Khutbah Jumaat : "Bedtime Story"


"Assalamualaikum sayang. Abang tak sempat balik rumah. Abang singgah dekat masjid dulu. Sembahyang jumaat. Sayang makan dengan anak-anak dulu ye." Mokhtar menaip mesej kepada isterinya, Khairunnisa.

Seketika kemudian, *1 message received*

"Waalaikumussalam. Ok abang, bawak kereta elok-elok ye." Balas Khairunnisa. Ringkas.

Kereta Honda Civic, dipandu Mokhtar. Cermat dan berhemah pemanduannya. 10 minit kemudian, Masjid Batu Permai tersergam dihadapannya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"
(Surah Al-Jumu'ah ayat 9)

"Haa, dah azan kedua rupanya. Alhamdulillah, sempat lagi dengar khutbah ni", Mokhtar bermonolog sendirian.

Jemaah di masjid itu tidak terlalu ramai. Tidak sesak. Mungkin sahaja kerana kedudukannya yang tidak begitu strategik. Selesai sudah Mokhtar mengambil wuduk, khutbah pun dimulakan.

Mokhtar memerhatikan sekeliling. Dia mengerutkan dahinya, sambil mengetap bibir. Ramai jemaah yang sedang khusyuk memandang lantai.

"Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.............." Khatib membacakan khutbah. Lesu penyampaiannya. Tidak bertenaga.

Terdetik dalam hati Mokhtar, "hmm, tak hairanlah, masjid jadi tempat tidur je, penyampaian khutbah pula, subhanallah."

Sengaja saya datangkan kisah seperti di atas, agar kita sama-sama berfikir. Mungkin juga kita sendiri pernah mengalami situasi sedemikian. Bagi yang menyedarinya, Alhamdulillah. Bagi yang sekadar acuh, moga sama-sama kita memperbaikinya. InsyaAllah~

 Ambil Peluang Sebaiknya

Perkara sebegini sering sahaja berlaku. Tidak dinafikan, waktu khutbah jumaat adalah antara waktu yang begitu menjadi pilihan untuk tidur, tidak kira golongan muda atau tua.

Sembahyang jumaat adalah antara waktu muslimin akan berkumpul bersama-sama untuk berjemaah. Tidak dilakukan berseorangan. Waktu inilah latihan bagi golongan lelaki yang liat ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah, akan turut sama berkumpul di masjid. Mungkin sahaja akan pergi ke masjid seminggu sekali, itupun hanya pada waktu sembahyang jumaat.

Seharusnya menjadi inisiatif para khatib untuk menyampaikan teks khutbah dengan lebih bertenaga. Malah, gunakan intonasi dan gaya bahasa badan yang lebih menonjol, agar suasana di dalam masjid tidak menjadi hambar.

Bagaimana ingin menarik minat golongan yang jarang hadir ke surau, sekiranya peluang sebegini tidak digunakan sebaiknya? Sudahlah mereka hadir ke masjid seminggu sekali, disajikan pula dengan khutbah dan tazkirah yang begitu hambar. Sebaiknya, inilah masa yang terbaik, untuk memberi kesedaran kepada mereka agar mengamalkan cara hidup Islam yang lebih sempurna. Dakwah secara berhikmah dan berhemah, bukan sekadar membaca teks semata-mata.

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah n-Nahl ayat 125)

Sampaikanlah khutbah dengan lebih bersemangat, agar terkesan di hati-hati jemaah yang hadir untuk solat jumaat. Bukan hanya pulang dengan hati yang kosong. Tiada perubahan.

Sungguhpun begitu, tidak boleh salahkan khatib semata-mata. Kita juga perlu mempunyai kesedaran sendiri. Sudahlah jarang datang ke masjid, inikan pula jarang menghadiri majlis ilmu atau ceramah. Sebaiknya, sedarlah diri. Mungkin sahaja kita hanya mendengar khutbah atau tazkirah, seminggu sekali. Itupun ketika sembahyang jumaat. Patutkah kita tidur? Fikir-fikirkan.
- Artikel iluvislam.comhttp://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/5089-khutbah-jumaat--bedtime-story.html

Comments

Popular posts from this blog