Bagaimana cara berzikir ketika sibuk bekerja?
Zikir
ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya.
Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya
disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.
Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli
ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap
hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa
hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ.
Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada
seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun
bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan
sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu
dilakukannya setiap hari.”
Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak
pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain.
Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan
jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan
binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna.
Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang.
Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi
manusia sibuk melupakan Allah SWT.
Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya: ”Bekerjalah
kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan
melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang
Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya
kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli
keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering
timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan
para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat
bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi
kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika
datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian
tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah
seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya
sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai
Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat
yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami
mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya
tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu
terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana
kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah
naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda
menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu;
Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar.
Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di
sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata
kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat
pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya,
Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan
yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad
dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan
amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih
baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal
leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat
menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau
menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan
bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan.
Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk
supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala
berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada
Allah.”
Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan
dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah
seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar
motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua
rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang,
saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk
memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia
akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja
dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini
telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!
drjuandahttp://www.islamituindah.my/bagaimana-cara-berzikir-ketika-sibuk-bekerja
Comments
Post a Comment