Alhamdulillah
Assalamualaikum,. Semoga isi post kali ni diberi kefahaman oleh Allah kepada saya dan pembacanya dan diberi kekuatan untuk beramal

________________________________________

Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ الله عَنْهُ dia berkata bahawa Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah bersabda:
"أَفْضَلُ أَيَّامِ الْدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ، يَعْنِي عَشْرُ ذِي الحْجَّةِ".
Maksudnya: “Hari yang paling afdal di dunia ialah hari-hari 10, iaitu 10 hari (yang pertama) bulan Zul-Hijjah.”
Hadis dikeluarkan oleh al-Bazzar. Menurut al-Haitsami rawi-rawinya tsiqah.






Amalan bulan zulhijjah




Yang disebut hari paling afdal dalam Hadis ini ialah hari yang paling afdal di dunia. Ia tidak termasuk hari yang paling afdal di akhirat. Hari yang paling afdal di akhirat ialah Yaumul-Mazid, iaitu Hari Allah ‘Azza wa Jalla menzahirkan Wajah-Nya kepada ahli syurga, lalu mereka dapat memandang-Nya.

Kenapa 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah dipilih menjadi hari paling afdal di dunia?
Kerana pada hari-hari itu terkumpul ibadah-ibadah yang utama. Allah sendiri telah bersumpah dengan hari-hari itu di dalam kitab suci-Nya:
{وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر}
Maksudnya: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Al-Fajr: 1-2)

Kelebihan hari-hari pertama 10 Zul-Hijjah ini berbanding hari-hari lain dalam setahun seperti kelebihan tempat-tempat ditunaikan manasik haji berbanding kawasan-kawasan lain di seluruh pelusuk muka bumi. Atas alasan itu terdapat segolongan ulamak berpendapat 10 hari pertama Zul-Hijjah lebih afdal daripada 10 hari terakhir Ramadan. Namun sebahagian lain berpendapat 10 hari terakhir Ramadan lebih afdal.

Ibn al-Qayyim berkata: yang betulnya ialah malam-malam 10 terakhir Ramadan lebih afdal daripada malam-malam 10 pertama Zul-Hijjah kerana terdapat Lailatul-Qadar. Dan siang hari 10 pertama Zul-Hijjah lebih afdal daripada siang hari 10 terakhir Ramadan kerana terdapat Hari Arafah dan ibadah korban.

Justeru, inilah masanya untuk memulakan lembaran hidup baru, hubungan yang lebih rapat dengan-Nya pada hari yang paling afdal di sisi-Nya.
Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:
“Amal soleh yang paling Allah sukai dilakukan oleh hamba-Nya ialah amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (10 pertama Zul-Hijjah)”, mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Allah lebih suka daripada berjihad fi sabilillah?” Baginda menjawab (maksudnya): “Ya, tidak dapat mengatasi jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)” Sunan Ibn Majah

Dan sabdanya lagi bermaksud:
“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah selain daripada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah, dan tidak ada amalan yang paling Dia suka dilakukan selain daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah. Maka hendaklah kamu membanyakkan tahlil, takbir dan tahmid pada hari-hari tersebut.” Musnad Ahmad

Source

Comments

Popular posts from this blog