“ MEMELIHARA DAN MELINDUNGI NYAWA”
(  20 JANUARI 2012 / 26 SAFAR  1433H)

°
Sidang Jumaat yang diRahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: MEMELIHARA DAN MELINDUNGI NYAWA”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Hidupnya seseorang menandakan ia masih bernyawa dan berpeluang untuk berjalan di muka bumi Allah SWT dan meneruskan perjuangan di alam fana ini. Oleh itu manusia perlu memelihara dan melindungi nyawa agar kehidupannya dapat diteruskan sebagai hamba Allah SWT. Akan tetapi sekiranya nyawa tidak dipelihara maka akan terjadilah kebinasaan dan kerosakan dan seterusnya membawa kepada kematian yang sia-sia.  Kehidupan dan kematian seseorang insan adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasanya dan dengan kehendak dan kuasanya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang. Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70:
Maksudnya: “ Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Oleh yang demikian kita patut bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila nyawa telah terpisah daripada badan semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib memelihara dan melindungi nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Melindungi nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan  merbahaya dan kelalaian yang boleh mengundang kecelakaan. 
Berdasarkan laporan dan pemerhatian mimbar pada ketika ini bahawa  isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Statistik trafik dari Polis Bukit Aman menunjukkan bahawa pada tahun 2010 kadar kemalangan sebanyak 414, 421, manakala tahun 2011 sebanyak 449,040. Statistik menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan  sebanyak 8.9% iaitu 34,619 kes. Dari jumlah itu purata kemalangan bagi tahun 2011 adalah sebanyak 51 kemalangan setiap satu jam.  
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah
Musim perayaan  merupakan  musim yang paling sibuk bagi pengguna jalan raya. Bagi memastikan keselamatan kepada para pengguna tentunya pihak berwajib seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah antara agensi yang bertanggungjawab bagi memastikan pengguna jalanraya selamat sampai ke destinasi masing-masing. Terkini, pada musim perayaan ini  ialah Ops Sikap 25  yang bermula pada 16 Januari 2012. Tujuan memperkenalkan Ops Sikap 25 ini adalah satu langkah pencegahan agar pengguna selamat dari sebarang kejadian yang tidak diingini ketika pulang bercuti nanti.  
Namun, berdasarkan pemerhatian mimbar masih ada lagi pengguna jalan raya  yang mempunyai sikap endah tak endah tentang ops sikap ini. Mereka mengamalkan sikap tidak sabar ketika memandu dijalanraya. Disebabkan itulah kita dapat lihat bahawa walaupun langkah pencegahan dilakukan, angka kematian yang melibatkan kemalangan jalan raya meningkat setiap tahun menjelang musim perayaan. Janganlah disalahkan orang lain jika berlaku kemalangan atau kematian akibat kemalangan dimusim perayaan ini . Kita hendaklah bersikap sabar dalam memandu supaya keselamatan kita dan orang lain terjamin. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 153:
Maksudnya:  Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Selain itu terdapat  beberapa faktor yang  menjadi antara punca utama kemalangan menyebabkan kehilangan nyawa. Faktor pertama ialah sikap manusia, iaitu memandu dalam keadaan mengantuk, kurang tumpuan ketika memandu, memandu lebih had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, berlumba secara haram terutamanya penunggang motosikal. Kedua faktor mekanikal kenderaan, kurang prihatin terhadap kenderaan mereka (maintenance) seperti brek, tayar yang haus dan sebagainya. Ketiga faktor kejuruteraan jalan, keadaan jalanraya kurang baik, gangguan seperti kerja-kerja pembaikan jalan dan keempat faktor cuaca, seperti hujan lebat jalan licin, jerebu penglihatan terjejas. Ingatlah bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama-sama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan. 
Mimbar ingin  menegaskan bahawa perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti  menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalanraya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak memelihara dan melindungi nyawa. Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195:
Maksudnya:  “ Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian di dalam kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai satu tempat selamat dan bukannya tempat kecelakaan. Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalanraya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mengambil kesempatan bersempena dengan kempen Ops Sikap 25 ini, marilah sama-sama kita menyatakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya, dengan memelihara dan melindungi demi kesejateraan dan keselamatan  kita. Sedarkah kita bahawa keselamatan jalan raya tidak dapat kita kecapi tanpa pengorbanan dan ketabahan setiap anggota-anggota anggota khasnya dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Bomba dan sebagainya. Pengorbanan yang mereka curahkan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan tidak pernah mengharapkan penghargaan dan pujian dari kita, namun sebagai umat yang bersyukur, kita hendaklah menghargai mereka sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita memelihara dam melindungi nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari kemalangan dan kecelakaan yang memusnahkan kehidupan kita. Marilah sama-sama kita mendidik generasi kita agar mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita memandu kenderaan tanpa lesen dan menunggang motosikal dengan bebas dan tanpa menggunakan topi keledar kerana itu semua mengundang kepada kecelakaan. Pastikan sebelum kita memulakan perjalanan dengan membaca doa agar dilindungi dan diberi keselamatan oleh Allah SWT. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjadikan budaya menjaga keselamatan ini amalan hidup kita, InsyaAllah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 17:

Maksudnya: Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepada engkau, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia sendiri; dan jika dia melimpahkan sesuatu kebaikan kepada engkau, maka Dia adalah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Comments

Popular posts from this blog