PTD perlu bekerja lebih bermaruah: Luahan seorang Pembaca BH (DITERBITKAN SEMULA)

Penyakit segelintir PTD. Sebelum parah perlulah kita ubati. Sila ikuti luahan rasa seorang yang bernama IZA (nama samaran).

Biarpun pedih tapi itulah hakikatnya. Pegawai tinggi kerajaan khususnya Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) harus bekerja dengan lebih bermaruah. Penyusunan semula organisasi kerajaan dengan wujudnya kementerian baru, nyata pemerintah mahukan perkhidmatan yang lebih efisien. Saya dapat rasakan haluan yang ingin dibawakan oleh Perdana Menteri dengan moto bekerjalah bersama-sama beliau. Tetapi yang nyata pegawai tinggi kerajaan begitu sinonim dengan moto `bekerjalah untuk saya'. Semakin besar pangkat dimiliki, maka pegawai bawahan perlu lebih menjulang kedudukan mereka.

Apa yang parah, semakin dekat hari bersara semakin tidak dihiraukan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul. Kalau sesebuah organisasi kerajaan pincang, patutkah kita persalahkan kerani, pembantu am rendah atau jurutaip yakni kumpulan sokongan? Adakah mereka mempunyai peranan yang besar dalam menentukan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan lebih berkesan. Sudah tentu kita tahu jawapannya `tidak'. Orang yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menggerakkan sesuatu organisasi kerajaan ialah ketua yang terdiri dari kalangan PTD.

Kami kumpulan sokongan hanya membantu menjalankan tugas berdasarkan arahan. Sejak kebelakangan ini saya merasa begitu muak dengan kerenah PTD. Saya pernah bekerja dengan seorang ketua wanita yang begitu kreatif, bijak merangka hala tuju organisasi dan kehendak pelanggan, sama-sama turun padang menyelami masalah yang dihadapi oleh kakitangan, menangani masalah dan memastikan masalah yang sama tidak akan berulang, bijak berkomunikasi dengan kakitangan dan paling penting pantas dalam membuat keputusan.

Malangnya ketua begini tidak banyak dalam perkhidmatan awam. Sewaktu bekerja dengan beliau, saya rasakan pejabat suatu tempat yang meriangkan untuk dituju. Bekerja hingga lewat malam atau pada hari minggu tiada masalah. Bagaimanapun kenikmatan bekerja hilang kerana PTD yang menggantikan tempat beliau mempunyai sikap yang berlawanan. Bukan saya sahaja yang mengalami masalah demikian, malah rakan-rakan yang lain juga sering mengeluh dengan sikap PTD yang malas bekerja tetapi hanya tahu menjaga status diri hinggakan tujuan asal datang ke pejabat diabaikan.

Antara sikap yang memualkan ialah:
1. Lembap membuat sesuatu keputusan.
2. Tidak kreatif sebaliknya sering menimbulkan kerenah birokrasi.
3. Tidak tahu selok-belok tugas yang dilaksanakan oleh kakitangan bawahan.
4. Lebih suka mengarah dan menyerahkan tugas kepada pegawai bawahan yang sepatutnya di bawah tanggungjawab mereka.
5. Sering memberi perhatian kepada hal remeh-temeh.
6. Kurang menghadiri kursus-kursus penting yang diadakan di sekitar pejabat, sebaliknya lebih gemar menghadiri kursus yang dibuat di pusat-pusat peranginan.
7. Mahu diri diraikan oleh kakitangan secara berlebihan malah bersikap tinggi diri jika bertemu kakitangan bawahan.
8. Tidak pernah menyalahkan diri sendiri jika membuat kesilapan malah jika kesilapan dibuat oleh kakitangan bawahan, maka cacian akan dilemparkan sewenang-wenangnya.
9. Kurang minat bekerja apatah lagi hari bersara semakin dekat.
10. Membuang masa dengan meleter perkara yang bukan-bukan.

Rata-rata masalah yang diutarakan seperti kelewatan memproses permohonan, perkhidmatan kaunter yang tidak memuaskan, kesilapan dalam menjalankan tugas dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap seseorang ketua yang kurang bijak mengendalikan organisasi. Kita mengharapkan perkhidmatan bertaraf dunia, tetapi kita masih dinaungi oleh ketua yang malas. Golongan PTD patut bekerja bersesuaian dengan imbuhan yang dinikmati. Kalau Perdana Menteri mengaku beliau adalah hamba nombor satu negara, apatah PTD yang hanya seorang pegawai kerajaan. Saya cadangkan diwujudkan badan bebas untuk menangani masalah ini umpamanya menyediakan talian khas aduan, mengesan kepincangan sesuatu organisasi melalui permohonan pertukaran oleh pegawai bawahan yang kerap dilakukan di sesuatu pejabat, mengadakan sistem penilaian prestasi kerja terhadap seseorang ketua oleh kakitangan bawahan dan mengadakan sesi kaunseling kepada pegawai yang dilaporkan bermasalah. Kepada ketua yang berkhidmat dengan cemerlang, syabas diucapkan. Kepada ketua-ketua yang merasakan masih sayangkan kerusi yang diduduki, cubalah sekurang-kurangnya hayati Tonggak 12. Paling tidak, buatlah keputusan bijak iaitu bersara awal supaya tidak menyusahkan orang lain yang betul-betul berniat mencari rezeki halal.

- IZA MOHAMAD, Kuala Lumpur.

 http://myjusa.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog