Suami tak sensitif, isteri patah hati



Benarkah hati lelaki semakin kaku selepas bertahun-tahun melalui kehidupan perkahwinan? Kalau pada permulaan bercinta dahulu bukan main romantik, sensitif, peka dengan keadaan kekasihnya, tapi kini setelah berumahtangga, beranak cucu, semakin hilang perasaan sensitif kepada isteri. Mengapa? Kita sering mendengar cerita sedih pengorbanan para isteri yang kurang dihargai suami. Isteri terbaring menahan ganasnya kanser, suami pula masih sibuk di padang golf. Isteri terkejar-kejar menghantar anak, memasak, mengemas rumah, turun ke pejabat bersesak-sesak di jalanraya, suami pula buat tak tahu sedikitpun dan tak sudi menolong isteri. Padahal isteri sanggup membahagi gajinya untuk menolong suami membayar segala bil setiap bulan.

Perangai sebegini terbawa-bawa hingga ke tua. Apakan tidaknya ada yang sudah pencen pun sanggup pergi umrah tiap-tiap tahun tetapi tak bawa isteri dengan alasan tak ada orang jaga rumah dan uruskan anak. Takkanlah sampai ke mati isteri terus berkorban dan mengapa pula rezeki dan kesenangan itu dinikmati seorang diri? Walaupun gangguan emosi dan perasaan sentiasa dihadapi, isteri juga terpaksa bekerja lebih keras menumbuhkan kasih sayang dan keintiman dengan menerima apa adanya hati budi suami. Oleh kerana isteri sentiasa sedar bahawa suami boleh berpaling pada bila-bila masa mencari wanita hingga empat orang yang dihalalkan. Isteri begitu takut jika diduakan, apatah lagi diceraikan. Adakah ia suatu petanda bahawa hati wanita semakin lembut selepas bertahun-tahun menikah? Jika kita mengkaji tentang siapakah yang memiliki hati paling sensitif terhadap pasangan, sebenarnya ia tidak boleh dikaitkan dengan isu gender. Apakah wanita atau lelaki yang lebih romantik, sensitif, peka dan ambil berat terhadap pasangannya? Ia bergantung pada keikhlasan dan sejauhmana keimanan seseorang kepada Allah SWT?

Lelaki yang beriman kepada Allah, lebih lembut kepada isterinya daripada seekor arnab yang jinak. Iman akan melahirkan jiwa lelaki yang tidak mementingkan diri sendiri, mengambil berat urusan rumahtangga, menjaga dengan baik perasaan, emosi, fizikal dan mental isteri. Lembut bukan bererti mengalah, bahkan sentiasa berada di hadapan untuk membimbing isteri dalam melayari kehidupan rumahtangga.

Begitu juga dengan wanita yang beriman, hatinya amat sensitif bila berhadapan dengan suami. Menghidu dan menyiasat apakah kelemahan-kelemahan yang mencacatkan keperibadiannya sebagai isteri. Untuk menjadikan hati anda dan pasangan semakin sensitif dan hidup semula eloklah ingati beberapa nasihat ini:

1. Pasangan kita adalah amanah Allah.

Tak kira suami atau isteri, masing-masing akan dipersoalkan tentang amanah yang dipikulnya. Siapa yang mensia-siakan amanah Allah bererti dia telah khianat kepada Allah. Suami kaki pukul, isteri queen control, suami tak bekerja, isteri tak layan suami, semua itu adalah perbuatan-perbuatan yang menunjukkan pelakunya telah khianat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. (Surah Al-Anfal ayat: 27)

Tahukah anda nasib orang-orang yang khianat kepada Allah? Dia akan dilaknati semua makhluk sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala jika Dia menghancurkan seorang hamba, nescaya Allah cabut rasa malunya. Jika telah dicabut rasa malunya, kamu tidak menjumpainya melainkan dia telah membenci dan dibenci orang, lalu dicabut amanah dalam dirinya. Jika dicabut amanah darinya kamu tidak akan menjumpainya melainkan dia akan berkhianat dan dikhianat. Jika sudah begitu kemudian dicabut kasih sayang dari dirinya, jika sudah begitu kamu tidak menjumpainya melainkan dia dilaknat dan dikutuk, jika sudah begitu maka dicabutlah ikatan keislamannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Bermula dari tidak amanah kepada pasangan akhirnya terjebak ke dalam dosa yang lebih besar sehingga kehilangan iman dan Islam. Alangkah malangnya nasib manusia begini.

2. Pasangan kita adalah bukti kasih sayang Allah.

Konflik yang memecah belah kasih sayang anda di rumah sebenarnya sebagai satu petanda saat itu Allah telah mencabut rahmat-Nya dari rumah anda. Mengapa? Kerana masing-masing tidak berperanan dengan baik dan lalai menjaga amanah perkahwinan. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.” (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Kehidupan anda dan suami adalah amat penting untuk difikirkan. Fikirkan bagaimana untuk menyuburkan kasih sayang di rumah. Perkara ini lebih penting daripada urusan hobi anda yang suka memancing, main bola atau perniagaan anda. Begitu pula kepada isteri manakah yang lebih penting; shopping, melepak, jualan langsung atau kasih sayang dalam keluarga?

Hubungan yang baik dengan pasangan hidup anda menunjukkan bahawa hubungan anda pun baik kepada Allah. Jika hubungan dengan Allah bermasalah maka anda akan rasakan terseksanya hidup bersama pasangan.

Untuk memiliki hati yang sensitif kepada pasangan, jangan lupakan apakah anda telah pun sensitif kepada Allah?

http://drjuanda.com

Comments

Popular posts from this blog