Sifat tawaduk benteng perasaan riak, sombong

Oleh Mohd Adid Ab Rahman



UMAT Islam perlu sentiasa mengemaskinikan diri dan hati ke arah kecemerlangan dari semasa ke semasa supaya akan akan menjadi insan disegani, dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah.

Selain itu, perasaan ingin cemerlang melahirkan watak yang Islami seterusnya menjadi daya penarik bagi pandangan orang bukan Islam dan watak itu mampu menterjemahkan keindahan ajaran Islam.


Orang Islam yang ada keinsafan tinggi, iman teguh, akan menerima apa saja ketetapan Allah ke atas dirinya baik berbentuk kebahagiaan, mahupun berbentuk kedukaan dan mematuhi setiap hukum serta peraturan dengan penuh rela, pasrah tanpa sedikitpun melahirkan tindakan untuk menentang, memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai ‘tawaduk’.

Tentu sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintah-Nya, jika semua itu tidak bersesuaian dengan nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya.


Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)


Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.

Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka Jahanam seperti keterangan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bersifat sombong dan tidak patuh kepada-Ku akan diazabkan di dalam neraka Jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Selain itu orang yang bersikap zalim (aniaya) terhadap orang lain kerana semata-mata ingin melempias sifat sombong atau menunjukkan kehebatan, maka Allah akan menyegerakan balasan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali kekeluargaan (persaudaraan).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak Muslim sejati, maka adalah sangat bertepatan jika merenungi sabda Rasulullah SAW dengan penuh yakin dan keimanan yang tidak berbelah bagi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak mengurangkan harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran (kehebatan) seseorang yang minta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menyatakan ada tiga perkara sering kali diabaikan oleh orang bodoh, sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:

# Bersedekah – orang yang bersedekah tidak pernah dikurangkan hartanya, bahkan ditambahkan lagi oleh nikmat-Nya bagi orang yang mahu bersyukur.

# Minta maaf kerana bersalah – orang yang sombong menganggap minta maaf menandakan kelemahan lalu lebih baik meneruskan perkelahian daripada berdamai. Padahal, meminta maaf tandanya orang yang tawaduk dan suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.

# Menerima kenyataan kebenaran – harga diri seseorang tidak akan jadi rendah dan hina bila bertawaduk. Bagi orang yang sombong, tidak mahu menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk mengakui dan mengiktiraf kebenaran itu. Lihat saja kelakuan Rasulullah SAW, menerima apa saja bentuk pemberian tanpa sedikitpun rasa tidak puas hati.

Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat yang disebutkan itu, semuanya mencerminkan akhlak mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam dan selalu diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kurang, tidak berharga dan kurang harta. Tawaduk sebenarnya berasa sedar, insaf bahawa diri kita berasal dari tanah yang sama kecuali amal bakti dan takwa yang membezakan.

http://nurjeehan.hadithuna.com

Comments

Popular posts from this blog