Apakah pengertian Ahli al-Sunnah Wal Jamaah?
Keputusan:
Pengertian Sunnah ialah Sunnah Rasulullah s.a.w., pengertian Jemaah ialah kumpulan Sahabat dan Tabien yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Mazhab-mazhab Fekah ialah aliran hukum Syarak yang sah didasarkan di atas tafsiran tertentu terhadap nas-nas Syarak oleh ulama Mujtahidin mengikut kaedah Istinbat yang muktabar. Majlis tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. Di dalam Mazhab mana pun yang jelas dan nyata pendapat mereka itu dari kitab Allah atau Sunnah Rasulnya atau Jemaah Sahabat Rasulullah s.a.w. maka Majlis sedia menerima dan beramal dengannya. Adapun Mazhab-mazhab ssperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali pada pandangan rasmi Majlis adalah terhitung di dalam Mazhab-mazhab yang muktabar yang tergolong di dalam istilah Ahli Sunnah Wal Jemaah. Majlis Agama Islam Perlis memang berpandukan kepada Mazhab itu dan mengambil pendapat-pendapat mereka yang ada alasan daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Jemaah Sahabat Rasulullah s.a.w. Pengertian ini berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah
Keterangan/Hujah:
DALIL-DALIL DARIPADA AL-QURAN:-
1. Firman Allah S.W.T. dalam Surah at-Taubah ayat 100:
Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
2. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah al-An"am ayat 153:
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai beraikah kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.
DALIL-DALIL DARIPADA AL-HADIS
1. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Dari Sariah ( ) r.a. berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: Aku berwasiat kepada kamu dengan takutkan Allah Taala dan mendengar ajaran dan bertaat akan pemerintah walaupun hamba Habsyi, maka sesungguhnya mereka yang panjang umurnya hidup ia hingga kemudian daripada aku, tentu lihat ia akan bersalah-salahan yang banyak, ketika itu lazimlah kamu berpegang sunah aku dan sunah segala Khalifah-khalifah yang menunjuk mereka itu akan jalan yang sebenar, perpeganglah kamu dengannya dan gigitlah kamu akan dia dengan geraham kamu, maknanya berpegang teguh dan jauhkan kamu dari perkara-perkara yang dibaharukan (yang bukan daripada sunah nabi), maka bahawasanya tiap-tiap yang bukan sunah nabi itu bid"ah dan tiap-tiap bid"ah itu sesat dan tiap-tiap sesaat itu di dalam neraka. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
2. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Dari Ibnu Mas"ud r.a. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik manusia ialah kurunku (Zaman Nabi) kemudian zaman mereka yang datang sesudahnya (zaman Sahabat) kemudian zaman mereka yang sesudahnya (zaman Tabien) dan sesudah itu datanglah zaman orang yang suka memperlambangkan kebohongan dan janganlah kamu bergantung kepada perkataan dan perbuatan mereka. (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Dalam menimbang untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis berpandukan Fatwanya itu atas dasar-dasar yang di bawah ini mengikut keutamaan seperti berikut:
- Al-Quran al-Karim.
- Hadis Sahih.
- Ijma"Sahabat.
- Fatwa Sahabat yang lebih hampir kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
- Hadis Mursal dan Daif.
- Qiyas ketika darurat.
- Mashalih al-Mursalah.
- Saddu Zarai".
- Istihsan dan Istishab.
- U"ruf.
- Qawaid Fiqhiah.
Comments
Post a Comment