Bawah Dagu Wanita Aurat?
 



Dipetik daripada Harian Metro bahagian Soal Jawab Agama:

ADAKAH di bawah dagu itu aurat ?

Jawapan: Aurat bagi seorang lelaki dan wanita Islam berbeza. Secara dasarnya bagi seorang wanita auratnya ialah seluruh tubuhnya berbanding dengan aurat lelaki iaitu antara pusat dan lutut.


Bagaimanapun, terdapat pengecualian khusus dalam persoalan aurat wanita dan lelaki berdasarkan keadaan dan konteks tertentu.

Ini jelas apabila difahami daripada ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai suruhan kepada wanita supaya menjaga pandangan mata dan larangan daripada mendedahkan tubuh mereka kepada lelaki yang bukan mahram, kecuali anggota tubuhnya yang zahir.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkankan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur (24): 31)

Pengecualian dalam menutup aurat wanita terdapat dalam ayat di atas iaitu “...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya...”

Termasuk dalam zahir ialah bahagian muka dan dua tapak tangan. Memandangkan dagu dikira sebahagian daripada muka, ia termasuk dalam pengecualian itu secara umumnya.

sumber: harian metro

Comments

Popular posts from this blog