Pentingnya Merapatkan Saf Solat Berjamaah
السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Pada tahun 2001, bersekolah menengah di SMA Darun Naim Kuala Krau, Temerloh, Pahang. Semasa bersekolah di sekolah ini, para pelajar diterapkan dan didedahkan kepada kepentingan merapatkan saf solat ketika solat berjamaah. Sangat ditekankan oleh para ustaz dan warden ketika itu. Antara yang ditekankan adalah merapatkan kaki di antara jamaah kanan dan kiri, menyamakan bahu di antara jamaah kanan dan kiri serta tumit mesti selari dan tak boleh tak sama. Apabila mendirikan solat, kelihatan saf-saf seperti sedang berkawad sebab semua rapat sahaja. Cara beginilah yang mengikuti sunnah Rasulullah saw dan para sahabat dalam merapatkan saf jamaah.
Tetapi apabila keluar daripada sekolah tersebut, apabila bersolat di masjid atau surau tidak ada 'roh' tersebut. Banyak lapang di antara jamaah-jamaah yang bersolat. Ada sebuah masjid di Kuala Lumpur saf bersepah. Ada solat di tengah, ada yang solat di kanan, ada yang solat di kiri dan juga yang bersolat di mana-mana tempat, sekejap ke depan dan sekejap ke belakang.
Oleh itu, mari kita hayati pesanan Rasulullah saw di dalam menghayati kepentingan rapatnya saf solat berjamaah.
Hadis Berkenaan Dengan Cara Merapatkan Saf
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ
Maksud: Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)
Hadis Tentang Kepentingan Merapatkan Saf
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ لَمْ يَقُلْ عِيسَى بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ
Maksud: Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)
Wallahu'alam.
Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
15 April 2010/1 Jamadil Awal 1431H
Comments
Post a Comment