SIRAH - KEMATIAN, AKHIRAT DAN KIAMAT

 

 

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM.


Sirah ini adalah hasil nukilan dari Imam al Qurthubi Andalusia atau nama penuh beliau ialah Imam Muhammad bin Ahmad bin Bakar bin Fara' al Anshari al Khazraji al Qurthubi al Andalusia, seorang Imam yang sangat alim dalam bab Tafsir yang dipetik dari kitab beliau yang betajuk "Al Taskirat bi Awali al Mauta wal Umur al Akhirat" diterjemah kebahasa Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada beliau dan seluruh keluarga beliau. Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhhamad saw, keluarganya, para sahabat-sahabatnya dan kepada seluruh para guru-guru yang berwasilah daripadanya hingga sekarang.

Ia diberinama SIRAH kerana Imam al Qurthubi seolah-olah bercerita kepada kita dan dibuat dalam tajuk-tajuk khas iaitu Fasal A adalah tentang Kematian , Fasal B pula tentang Alam Akhirat dab Fasal C berkenaan Kiamat bagi memudahkan kita untuk mengingatinya kerana ia sangat panjang (hampir 1000 ms dalam lebih dari 300 bab). Kemudian beliau mengolah semua cerita ini melalui kupasan dari ayat-ayat al Quran, Hadis-hadis Nabi, Ijmak para Ulama dan juga cerita-cerita orang abadi lagi alim dahulu yang disusun dengan baik sekali menjadikan sebuah naskah kitab rujukan diseluruh dunia Islam sekarang ini. Mungkin juga akan dipendekkan sedikit dimana yang perlu dalam keluaran disini. Semoga pembaca semua sudi dan sabar membacanya hingga akhir nanti.

FASAL A - KEMATIAN.

BAB 1 - INGAT MATI DAN BERSIAP SEDIA MENYAMBUTNYA.

Dari riwayat an-Nasa'i ra dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Selalulah bagimu mengingati akan sesuatu yang melenyapkan nikmat-nikmat " iaitu Kematian. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan at Tarmidzi. Kemudian dari riwayat al Hafizh Abu Naaim dengan sanat yang jelas Malik bin Anas, dari Yahya bin Sa'id, dari Sa'id ibnu Musayyaib dari Umar ibnu Khathaab, ia mendengar Rasulullah bersabda "Selalu selalulah kamu ingat akan sesuatu yang dapat melenyapkan nikmat-nikmat"... kami bertanya "Ya Rasulullah, apa itu sesuatu yang dapat melenyapkan nikmat-nikmat ?" Beliau manjawab "Kematian".

Diriwayatkan oleh at Thabrani dan Ibnu Majah dari Umar bahawa ia berkata, " Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba muncul seorang sahabat Ansar, setelah mengucapkan salam ia pun bertanya " Rasulullah, siapakah orang mukmin yang terbaik ? Rasulullah menjawab, "Yang paling baik akhlaknya". Kemudian ia bertanya lagi, "Siapakah orang mukmin yang paling bijak sekali ? Rasulullah menjawab, " Yang selalu mengingati kematian dan yang mempunyai persiapan terbaik untuk menyambut apa yang akan terjadi sesudahnya". Hadis ini juga diriwayatkan oleh Malik. Diriwayatkan oleh at Tarmidzi ( Ibnu Majah, Ahmad dan at Thabrani) dari Syahdad bin Aus, mengatakan bahawa Rasulullah bersabda, "Orang bijak ialah orang yang selalu muhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk Alam Akhirat nanti. Manakala orang yang bodoh itu ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya tetapi mengharap-harap pertolongan (redha) Allah". Diriwayatkan oleh at Tarmidzi dari Anas bahawa Rasulullah bersabda, "Selalulah kamu mengingati kematian. kerana sesungguhnya hal ini dapat membersihkan dosa-dosa dan dapat membentuk dirimu zuhud kepada dunia ". Hadis riwayat Hitsami dan at Thabrani (dhaif) disebut bahawa sesseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, apakah diakhirat nanti ada seseorang yang dikumpulkan bersama-sama para syuhada ?. Rasulullah menjawab, "Ada... iaitu orang yang selalu mengingati kematian sebanyak 20 kali sehari semalam".

Firman Allah swt didalam surah al Mulk ayat 2 yang mafhumnya "Yang menjadikan hidup dan mati, supaya dapat diuji siapa diatara kamu yang yang lebih baik amalannya". Kemudian berkata seorang abadi bernama Abdul Rahman al Suda " yang dimaksudkan dengan orang yang paling banyak mengingat kematian itu ialah orang yang mempunyai persiapan paling baik dan yang paling takut kepada penciptanya". Menurut Ijma' para Ulama ASWJ, maksud hadis Nabi berkenaan "Selalulah kamu mengingati sesuatu yang dapat melenyapkan nikmat-nikmat" adalah sebuah ungkapan yang ringkas tetapi penuh dengan pesanan dan nasihat. Orang-orang yang selalu mengingat kematian akan sedar akan hakikat nikmat sebenar yang sedang dirasai dikala hidupnya sehinggakan dia tidak banyak berharap nikmat itu kekal bersamanya selama-lamanya kerana ia boleh ditarek semula oleh Maha Pencipta Nikmat itu pada bila-bila masa sahaja. Kemudian ia bersikap zuhud terhadap apa yang diharapkan daripadanya, iaitu ia mengenal benar mengapakah nikmat itu hadir, yang diberi oleh Allah swt kepada dirinya maka ia mempersiapkan diri dengan banyak amalan dan sunat untuk menyambut kedatangan kematiannya pula.

Manakala manusia yang berhati lalai itu pula amat perlukan nasihat yang terperinci dan pengajaran yang panjang. Jika sesorang mukmin itu mendengar Sabda Baginda Rasullah saw "Selalulah kamu mengingati sesuatu yang dapat melenyapkan nikmat-nikmat", kemudian ia pula menbaca al Quran didalam surah Ali Imran ayat 185, firman Allah yang mafhumnya "Tiap - tiap jiwa itu akan merasakan kematian", sudah tentu bergoncang jiwanya, keluh kesah hati dan perasaannya, tidak lelap matanya kerana takut teramat sangat akan azab Allah pada Sharakatulmaut dan seksaan seterusnya itu tampa henti diAlam Barzah dan Akhirat nanti. Sehingga disuatu ketika Allah "matikan" ia beberapa ketika dan "memperlihatkan" kepadanya semua amal perbuatannya dari ia dilahirkan hingga kehari itu (seperti wayang gambar) kemudian didatangkan Malaikat Maut Izraail dengan wajah mengerunkan dengan segala persoalannya yang sudah tentu tidak dapat dijawabnya. Begitulah Allah datangkan pengajaran kepada mereka yang dikehandakiNya supaya mereka sedar dan insaf akan perbuatan mereka kemudian berubah menjadi mukmin yang taat.

Amirul mukminin Umar ibnu al Khathab selalu membaca bait syair ini,

"Tidak ada suatu pun yang kamu lihat germerlapan itu kekal abadi, kerana yang abadi itu hanya Allah. Harta dan anak-anak mu juga akan lenyap. Hurmuz (Qarun) pada suatu hari juga tidak perlukan lagi harta kekayaannya. Kaum 'Aaad juga pernah ingin kekal abadi... tetapi gagal. Begitu juga Sulaiman as, pengandali angin, manusia, jin dan semua binatang, Raja terkaya dunia... mana dia raja yang dahulu pernah menjadi manusia paling berjaya dimuka bumi ini ???... diakhirat kelak semua akan tunduk dan tidak mampu berbohong...."

Daripada keterangan diatas, maka ketahuilah oleh mu bahawa mengingati kematian itu adalah perbuatan Sunnah yang akan menimbulkan perasaan cemas dan takut untuk meninggalkan kehidupan dunia yang fana ke Alam Akhirat yang kekal abadi. Jika sesorang yang sedang berhadapan penderitaan hidup yang keras, dengan mengingat akan kematian maka dia akan tenang kerana kematian itu jauh lebih keras penderitaannya. Manakala mukmin yang sedang menikmati dunia akan menjadikan ia tidak lupa diri dengan mengingat kematian. Perhatikan bait syair ahli abadi ini,

"Ingatlah kematian yang akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir kepada mu".

"Ingatlah kematian... nascaya kamu akan mendapat nikmat mengingat kematian. Ingat akan kematian akan dapat mematahkan angan-angan kosong".

Semua telah bersetuju bahawa kematian itu tidak mengenal umur, masa atau penyakit tertentu. Ini bermaksud supaya manusia semua bersedia untuk menghadapi kematian. Dahulu ada seorang abadi yang alim dikota Madinah yang saban hari akan menaiki bangunan tinggi disana dan berseru (berteriak) "... Ayoh berangkat.... Ayoh berangkat" pada suatu ketika tiada lagi kedengaran suara seruannya itu maka ditanya oleh Wali Kota Madinah mana perginya seruan itu, setelah diberitahu akan kematiannya beliau pun berkata " Dia yang setiap malam berseru supaya mengingat kematian dimana semua unta-unta juga turut gementar dipintu rumahnya... sekarang telah meninggal dunia !...tiada lagi ketakutan kepada yang tiada ingat akan kematian ". Seorang Waliallah bernama Yazid ar Raqasyi pernah dilihat selalu berkata-kata kepada dirinya serta memukul-mukul badannya "Yazid...Yazid.. celakalah kamu, setelah kamu mati nanti siapa yang mahu solat atas namamu (bagipihak kamu) ?... siapa yang sudi berpuasa atas namamu ?... dan siapa pula yang bersedia meminta keridhaan Allah untuk mu ?".... " Wahai manusia, kenapa tidak kamu menangis meratapi sisa hidup kamu yang tinggal beberapa waktu cuma ??? Kamu akan dijemput Maut dan menantimu kuburan yang beralaskan tanah dan bertemankan cacing -cacing..." Gementar tubuhnya dek cengkaman rasa takut teramat sangat, pucat lesi wajahnya lalu Yazid pun meraung menangis hingga jatuh pengsan.

Khalifah Omar bin Abdul Aziz pernah mengumpulkan para Ulama-ulama dan mereka bercerita tentang mengingati kematian, kiamat dan akhirat. Disaat tertentu mereka akan meraung menangis seolah-olah kematian orang yang mereka cintai. Berkata at Taimi (seorang cendiakawan Islam) "Ada dua hal yang pasti akan melenyapkan kenikmatan dunia dariku, iaitu ingat kematian dan ingat ketika berada dihadapan Allah swt ". Kata Abu Na'im "Jika Sufian at Tsauri mengingat kematian, berhari-hari ia akan kelihatan sangat sedih, wajahnya murung. Setiap kali ia ditanya tentang sesuatu pekara, ia hanya akan menjawab "tidak tahu... tidak tahu " (menjadikan dirinya kebas, alpa dan kosong ). Berkata Asbatah..." suatu hari Nabi mendengar beberapa orang sahabatnya sedang memuji-muji kehebatan seseorang. Nabi lalu bertanya kepada mereka "Adakah ia selalu mengingati kematian ? ", mereka menjawab " Tidak "... Maka Nabi bersabda " Maka ia tidak sehebat yang kalian katakan !".

Berkata pula Ad Daqqaq (ahli fikir dan flasafah Islam) " Barang siapa selalu ingat kematian, ia akan dimuliakan dalam 3 pekara. Iaitu cepat bertaubat, hatinya menjadi Qana'ah (redha akan pemderian Allah) dan bersemangat untuk beribadat... barang siapa yang lupa akan kematian, ia akan diberi seksa dalam 3 pekara, iaitu lambat bertaubat, tidak puas dengan pemberian Allah dan malas beribadah". Oleh itu hendaklah kamu semua memikirkan soal kematian dirimu sendiri, jangan kamu fikir kematian itu hanya akan datang kepada orang lain. Apabila ia telah amat hampir kepada mu baharulah kamu rasa tertipu dengan nikmat dan keindahan dunia yang fana ini. Segala-galanya akan diperlihatkan kepada mu dengan jelas sekali. Kematian pasti akan hadir jua pada mu walau sejauh mana kamu ingin lari darinya. Ia adalah hakim yang adil, ia adalah tangisan, ia juga perpisahan dan pelenyap kepada semua kenikmatan dunia. Kematian adalah pemutus segala harapan dan angan-angan. Pernakkah kamu memikirkan akan kematian dirimu sendiri ??? Ia adalah saat perpisahan dari tempat kamu didunia yang luas kepada liang lahad yang sangat sempit, saat tiada lagi kawan-kawan yg selalu berhibur bersamamu, mereka menghianati mu tampa dapat kamu berbuat apa-apa, saat perpisahaan dari saudara mara, sahabat taulan, malah keluarga kamu yang tercinta. Saat kamu mengantikan pakaian mewah mu dengan kafan, pakaian tanah yang kotor.

Wahai orang yang selalu mengumpulkan kekayaan dan berlawan untuk mendirikan bangunan pencakar langit. Disaat itu kamu sudah tidak punya daya upaya dan harta kekayaan mu itu tidak dapat menolong mu. Kamu hanya berteman kain kafan yang bakal akan rosak sedikit masa nanti. Tubuh mu yang kamu belai saban hari akan hancur dimakan bumi. Dimanakah harta yang kamu kumpulkan itu ??? Ia menjadi pertelagahan, pergaduhan semua waris mu yang tidak tahu berterima kasih kepada mu. Malahan memaki hamun kepada mu sepanjang hari. Lalu kamu ajukan semua dosa-dosa mu kehadrat Allah swt yang sudah tentu tidak akan menerima akan semua alasan-alasan kamu. Sesuai dengan firmanNya didalam surah al Qashash ayat 77 yang mafhumnya " Carilah pada apa yang telah dianugrahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri Akhirat...". Amat bijak jika seseorang itu memahamkan ayat ini dengan berkata "Carilah olehmu syurga di negeri Akhirat pada apa yang telah Allah kurniakan kepadamu semasa di dunia". Ia bermaksud sesorang manusia harus mengurus pekara dunia untuk akhiratnya bukan sebaleknya. Janganlah kamu lupa bahawa kamu akan meninggalkan keseluruhan hartamu dan akan hanya dibaluti dua lapis kain kafan sahaja. Seorang penyair Islam bermadah...

"Bagaian dari seluruh harta yang telah kamu kumpulkan sepanjang hidupmu, hanyalah dua lapis kain kafan yang membungkus tubuhmu dan sebutir ubat pengawet (kapur barus)."

"Adalah sifat Qa'anah (redha) yang biasa kamu carikan gantinya, disitu ada banyak kenikmatan, disitu ada yang dapat menyenangkan badan... lihat, orang yang paling kaya didunia sekalipun, adakah ia akan diusung kekuburan tampa kain kafan ???".

Yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw dengan sabdanya yang bermaksud "Orang yang bijak adalah orang yang selalu meneliti dirinya sendiri " Ia bermaksud orang yang bijak adalah orang yang suka musahabah dirinya, memandu hawa nafsunya dengan mudah untuk beribadah kepada Allah serta beramal untuk persediaan akhirat nanti. Kemudian ia akan pula meneliti dirinya dan mempergunakan masa dan waktu yang masih ada untuk ibadah dan amal-amal soleh. Itulah bekalan utama rohani bagi setiap manusia untuk menuju kealam akhirat yang kekal abadi. Manakala manusia yang tertipu ialah mereka yang lalai dan asyik dengan nikmat dunia serta berbuat dosa tampa meninggalkan satu amal kebijikan pun, tetapi berkata " aku telah berbaik sangka kepada Tuhanku". Sudah nyata sekali ia berbohong terhadap Allah kerana berbaik sangka itu bermaksud mengerjakan amal kebajikan kehadrat Allah semasa didunia. Maka dibawanya pula beberapa ayat sebagai nas akan perbuatannya itu yang terang-terang tidak memehak kepadanya, malahan ia dianggap penipu dan pembohong.

Berkata Sa'id bin Jubir "Yang dimaksudkan menipu Allah itu ialah jika seseorang yang melakukan maksiat dan dosa-dosa besar tetapi berkeras kepala mengharapkan keampunan Allah". Manakala didalam peristiwa yang lain pula, Baqiyah ibnu Walid mengatakan, "Abu Umairah ash Shuri berkiram surat dengan temannya yang isinya menyebutkan, "Amma ba'du, Selama ini kamu hanya memikirkan dunia, masih saja mengharapkan Allah dengan perbuatanmu yang buruk itu. Ia samalah dengan perbuatan mengetuk besi yang sejuk , sekian wassalam ". Maka diharap kalian semua dapat pengajaran dari riwayat dan sirah ini.



BAB 2 - PEKARA YANG DAPAT MENGINGATKAN KEMATIAN DAN AKHIRAT.


Diriwayatkan dari Imam Muslim bahawa Abu Hurairah berkata "Nabi berziarah kekubur ibunya, beliau menangis dan orang disekeliling juga turut menangis lalu Beliau bersabda 'Aku minta izin kepada Tuhanku untuk mengampunkannya, tetapi Dia tidak mengizinkan aku, lalu aku meminta izin kepadaNya untuk berziarah kekubur ibuku dan Dia memberi izin kepadaku. Oleh sebab itu berziarahlah kekuburan kerana ia dapat mengingatkan kematian". Manakala dari sebuah hadis dhaif yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Ibnu Mas'ud bahawa Rasulullah bersebda " Aku pernah melarang kamu menziarahi kuburan, maka sekarang berziarahlah kekuburan akan kamu semua kerana hal itu akan dapat mengingatkan kematian ".

Berdasarkan ijmak dan kesepakatan para Ulama-ulama ASWJ, menziarahi kuburan bagi kaum lelaki itu hukumnya sunat, tetapi mereka berdebat tentang masaalah ini untuk kaum wanita yang dewasa, setengah menghukumkan ianya harus dan setengahnya menghukumkannya sunat asalkan ia tidak bercampur dengan kaum lelaki ajanabi. Sesetangah ulama ini mengharamkan menziarahi kuburan untuk kaum wanita yang masih muda kerana ditakuti lemah semangatnya. Jadi terserah kepada pendapat kaum muslimin sendiri iaitu hendak mengikut yang mana satu, dimana kedua-dua pendapat itu juga dianggap benar. Ini adalah berasaskan dari sabda Nabi itu tadi yang ditujukan secara terbuka, tidak ia bersifat pengkhususan kepada sesuatu peringkat atau jenis sahaja. Ia bersifat terbuka kepada lelaki atau wanita yang dibenarkan menziarahi kuburan bagi memperingati akan kematian. Manakala menziarahi kuburan yang bercampur gaul antara kaum lelaki dan wanita yang ajanabi (bukan mukhrim) adalah juga haram hukumnya kecuali kepada kanak-kanak lelaki atau tujuan mendapatkan pelajaran yang apabila pemuda itu menumpukan pandangannya kepada kaum winata itu hingga meninbulkan fitnah, maka ia perbuatan berdosa dan juga mendapat pahala. Menurut sebahagian Ulama, larangan Nabi kepada kaum wanita yang menziarahi kuburan itu berlaku sebelum Nabi memberi kemurahan kepada umatnya. Setelah kemurahan itu Nabi berikan maka hal ini merangkaumi seluruh jenis kaum. Oleh itu pendapat pertama itu tadi adalah yang lebih utama.

Diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib kwh, bahawa ia pergi kesuatu kuburan lalu berkata " Wahai penghuni kuburan, kabarkan kepada kami tentang kalian atau kami yang akan memberi kabaran kepada kalian...kalau kabaran dari kami ialah, harta kalian telah dibahagi-bahagi, isteri-isteri kalian telah bernikah lagi dan orang-orang miskin sudah diberi tempat tinggal oleh kaum selain kalian !....Demi Allah, jika mereka semua boleh menjawab, mereka akan mengatakan bahawa bekal yang paling baik ialah TAKWA ! ". Sungguh indah kata-kata dari Abdul Atahiyah iaitu :-

"Hairan aku kepada manusia, seandainya mereka masahabah diri mereka dan memindahkan hal dunia kepada yang lainnya, mereka akan tahu bahawa dunia ini hanyalah sebuah jambatan. Tiada kebanggan sejati kecuali daripada mereka yang bertakwa. Kelak ketika Allah menghimpunkan semua makhluk di Padang Mahsyar mereka akan tahu bahawa bertakwa dan berbakti itu adalah simpanan yang terbaik. Aku hairan kepada orang yang sombong, walhal mereka akan dikuburkan tampa punya kuasa untuk menyegerakan yang diharapkan dan menanguhkan yang ditakuti. Semua yang telah diusahakan semasa didunia dahulu berpindah kepada orang lain atau menjadi rebutan".

Menurut sesetangah Ulama, hati tidak dapat mengambil manafaat dari ziarah kuburan, apa lagi hati yang keras. Sebaleknya bagi yang memiliki hati seperti ini dapat mengatasinya dengan 4 pekara iaitu :-

1) Melazimkan menghadiri majlis-majlis taklim dan usrah untuk mendengar nasihat, pelajaran, peringatan, cerita orang-orang soleh dan majlis-majlis ilmu yang lainnya supaya dapat melembutkan hatinya yang keras itu.

2) Melazimkan mengingati kematian sebagai satu kejadian yang akan melenyapkan semua nikmat-nikmat dunia, memisahkan kasih sayang keluarga dan sahabat taulan dan membuat anak-anaknya menjadi yatim. Pada satu kisah yang terjadi kepada seorang wanita yang mendatangi Siti Aisyah ra mengadu akan hatinya yang sangat keras, lalu Aisyah menyarankan kepadanya supaya selalu mengingati kematian. Setelah menurut saranan tersebut, wanita itu mendatangi Aisyah dan menyatakan hatinya telah menjadi lembut dan menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada Saidatina Aisyah ra. Menurut Ulama, mengingati kematian juga dapat melembutkan hati yang keras, menghilangkan rasa megah pada dunia dan menganggap remeh semua musibah yang terjadi.

3) Menemani orang yang sedang menghadapi sakatulmaut atau sakit tenat kemudian mengambarkan akan nasib yang bakal ia tempuhi setelah mati. Hal sebegini akan membuat hati tidak tertarek kepada nikmat dunia, fikiran tidak tenteram, jiwa menjadi gundah gulana, resah gelisah memikirkannya, membuat mata tidak dapat lelap tidur, menimbulkan semangat untuk beribadah dengan lebih tekun dan kuat kerana perasaan takut kepada kematian itu. Didalam kitab 'zawaid al zuhdi' karya Abdullah bin Ahmad bin Hanbal di mukasurat 330, menceritakan perihal Waliallah Hassan al Basri menziarahi seseorang yang sedang menghadapi sarakatulmaut. Setelah ia memerhatikan akan kesusahan yang tersangat pedih untuk dicabut nyawa orang itu, beliau bergegas hendak pulang dengan wajah yang pucat lesi hingga tidak menjamah jamuan yang sedia dihidangkan kerana telah hilang seleranya juga. Ketika ia ditanya, maka ia menjawab, "Demi Allah.. aku baru saja melihat satu peristiwa seksaan kematian yang amat dahsyat, aku berjanji akan selalu melakukan amal untuk menghadapinya bila tiba saat aku bertemu dengan Tuhanku nanti " ketiga-tiga pekara diatas ini haruslah dilazimkan kepada orang yang sangat keras hatinya supaya hatinya menjadi lembut serta dapat menghindari diri dari fitnah-fitnah Syaitan dan Iblis keatas dirinya yang sudah tentu ingin menyesatkannya. Jika ketiga-tiga pekara diatas tadi tidak juga memberi kesan, maka cara terakhir ialah,

4) Melazimkan dirinya menghadiri pengkebumian mayat dikuburan atau turut mengali kuburan bersama-sama. Inilah cara yang paling berkesan sekali untuk melembutkan hati yang keras. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " menziarah kuburanlah kamu kerana ia dapat mengingat kematian dan akhirat serta dapat membuatkan zuhud kepada dunia". Dengan melazimkan diri menyaksikan permakaman jenazah, pertama ia akan mendengar seruan Azan, kedua ia akan dapat memberitahu diri akan tempat kembali yang kekal abadi. Pekara ini diharap dapat memberi keinsafan kepada mereka yang keras hatinya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad Thabrani dan Hakim, Nabi saw bersabda yang maksudnya "Berita itu tidak seperti melihat dengan mata kepala sendiri". Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas sahaja. Maka haruslah difahami bahawa bukan semua orang boleh berhadapan dengan orang yang sedang bertarung sakaratulmaut atau menziarahi kematian atau menziarahi kuburan. Jika hanya dengan mendengar berita saja tidak juga insaf, maka cara kedua atau ketiga atau keempat itu harus dipeitiskan supaya hati menjadi lembut dan insaf. Pada kebiasaannya, menziarahi kuburan itu lebih mudah dan sangat efektif kesannya. Oleh itu kepada yang menziarahi kuburan haruslah juga mematuhi adab sopan semasa disitu, kemudian berniat bersungguh-sungguh untuk mendapat keredhaan Allah. Disamping memberi keberkatan kepada mayat dan ahli-ahli kubur seklian dengan membaca ayat-ayat Quran, tahlil, selawat dan doa. Antara adab-adab yang utama semasa kekuburan ialah pertama sekali mengucapkan salam kepada seluruh ahli kubur musilimin dan msulimat dengan ucapan "Alaikas Salam tu was salam ala ahli kubur....". Kemudian membuka kasut atau sendal seperti yang telah diajarkan Nabi. Dilarang duduk dipusara atau melangkah diatasnya, kemudian baharulah membaca al Quran, tahlil, selawat dan doa khususnya kepada pusara yang dilawati dan amnya kepada seluruh penghuni tanah kuburan itu.

Diriwayatkan oleh at Tarmidzi didalam kitabnya bertajuk "Jumi at Tarmidzi" bahawa sesungguhnya ada seseorang lelaki datang menemui Rasulullah dan berkata "alaikas salam" lalu Nabi menegurnya "Jangan ucapkan salam seperti itu kerana salam itu hanya untuk menghormati mayat sahaja". Termasuk juga adab menziarai kuburan iaitu semasa mengucapkan salam hendaklah berhadapan dengan kuburan seolah-olah berhadapan dengan manusia itu sewaktu hidupnya. Kemudian ambillah pengajaran dengan mengambarkan keadaan mayat yang sedang diziarahi itu dengan renungan yang dalam sekali dilubuk hati. Dengan gambaran seumpama itu diharap akan mengubah diri menjadi lebih tekun beribadah, menghindarkan diri dari rakus dan tamak kepada harta dunia, menzahirkan khusyu' semasa beribadah dan banyak pengajaran lagi akan diperolehi dari usha seumpama ini.

Manakala terdapat beberapa buah hadis maudhu menjelaskan beberapa peristiwa tentang dihidupkan semula ibu dan ayah Nabi saw untuk di Islamkan oleh Nabi. Maka ia tidak dapat dibentangkan kerana sanadnya yang sangat lemah dan diluar dari pemikiran manusia biasa kerana persoalan ghaib seumpama itu hanya Allah dan RasulNya saja yang maha mengatahui. Mudah-mudahan Allah mengampunkan seluruh keluarga Nabi saw seperti yang beliau harapkan semasa hidupnya lagi. Tambahan pula ia telah disanggah dengan turunnya firman Allah didalam surah anNisaa ayat 18 yang mafhumnya ;

"Dan tidak (diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka didalam kekafiran".

Kemudian didalam surah al Baqarah ayat 119 pula Allah berfirman yang mafhumnya ;

"Kamu tidak akan diminta (dipertanggungjawabkan) tentang penghuni-penghuni neraka".

Maka didalam hal ini kita serahkan saja kepada Allah untuk menjadi hakimnya, waallahua'lam.


Sekian dulu untuk siri perkenalan atas tajuk "SIRAH - KEMATIAN, AKHIRAT DAN KIAMAT " dalam Fasal A - Kematian, bab 1 dan 2. Diharap pembaca dapat memahami akan keadah penulisan sirah al Marhum Syaikh al Qurthubi ra ini yang diterjemah kedalam bahasa Malaysia dari karya asal beliau. Tetapi diatas pekara-pekara supaya ia tidak menimbulkan fitnah kepada umat Islam, maka perlu juga ia diolah dalam bentuk bahasa kita supaya ia mudah difahami. Segala kekurangan harap dapat dimaafkan serta selamat berpuasa.

sekian

Zamany.


http://kubranewszamany.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog