Bab 30: Tunggulah….

Saya mengarang buku ini dengan ilham dan bantuan Allah setelah mengalami pelbagai ujian duka yang Allah kurniakan secara berturut-turut dalam tempoh yang sangat hampir. Saya mengalami kemusnahan harta-benda, kehilangan orang tersayang dan bencana badan yang serius.

Saya fikir Allah sengaja memberi isyarat yang ajal saya semakin hampir. Ia bukan satu kepelikan. Tanda-tanda saya menerima stroke serentak dengan kematian abah dan Ayu nyata memberi kesan emosi yang mendalam. Saya mengingati kematian.

Kita akan mati. Allahu Akbar. Roza selalu menegur saya kerana menggunakan perkataan mati. Meninggal dunia, katanya lebih sopan. Mati bunyinya kasar dan menakutkan. Itulah bezanya antara orang Terengganu dengan Johor.

Bangsa Melayu yang sama tetapi tutur kata yang berbeza. Namun mati atau meninggal dunia akan membawa orang yang dipanggil Allah ke alam kubur. Ia rumah baru setelah sekian lama menjalani kehidupan yang mengasyikkan.

Jika mereka takut dan mahu melarikan diri daripada kematian, nyata mereka melakukan pekerjaan yang sia-sia. Kematian tidak akan lambat atau cepat sesaat. Ia tidak mengira sama ada Perdana Menteri atau tukang sapu sampah di jalanan. Jika kita berada di Malaysia ataupun di Madinah. Allah telah berfirman melalui surah al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud,

Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: “Matilah” Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih

Secara relatif, lama atau sekejap berada di alam kubur berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain. Keluasan kubur juga dikatakan tertakluk kepada amal mereka di dunia. Ada yang teruja dan pasti ada yang berdukacita. Malah – secara statistik – hampir 80 peratus penduduk dunia bukan beragama agama Islam.

Pada ketika dan saat ini mereka adalah golongan kafir yang akan berdukacita. Mereka adalah golongan yang ingkar tetapi yang saya takut dan berfikir-fikir bagaimana dengan mereka yang beragama Islam tetapi menyerupai golongan yang tidak beragama Islam.

Allahu Akbar, mudahan-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Allah menyatakan kehidupan yang sempit – ditafsirkan sebagai azab kubur oleh para ulamak – melalui surah al-Taha ayat 124 yang bermaksud,

 Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Kemudian dibangkitkan di hari pembalasan. Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Saya tidak mempedulikan jika orang berkata, “siapalah kita yang mahu meminta-minta dengan Allah, biarlah Allah yang menentukan segalanya. Tugas kita hanya beramal-ibadat kepadaNya”.

Saya fikir dan berpendapat, meminta kepadaNya juga merupakan amal ibadat yang sangat signifikan. Ia menjauhkan diri daripada amalan syirik atau menduakanNya. Malah jika manusia bergantung dan bertawakal kepadaNya (mengikut aturanNya), ia boleh membawa manusia ke arah syurga tanpa dihisab.

Tentu sekali – sekurang-kurangnya 17x sehari semalam – secara wajib saya berikrar dan beriktikad, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”. Malah surah al-Ikhlas yang sering di bibir juga mengajar kita supaya meminta sebarang hajat kepadaNya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Benar, saya sangat-sangat berhajat untuk memasuki syurgaMu tanpa dihisab ya Allah. Sungguh ya Allah, aku sungguh-sungguh mahu bersama dengan Rasululullah, para sahabat, alim ulamak dan mereka yang berjuang mempertahankan agama Islam ya Allah. Ia impian, doa dan harapan yang datangnya jauh dari hati sanubari.

Saya percaya hari kiamat pasti datang sebagaimana surah al-Haj ayat 7 yang bermaksud,  “Dan sesungguhnya kiamat pasti datang, tiada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang yang dalam kubur”.

Saya sangat-sangat yakin betapa padang Masyar itu benar-benar wujud. Saya yakin majoriti manusia akan dihisab sebelum di bawah ke syurga atau neraka. Hanya mereka yang benar-benar istimewa akan terus ke syurga tanpa dihisab.

Allahu Akbar. Ia penentuan yang tiada mempunyai hari-hari belakang yang boleh ditoleh. Saya ketakutan memikirkan bagaimana penerimaan Allah terhadap tingkah-laku saya semasa menghadapi ujian kehidupan.

Perlukah saya beratur panjang? Luluskah saya? Cemerlangkah saya? Tangan manakah yang akan menerima keputusan yang bakal menentukan syurga atau neraka? Allahu Akbar, memikirkan soal-soal ini sahaja sudah cukup untuk membuat jiwa dan perasaan bergetar. Lalu ia diterjemah melalui doa-doa yang menggambarkan perasaan bergantung harap kepada Dia yang Maha Berkuasa. 

Menulis buku ini dilakukan bersekali dengan saya membaca terjemahan kisah-kisah yang dijadikan iktibar oleh Allah SWT melalui terjemahan al-Quran.

Berulang-ulang Allah memujuk Nabi Muhammad SAW betapa tugas baginda hanyalah untuk mengkhabarkan berita kegembiraan buat mereka yang beriman dan memberi peringatan kepada mereka yang ingkar dengan perintah Allah.
Akhirnya Dialah yang akan menentukan  sesiapa yang akan diberi taufik dan hidayahNya (mengikut aturan tertentu). Malah banyak surah menceritakan secara berulang-ulang bagaimana kaum musyrik tidak atau sengaja berpura-pura tidak mempercayai hari pembalasan dan hari akhirat.

Ia menjadi lebih mendukacitakan lagi kerana mereka mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan Baginda SAW. Malah melalui surah Yasin ayat 77 – 78, Allah telah menjawab ejekan seorang kafir yang menghancurkan tulang-tulang di hadapan baginda dan seterusnya menaburkannya ke udara sambil bertanya, “apakah Allah akan membangkit semula tulang ini?”.

Ayat tersebut bermaksud,
“Dan Apakah manusia tidak memperhatikan bahwa Kami menciptakannya dari setitik air (mani), Maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata! Dan ia membuat perumpamaan bagi kami; dan Dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?”.

Hakikatnya, suasana seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam akhir zaman yang mengambarkan seolah-olah mereka tidak mempercayai hari pembalasan.

Inilah ujian terbesar buat mereka yang mengaku Islam Saya fikir, begitulah hakikatnya mereka yang secra sengaja tidak mahu menunaikan solat, tidak mahu menutup aurat, berlaku khianat sesama manusia, melakukan perzinaan, seks di luar tabie, tidak berlaku adil bila diberi kuasa dan melakukan pelbagai kezaliman terhadap perintah Allah.

Sebenarnya  - pada hakikatnya – mereka sedang mengejek-ngejek dan mempersendakan perintah-perintah Allah SWT. Nafsu jahat menguasai pemikiran dan tindakan.

Saya berhenti sejenak apabila membaca terjemahan Surah Taha, ayat 135 yang bermaksud,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk”.

Tunggulah…. Kita semua sedang menunggu. Apakah keputuan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.

Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari.

Tunggulah…. Tunggulah…. Tunggulah. Hari itu pasti tiba. Dan buat saya dan Roza, ia sangat hampir. Biarlah kami lulus ujian kehidupan ini dengan bergaya di sisi Allah. Moga-moga kita dibangkitkan bersama dalam barisan yang panjang mengikut kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.
(Petikan buku Menghadapi Ujian yang dalam proses penerbitan)

http://muhdkamil.org/blog/2012/01/24/bab-30-tunggulah/ 

Comments

Popular posts from this blog