Membeli belah, hiburan nombor satu untuk wanita
SELEPAS Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Nilai, Bandung dan China kini demam membeli-belah di kalangan wanita Malaysia telah beralih angin ke bandar Ho Chi Minh atau Saigon di Vietnam.
Bagi golongan atasan yang menjaga ‘klass’ mereka masih memilih lokasi seperti London dan Paris tetapi bagi golongan sederhana, Bandung, Jakarta, China dan Vietnam sudah memadai.
Barang-barangnya tetap sama dari segi rupa, warna dan bentuk, yang berbeza mungkin hanya pada jenama sama ada original atau tiruan.
Apa pun saya percaya wanita sekarang memang hebat. Mereka mampu melancong ke luar negara sambil membeli-belah.
Malah mereka boleh merancang membeli tiket penerbangan murah yang ditawarkan beberapa bulan sebelum ke destinasi yang dipilih bersama keluarga atau kawan-kawan.
Itu antara sebahagian daripada senario yang saya lihat kehebatan wanita masa kini.
Bercuti sambil melancong dan membeli-belah sudah menjadi trend. Kunjungan saya ke Ho Chi Minh City, Vietnam sebuah bandar raya yang sibuk dengan lalu-lintas baru-baru ini menjadikan saya pasti bahawa wanita Malaysia sudah bijak merancang untuk keseronokan diri mereka setelah penat bekerja. Dalam kebanyakan acara melancong, membeli-belah tentunya menjadi agenda utama.
Di dalam penerbangan, hampir satu perempat penumpang adalah orang Malaysia kebanyakannya wanita.
Di mana-mana pergi sekitar kawasan 'membuang duit 'di Ho Chi Minh mesti akan terserempak dengan orang Malaysia. Masuk restoran halal juga jumpa orang yang sama, itu belum lagi ke pasar Malam dan Pasar Chen Ben Thanh dan Saigon Square yang boleh menjadikan pengunjung 'mabuk' dan 'rabun mata.''
Seperkara yang ingin saya sentuh, para peniaga di Ho Chi Minh sama seperti di Bandung dan China.
Mereka seboleh-boleh mahu kita membeli dengan pujuk rayunya yang pelbagai, jika tidak mereka akan merungut.
Bila ditanya kepada pemandu pelancong yang fasih berbahasa Melayu, sambil tersenyum dia berkata, 'jangan marah kak, dia mengata sebab tidak mahu beli.''
Semasa membeli buah-buahan yang murah dan lazat seperti mangga, ciku, durian belanda, rambutan dan sebagainya, mereka amat pantang jika kita memicit-micit buah tersebut.
Dijelingnya kita dengan mata yang terbeliak sambil merungut-rungut.
Bagi mereka, jika hendak beli, ambil dan terus masuk plastik dan bayar. Tidak payah belek-belek dan picit-picit!
Jika bab beli pakaian pula, memang mereka akan merungut jika terlalu banyak yang kita minta. Saiz itu, warna ini, corak itu, bagi mereka satu beban. Gambar dibawah adalah gerai kain baju milik Kim yang boleh bertutur Bahasa Melayu sama seperti lain-lain peniaga Vietnam yang rata-rata bertutur bahasa Melayu.
Kadang-kadang belum sempat dilihat, penjual sudah ambil dan lipat. Belum pun dibuka, dia menggomel-ngomel mengata kita.
Apa pun, saya pasti mereka yang gila membeli tidak ambil kisah tentang perkara itu sebab yang penting hajat membeli apa yang diidamkan tercapai.
Secara positif saya setuju dengan wanita yang agresif seperti ini. Setelah penat bekerja, inilah masa mereka memanjakan diri sendiri.
Bagi wanita, rehat yang paling menarik dalam hidup mereka adalah dengan melancong dan membeli-belah. Itulah nikmat yang sebenarnya untuk mereka. Apa pun yang difikirkan, catatan saya sekadar berkongsi pengalaman dan pemerhatian. Saya sebenarnya seronok tengok orang 'banyak duit' berbelanja terutama wanita. Wajah mereka berseri-seri setiap kali keluar hotel untuk membeli-belah.
Hairannya saya, duit tidak pernah luak, setiap hari ada sahaja yang keluar dari beg tangan atau sampul, tidak cukup singgah lagi pengurup wang untuk terus membeli. Hiasan dinding boleh dibeli di kedai makan shamsuddin spr gambar ini.
Rumusan yang saya dapat, selagi tidak sampai waktu untuk ke lapangan terbang, selagi itu nafsu membeli tidak hilang.
Semasa mahu check-in, bimbang pula terlebih bagasi. Dan yang paling saya risau, takut ditinggalkan kapal terbang sebab dalam perjalanan ke lapangan terbang, masih ada yang meminta untuk singgah membeli barang yang terlupa.
Sama ada di London, Paris, Jakarta, Bandung, Beijing, Gongzhou atau Ho Chi Minh tiada siapa boleh menahan nafsu membeli di kalangan wanita. Itu hiburan nombor satu buat mereka.
Namun satu perkara yang menyentuh perasaan saya semasa di Ho Chi Minh masyarakatnya memang rajin dan komited dengan hidup mereka. Sebabnya, daripada sekecil-kecil budak berusia 5 tahun hingga kepada warga emas semua ada peranan untuk mencari sumber rezeki.
Di tepi jalan, gerai, restoran dan kaki lima kedai, terdapat golongan ini yang menjual pelbagai barang termasuk makanan untuk menampung hidup mereka. Ertinya semua mencari kerja untuk sesuap nasi bagi meneruskan hidup.
Lawatan ke Ho chi Minh mungkin tidak lengkap kalau tidak melawat muzium perang
Comments
Post a Comment