatakan perbuatan mentatu ( وشم الأبدان), mencukur kening sehingga menjadi nipis sekali ( النمص ) , menjarangkan gigi (المتفلجة) dengan meletakkan sesuatu di celah gigi atau mengasah gigi ( وشرالأسنا) dianggap berlebih-lebihan dalam berhias dan bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenar. Beliau secara tegas menyatakan perbuatan sesetengah umat Islam yang melakukan pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan merupakan pengaruh budaya meterialistik Barat sehingga sanggup mengeluarkan wang yang banyak dan menanggung segala kesakitan demi menjalani pembedahan kosmetik untuk mencantikkan anggota seperti hidung, mata dan payu dara.

5. Ia adalah perbuatan yang termasuk dalam kategori perbuatan yang dilaknat Allah dan RasulNya. Ini kerana ia bukan sahaja terkandung penyiksaan bahkan merubah bentuk ciptaan Allah tanpa sebarang kepentingan yang diharuskan syarak.

6. Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya al-Mufassal fi Ahlam al-Mar’ah wa Bait al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyyah, membincangkan isu usaha wanita untuk mencantikkan diri mereka dalam konteks yang lebih luas. Sebarang aktiviti ke arah kecantikan atas usaha sendiri seperti mengamalkan senaman, berbedak, bercelak, bertindik telinga, mengawal pemakanan sama ada dengan tujuan untuk menambah atau menurunkan berat badan adalah harus kerana termasuk dalam a’mal al-tajmil.

----------------------------------------------------------------------------------
Hukum Skim Pinjaman Wang Daripada Koperasi Dan Seumpamanya Untuk Menunaikan Fardu Haji Atau Umrah
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Skim Pinjaman Wang Daripada Koperasi Dan Seumpamanya Untuk Menunaikan Fardu Haji Atau Umrah. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan

2. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya disamping bebas dari unsur-unsur riba.

Comments

Popular posts from this blog