Berkahwin / Marriage in Islam




kemanakah perjalanan hidup anda



PART I. ANJURAN BERKAHWIN

Assalammualaikum......

Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah swt. yang paling baik bentuk dan rupa parasnya, berbanding dengan makluk-makluk lain. Mempunyai akal fikiran, perasaan dan nafsu keinginan. Keinginan kepada perkelaminan merupakan tabiat semulajadi seluruh makluk di dalam alam ini. Pada permulaan alam, Allah swt mencipta Adam sebagai manusia pertama, kemudian darinya Allah ciptakan pasangan Hawa supaya perkelaminan bermula seiring dengan permulaan alam.

Firman Allah yang bermaksud:

Wahai manusia bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan kamu dari satu diri (nafs) dan menjadikan pasangan dari dirinya sendiri. Dan membiakkan dari keduanya manusia lelaki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang kamu minta-minta dengannya dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu. Islam yang memahami tabiat dan sifat-sifat semulajadi manusia telah mengizinkan perkahwinan. Rasulullah saw. sangat menyuruh dan menggalakkan umatnya berkahwin atau mendirikan rumahtangga.

Rasulullah saw telah bersabda: ”Wahai, para pemuda barangsiap dari kalangan kamu berdaya mengadakan belanja kahwin, maka hendaklah kamu kahwin kerana nikah itu lebih pada menundukkan pandangan dan lebih menyelamatkan akan kemaluan. Kerana puasa itu ibarat kebiri

Sesungguhnya, berkahwin adalah sunnah yang hendaklah disegerakan bagi siapa yang telah cukup syarat-syaratnya. Penekanan kepada perkahwinan telah dibuat oleh Rasulullah saw melalui hadis: Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepadanya, tetapi aku berpuasa, aku sembahyang dan aku tidur, aku juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikut aku”

Rasulullah saw sangat menegah umatnya dari terus membujang dan tidak mahu berumahtangga dan tidak mahu berzuriat seperti kelakuan orang-orang musyirikin yang tidak mahu bertanggungjawab kerana takutkan papa, miskin, merosot ekonomi dan kelaparan. Gejala-gejala yang tidak sihat ini bertentangan dengan hukum Allah yang menjamin tiap-tiap hambanya akan diberikan rezeki mengikut muslihat hamba itu sendiri.

Rasulullah saw telah bersabda: Tidak ada hidup membujang. Mereka yang hidup membujang adalah seperti Rahib (hidup bertapa) dan mengharamkan yang halal

Jelaslah, orang yang hidup membujang baik lelaki atau wanita sengaja mengharamkan yang halal. Yakni sanggup menahan gelora hawa nafsu dan membiarkan dirinya seperti dalam pertapaan. padahal persetubuhan boleh bebas dilakukan pada bila-bila masa, kerana dihalalkan oleh Allah, kecuali isteri sedang haid, dalam keadaan belum suci dari haid, nifas dan melalui dubur. Demikianlah Allah swt menerangkan kepada hambanya tentang ada hikmah dijadikan lelaki dan perempuan. Ianya tidak lain supaya hidup berpasang-pasang, yakni berkahwin. Apabila seseorang itu berkahwin, dia akan dapat mendidik jiwa, membersihkan hati dan memperkuatkan peribadinya.

Rasulullah saw pernah bersabda:

Jika seseorang itu telah berkahwin maka dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka bertaqwalah kepada Allah pada separuh lagi


PART II. MEMILIH PASANGAN

Assalammualaikum

Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin. Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.

Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidakmembawa kepada pernikahan.Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.

Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik”

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya”

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.


Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:


1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus rumahtangga dengan baik,memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.

3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka.Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.


5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan saleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi. Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita salehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar. Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a: “Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya”

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang saleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw: “Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang salehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya”

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang salehah. Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan persaudaraan Islam. Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat, maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan akal”

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri berbanding dengan janda. Rasulullah saw bersabda: “Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan mudah meredhai kerjanya” Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil penguniaan anak yang saleh dan salehah. Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin. Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu, pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagaiperbandingan. Seandainya ibunya mempunyai ramai anak, pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi ibunya, tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut baka dirinya pula.

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih sayang antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda: “Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti”

Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda bangga dengan umat yang ramai kerana disitulah letaknya kekuatan agama Islam. Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama, memecah belah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ”Seorang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan”

Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis. Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak. Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman”

(Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik)

Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para lelaki dan wanita yang ingin berkahwin. Kepada yang sudah berumahtangga, ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali apabila menghadapi masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah swt pertemukan jodoh kita dengan pasangan kita sekarang.

Part III. TUJUAN BERKAHWIN

Assalammualaikum
Berhubung dengan persoalan kahwin atau nikah ini, kita perlu mengetahui apakah tujuan kita kahwin. Bagi orang Islam yang sebenar, tujuan perkahwinannya atas mencari keredhaan Allah, bukan sekadar ikut-ikut atau bertujuan untuk berseronok-seronok. Oleh itu niat kita hendak mendirikan rumahtangga kita itu mestilah betul seperti yang dikehendaki oleh Allah swt. Kalau niat mendirikan rumahtangga tidak betul mengikut kehendak Allah dan Rasul, maka keluarga yang didirikan tidak akan mendapat pimpinan dari Allah swt. Sekiranya kita sudahpun mendirikan rumahtangga, tidak salah kalau niat ini kita perbetulkan semula.

Niat yang pertama yang mesti kita pasang dalam mendirikan rumahtangga kita ialah untuk mendapat sebanyak-banyak anak yang soleh. Allah dan Rasul memang menghendaki niat seperti ini kerana muka bumi ini adalah diserahkan oleh Allah swt kepada manusia-manusia untuk ditadbirkan dengan baik mengikut peraturan-peraturan yang telah Allah berikan. Manusialah yang telah dijadikan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Aku hendak jadikan khalifah-khalifah di muka bumi ini

Rasulullah saw juga penah bersabda:

Kerana aku berbangga di hari kiamat nanti dengan ramainya umat-umatku dibandingkan dengan umat Rasul-Rasul sebelumku

Yang dimaksudkan dengan umat di sini ialah hamba-hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah-perintah Allah serta yang beriman kepada Allah dan Rasul. Adalah hikmah dan rahsia pada ramainya bilangan isteri Rasulullah saw itu ialah supaya menggemarkan umat Islam pada membanyakkan bilangan umat Islam. Jelas pada kita betapa Allah dan Rasul memang mengkehendaki umat yang ramai dan kerana itu Allah sediakan nikmat-nikmat yang banyak untuk manusia. Dan dengan sebab itulah, apa saja yang ada di muka bumi ini, samada kita sedar atau tidak, semuanya adalah untuk kita.

Ini dijelaskan sendiri oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:
Dialah Tuhan, yang menjadikan apa saja di atas muka bumi ini untuk kamu (manusia)

Perlu kita ingat bahawa Allah amat mengetahui rancangan kita dalam merancang keluarga. Contohnya, kita tidak mahu anak yang banyak., kita makan pil-pil atau sebagainya. Hakikatnya perbuatan kita itu adalah menipu Allah swt. Muslihat itu Allah amat mengetahui dan akibatnya, Allah akan lebih menipu daya kita. Buktinya, ada setengah-setengah wanita itu, kerana terlalu hendak merancang keluarga, langsung Allah tidak kurniakan anak kepadanya. Ada sesetengah wanita itu, kerana terlalu hendak merancang anak supaya dapat anak yang sedikit, apabila dia melahirkan anak, lahir anak-anak kembar yang banyak. Jadi haruslah kita sedar siapakah Allah yang hendak kita tentang kehendak dan kekuasaannya.

Bukan sedikit anak itu yang menjamin kebahagiaan hidup kita. Malah, anak yang banyak yang kemudiannya saleh-saleh pula, dia akan mendatangkan kebajikan dan memberi kebahagiaan hidup kita, bukan saja di dunia, bahkan di akhirat juga. Jika anak itu mati semasa kecil, dia akan mendatangkan syafaat kepada ibubapanya. Jadi, niat yang pertama dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah niat untuk mendapat anak sebanyak yang boleh. Pasanglah niat ini baik-baik kerana, kalau pun pada pelaksanaannya, ia tidak boleh dilakukan, namun pahalanya telah Allah catatkan. 

Niat yang kedua dalam kita mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu dapat menghilangkan nafsu yang jahat dan yang rakus, khususnya nafsu syahwat terhadap wanita-wanita yang tidak halal bagi kita. Melalui perkahwinan akan dapat mengelakkan diri kita daripada tindakan nafsu syahwat yang jahat. Melakukan perkara yang halal dengan niat untuk mengelakkan diri daripada perkara yang haram merupakan satu kebajikan yang akan membawa pahala dari Allah. 

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
Pada kemaluan seseorang kamu itu pun adalah sedekah
Apabila seseorang itu berkahwin dengan niat ini, ia memilih jalan yang dihalalkan oleh Allah dan telah dicontoh oleh Rasulullah saw untuk memenuhi keinginan semulajadi. ia mengatur dan menyusun perhubungan tadi mengikut lunas-lunas Islam. Dengan sebab itulah, Allah telah menghalalkan pernikahan dan mengharamkan perzinahan. Niat yang ketiga dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu akan menyelesaikan masalah hati daripada mentadbir rumahtangga. Dengan berkahwin, seseorang itu tidak akan menumpukan perhatiannya dalam menghadapi rumahtangga, terhadap ibadah kepada Allah terutamanya di dalam sembahyang. Kerana segala perurusan rumahtangganya sudah diselesaikan oleh isteri daripada memasak makanan, mambasuh pakaian, mengemas dan sebagainya, sekiranya seorang isteri itu tidak bekerja makan gaji. Isteri yang salehah dan yang beragama itu, dia akan menyelesaikan semua urusan rumahtangga. 

Dalam hal ini Rasulullah saw pernah mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud:
Perempuan itu dinikahi dengan empat sebab: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Tetapi hendaklah kamu pilih yang kuat beragama, nescaya dia menguntungkan kamu 

Rasulullah menyuruh kita memilih yang beragama kerana perempuan yang beragama itu sempurna Islamnya dan sempurna ihsannya. Ini adalah syarat agama atau rukun beragama iaitu iman, Islam dan Ihsan. Apabila kita hendak berkahwin, terpaksalah kita mencari perempuan yang sempurna agamanya kerana beragama itu adalah salah satu sifat wanita-wanita salehah. Niat yang keempat dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu boleh menghiburkan hati kita. 

Dengan kita kahwin, pada isterilah tempat kita berhibur-hibur dan berseronok-seronok serta bergurau senda dan bermanis muka. Dengan demikian akan menenangkan hati kita serta memberi kegembiraan kepada kita lantaran kita dapat menumpukan sepenuh kusyuk kepada ibadah kita dengan Allah swt terutamanya di dalam sembahyang yang mana merupakan ibadah yang terpokok. Sedangkan untuk mendapat kekusyukkan di dalam sembahyang itu adalah yang paling susah sekali selagi kita tidak dapat hadir hati di dalam sembahyang. kalau hati sentiasa resah dan gelisah, maka akan bertambah berserabutlah sembahyang kita. Sebab itulah, hati kita ini perlu diberi hiburan dengan senda gurau kita terhadap isteri. Malah bukandalam sembahyang saja, kita dapat mengusahakan kekusyukkan beribadah bahkan puasa juga tidak akansempurna kalau hati kita tidak tenang. Puasa yang sempurna itu ialah apabila hati kita tidak teringat kepada perkara-perkara yang boleh melalaikan kita kepada Allah swt seperti kita teringat kepada dunia, kepada wanita-wanita dan sebagainya. 

Dan akhirnya, niat yang kelima yang hendak kita pasang apabila kita hendak mendirikan rumahtangga ialah dengan niat untuk melawan hawa nafsu. Ia bererti yang apabila kita telah mempunyai isteri, kita terpaksa berlawan dengan kewajipan-kewajipan menjaga dan mendidik anak isteri. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah mengingatkan kita tentang sifat-sifat seorang perempuan itu bahawa kata baginda, perempuan-perempuan itu adalah dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok yang kalau kamu luruskan ia dengan cara paksa dan mendadak, ia akan patah. Sebab itu, hendaklah di jaga isteri itu dengan bijaksana. Satu daripada tugas kita dalam melawan nafsu ini ialah dalam menghadapi kelakuan-kelakuan isteri yang tidak selaras dengan syariat. Memang sudah demikian Allah jadikan kamu perempaun mempunyai nafsu lebih daripada lelaki. 

Nisbah kalau nafsu itu ada sebanyak 10, 9 daripadanya adalah pada kaum perempuan dan satu pada kaum lelaki. Sedangkan nafsu itu sentiasa mengajak manusia berbuat jahat. Ertinya, kejahatan sajalah yang mempengaruhi kaum-kaum perempuan. Oleh itu, tugas kita bila berhadapan dengan isteri adalah berat dan itulah mujahadah kita dengan nafsu. Sejauh mana kita berjaya memimpin anak isteri kita ke jalan yang diredhai Allah hingga mereka dapat melaksanakan syariat Allah, maka di situlah nilai pahala yang tinggi bagi kita di sisi Allah swt.Di sinilah akan lahirnya sifat sabar pada suami iaitu kenalah banyak bersabar dalam menghadapi ujian yang didatangi oleh isteri, selain daripada terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai ujian yang lain.

Firman Allah swt yang maksudnya:
Sesungguhnya orang yang sabar itu diberi ganjaran tanpa hisab
Demikian lima niat yang hendak kita pasang di dalam diri kita semasa kita hendak mendirikan rumahtangga. Lima niat ini adalah yang paling kurang selain dari niat-niat baik yang lain seperti niat untuk mencari rezeki yang halal untuk anak isteri dan lain-lain. Kalau sekiranya kita ada mempunyai 5 niat yang betul dan baik ini, maka di situlah Allah akan bantu kita dan akan memberi taufik dan hidayahnya kepada kita untuk kita dapat melahirkan satu rumahtangga yang aman dan bahagia yang selaras dengan kehendak syariat Allah swt.

Comments

Popular posts from this blog