Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak
Asalamualaikum wbt.
Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan ke hadrat Allah swt, kerana dengan izin-Nya maka kita semua bakal berada di dalam bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba tidak lama saja lagi. Sesungguhnya untuk berada di dalam bulan Ramadhan merupakan satu nikmat yang amat besar yang dikurniakan Allah kepada para hamba-Nya. Maka saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekalian supaya menjadikan Ramadhan kita pada kali ini lebih berkualiti berbanding dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas dan sama-samalah kita berdoa agar dapat dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar iaitu satu malam dimana Allah janjikan, ianya lebih baik daripada seribu bulan. Rugilah kita sekiranya Ramadhan pada kali ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat dengan membaca Al-Quran, memohon keampunan dari Allah dan banyak lagi.
Nasihat saya, cubalah elakkan daripada membazir, janganlah kita membeli makanan untuk berbuka dengan terlalu banyak sehingga tidak habis dimakan dan akhirnya ke tong sampah juga perginya, kerana salah satu daripada hikmah berpuasa adalah untuk merasai bagaimana kehidupan orang-orang fakir miskin, maka jika sedemikianlah sifat kita bagaimana kita hendak merasai kesusahan orang lain di samping bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita.
Sesungguhnya pada awal ramadhan itu rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka, maka tidak mahukah kita mengambil anugerah Allah ini dengan sebaik-baiknya dan alangkah ruginya jika kita melepaskannya berlalu begitu sahaja. Mudah-mudahan apabila kita keluar daripada Ramadhan kelak, kita akan menjadi manusia yang lebih beriman dan bertaqwa dari sebelumnya. Amin.
Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak kepada semua pembaca tidak kira dimana saja anda berada, bagi yang berada diperantauan samada diatas urusan kerja atau melanjutkan pelajaran mudah-mudahan anda dapat menyesuaikan diri anda dengan masakan tempatan serta cuaca yang berbeza dengan negara kita.
Akhir kalam, saya memohon ribuan ampun dan maaf seandainya ada salah dan silap dari saya atau terkasar bahasa. Mudah-mudahan kita semua dapat menjalani ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain dengan baik di sepanjang Ramadhan ini disamping dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar. Amin.
Sekian, Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak.
Ahmad Nizam Hashim
Warkah Nizam
Nota ; Sekiranya ada rezeki, insyallah saya akan kongsikan beberapa hadis shahih serta ayat-ayat Quran yang berkaitan dengan Ramadhan untuk tatapan para pembaca sekalian.
Comments
Post a Comment