Kemurnian Cinta Kesucian Agama


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Sesungguhnya fitrah manusia itu diciptakan oleh Allah SWT secara berpasang-pasangan. Sebab itulah dikalangan manusia terdapat lelaki dan perempuan yang diciptakan demi menguji siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang meraikan fitrah ini ke arah jalan yang diredhoi Allah SWT.

Firman Allah SWT
يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menciptakan kejadian diri kamu daripada jiwa yang satu kemudian Dia menciptakan daripada jiwa tersebut akan pasangannya". (Surah An-Nisak : Ayat 1 )

Allah SWT mencipta sistem yang ada di dalam jasad manusia dengan disertakan buku panduan agar sistem yang tercipta ini tidak celaru dan rosak serta ia memberi manfaat kepada orang lain.

Buku panduan yang disertakan oleh Allah SWT itu bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Panduan rujukan yang saya maksudkan tadi adalah agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, seseorang akan memperoleh kejayaan dalam hidup sekiranya dia menjadikan agama Islam sebagai tatacara kehidupan. Berlainan pula dengan golongan yang menjadikan cara dan gaya 'Barat' sebagai cara hidup. Mereka pasti akan merana dan menyesal dengan tindakan memilih jalan tersebut akibat mengikut dorongan hawa nafsu.


Seorang sahabat besar Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata dan memesan kepada para sahabat yang lain.
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فإن ابتغينا العزة غيره أذلنا الله

"Kita adalah satu kaum, dimana Allah SWT telah mengagungkan kita dengan agama Islam. Maka barangsiapa yang mencari keagungan dan keizzahan selain daripada agama Islam, Allah SWT pasti akan mencela orang-orang tersebut"

Maka jelas di sini bahawa orang-orang yang menghalakan fitrah kejadian dirinya mengikut garis panduan Islam, pasti akan menemui kejayaan serta kecemerlangan di dunia dan akhirat.

CINTA merupakan fitrah kejadian manusia yang tidak boleh dinafikan. Orang yang menolak cinta bermaksud telah menolak fitrah kejadiannya. Sebab itulah Islam mengajar umatnya cara memandu cinta kearah kebenaran.

Dan inilah yang saya maksudkan dengan KEMURNIAN CINTA. Iaitu cinta yang mengikut garis panduan syarak serta jauh daripada berlakunya fitnah dan dosa.

Mungkin suatu hari nanti saya akan hurai berkenaan cinta di dalam Islam kerana cinta yang sejati akan lahir selepas diijab kabulkan. Cinta yang lahir kerana melaksanakan perjuangan Islam.

Hakikat suasana masyarakat Malaysia kini cukup membimbangkan. Terutamanya suasana di
kalangan mahasiswa dan remaja yang membesar tanpa pembinaan peribadi yang mengikut tatacara Islam.

Mereka ingin bercinta dan saling meluahkan perasaan. Tetapi apabila tindakan tersebut tidak mengikut cara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, ia memburukkan keadaan dan masa depan remaja kini.

Sebagai contoh, saya agak terkejut dengan 'trend' remaja kini yang semakin hilang rasa malu walaupun berada dikhalayak ramai. Budaya 'Tak Malu' ini tidak pernah saya temui sepanjang pengajian saya di Mesir.

'Trend' pasangan couple yang mengambil kesempatan berpelukan mesra dalam keretapi Komuter sepanjang perjalanan saya di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini kali pertama saya melihat 'trend' tersebut di hadapan mata saya sendiri. Terdapat 7 pasangan dalam gerabak yang saya naiki melakukan lagak tersebut dengan penuh bangga dan riak.

Cukuplah dengan pengalaman yang saya alami ini membenarkan apa yang saya baca melalui laman web berkenaan tahap sosial remaja yang berlaku di Malaysia.

Suasana inilah yang bakal meruntuhkan masa depan negara Malaysia dan masyarakat Melayu kelak. Melayu yang tidak mengikut tatacara Islam pasti akan menemui kecelakaan dan zaman gelap di masa hadapan.

Bangkitlah wahai mahasiswa-mahasiswi Islam sekalian. Marilah sama-sama kita bekerja bersama gerakan Islam bagi meninggikan kalimah Allah SWT serta meruntuhkan gejala yang bakal menghanyutkan jatidiri dan integriti sabagai seorang pamuda Islam.

Apabila kita meneliti teori peringkat kerja-kerja dakwah yang disusun atur oleh Tokoh Gerakan Islam Dunia iaitu As-Syahid Hasan Al-Banna hasil daripada kajian tentang sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati terdapat 7 peringkat gerak kerja yang perlu kita lakukan sedikit demi sedikit.

1) Pembinaan peribadi Muslim (Fardul Muslim)
2) Pembinaan rumah tangga Muslim (Baitul Muslim)
3) Pembinaan masyarakat Muslim (Mujtamak Muslim)
4) Pembebasan negara daripada jajahan (Tahrirul Watan)
5) Pembinaan negara Islam (Daulah Islamiyah)
6) Pembinaan dunia pemerintah Islam (Khialafah Islamiyah)
7) Islam sebagai panduan seluruh dunia (Ustaziyatul 'Alam)

Islam tidak mengajar umatnya untuk berdakwah secara berseorangan, tetapi perlaksanaan tersebut memerlukan kepada kesatuan fikrah dan keselarasan gerak kerja. Inilah yang disebut sebagai SATU FIKRAH SATU AMAL.

Semoga dengan keikhlasan kita melibatkan diri dengan gerakan Islam akan menjadikan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam yang cemerlang di dunia dan akhirat. Dan inilah yang saya maksudkan dengan
KESUCIAN AGAMA.

 http://shahrizanhazime.blogspot.com/2011/03/kemurnian-cinta-kesucian-agama.html

Comments

Popular posts from this blog