Kebenaran apa jua bentuknya adalah dari Allah. Induk dari segala kebenaran ialah Kalimah Tauhid "Laa ilaaha illallah" yang membawa maksud tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dalam ertikata Allahlah yang Maha Besar yang mesti disembah. Segala yang lain adalah makhlukNya. Tauhid adalah haq manakala syirik pula adalah bathil. Begitu juga syurga adalah haq, neraka haq, azab kubur haq, malaikat haq, tiitian sirath juga haq. Begitulah seterusnya diqiaskan kepada perkara-perkara lain seperti membaca Al-Quran, membuat kebajikan dan lain-lain. Manakala apa jua yang buruk dan keji yang dilarang oleh Allah adalah bathil seperti mencuri, meninggalkan solat, membunuh, syirik dan sebagainya. Akal yang sihat yang dapat bimbingan Ilahi mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan. Apabila telah mengetahui sesuatu itu sebagai kebenaran, maka mudahlah kita mengikutinya. Begitulah sebaliknya jika kita mengetahui sesuatu itu sebagai kejahatan, mudahlah bagi kita menjauhikannya. Kefahaman sebegini adalah pemberian Allah kepada hamba yang disayangiNya. Betapa ramai manusia yang tidak diberikan kurniaan ini, lantas mereka menganggap bahawa kebaikan itu sebagai kejahatan manakala kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Orang begini telah dipetri hatinya dan tidak dapat membezakan lagi antara baik dan jahat. Bagaimana mungkin sebuah kompas yang jarumnya sudah tidak menunjuk arah yang betul dijadikan panduan untuk meneroka satu padang pasir yang amat luas? Semoga kita dijauhkan dari keadaan yang gelap ini dan berdoalah mudahan dapat kita melihat yang haq itu haq dan bathil itu sebagai bathil.
Setelah mata hati kita dapat menyuluh hakikat kebenaran sesuatu perkara, dapatlah kita menjadikannya sebagai panduan hidup. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan sempadan; sehinggalah ia menjadi resam hidup yang sebati dengan diri kita; dan inilah yang harus dijadikan asas perjuangan untuk diri dan masyarakat.
Setelah mempraktikkan kebenaran itu dalam diri sendiri barulah mudah memperkatakan kebenaran kepada orang lain. Misalnya berkata benar - tidak berbohong, menipu atau memfitnah. Telinga pula benar dari segi tidak mendengar perkara yang haram dan dilarang. Mata pula tidak melihat sesuatu kecuali yang halal. Pendekkata semua anggota tidak melakukan sesuatu kecuali yang benar dan tidak bercanggah dengan kebenaran itu sendiri iaitu ISLAM. Pen yebaran dakwah ini menjadi penting dan wajib atau fardhu 'ain dilakukan terutama dalam zaman kegawatan akidah dewasa ini. Tidak guna manusia yang asyik memperkatakan atau cuba menyelamatkan generasi ini dari kegawatan ekonomi saja tanpa sedikit pun memikirkan masalah yang Allah pandang besar iaitu kegawatan aqidah, moral dan agama. Adakah ekonomi akan menyelamatkan manusia terjun ke lembah hina di dunia dan terjun ke neraka di akhirat? Pendekatan 'ekonomi adalah segala-galanya' seolah-olah menafikan kebenaran Islam.
Setelah berhasil mencapai kebenaran dalam diri sendiri dan masyarakat amnya, barulah kejayaan itu diperkukuhkan atau dimantapkan secara istiqamah. Usaha ini perlu berterusan meskipun melalui duri dan ranjau yang cuba ditentang oleh puak yang memusuhi kebenaran iaitu Paksu (nafsu), Pak Leh (Iblis), Pak Wa (hawa) dan Pak Tan (syaitan). Di sini perlunya kesabaran - satu sifat yang perlu untuk menjadi golongan terakhir yang dinyatakan dalam Surah Al-'Asr iaitu pendokong kesabaran.
4. Mereka yang menyampaikan nasihat dengan kesabaran adalah golongan terakhir yang beruntung dan tidak akan rugi. Konsep sabar dalam Islam ada 3 jenis: pertama, sabar menanggung kesusahan dan sebarang bala yang menimpa diri, kedua, sabar mengerjakan ketaatan seperti sabar untuk mengerjakan sembahyang dan segala ibadat lain, dan ketiga ialah sabar diri dari melakukan sebarang maksiat. Jelasnya, sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah sabar atau tetap hati di dalam memegang ajaran Allah yang benar itu; tanpa sedikit pun bergoyang oleh sebarang anasir yang datang. Di antara musuh yang cuba menggoyang atau merosakkan pendirian ini ialah syaitan, nafsu, hawa dan iblis. Mereka yang sabar ialah mereka yang berjaya melawan diri dari musuh-musuh ini untuk mencapai keredhaan Allah.
|
Comments
Post a Comment