MUSA AS MEMBERONTAK TERHADAP FIRAUN
1
2
3
4
Firman Allah : al-Araf 104, 105
Dan ujar Musa : Sesungguhnya saya adalah utusan daripada Allah Tuhan semesta alam, Sudah semestinya saya tidak harus mengatakan dengan menggunakan nama Allah sesuatu yang benar. Saya telah membawa kepada kamu keterangan yang jelas daripada Tuhan kamu. Oleh itu bebaskanlah kaum Bani Israil pergi bersama saya.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Nabi Musa telah mencabar Firaun dan kuncu-kuncunya dengan mengemukakan hakikat Aqidah Islam yang tunggal yang dikemukakan oleh setiap nabi sebelum atau selepasnya untuk mencabar aqidah-aqidah Jahiliyah yang karut. Beliau mencabar Firaun dengan hakikat aqidah ini sedangkan beliau sedar bahawa aqidah ini merupakan suatu pemberontakan terhadap Firaun, terhadap para pembesarnya, terhadap kerajaan dan sistem pemerintahannya kerana konsep Rububiyah Allah terhadap seluruh alam dari awal-awal lagi bererti memansukh dan membatalkan legaliti mana-mana undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pemerintahan yang lain daripada syariat Allah dan perintah –Nya, juga membawa erti mengenyahkan setiap Taghut daripada memperhambakan manusia kepada kekuasaannya dan menundukkan mereka kepada undang-undang dan perintah yang lain daripada Allah. Beliau mencabar Firaun dengan hakikat yang besar ini dengan sifatnya sebagai utusan daripada Tuhan semesta alam yang berkewajipan dan dipastikan supaya mengatakan sesuatu hakikat yang benar atas nama Allah yang mengutuskannya.

Perisytiharan konsep Rububiyah Allah yang merangkumi semesta alam itu sendiri merupakan perisytiharan pembebasan manusia, iaitu pembebasan daripada tunduk, patuh, mengikut dan mengabdikan diri kepada yang lain daripada Allah, juga pembebasan daripada peraturan dan undang-undang manusia, pembebasan daripada hawa nafsu, pembebasan daripada tradisi-tradisi manusia dan daripada pemerintahan manusia.

Pengumuman konsep Rububiyah Allah yang merangkumi semesta alam itu tidak boleh berkumpul dengan amalan seseorang yang tunduk kepada yang lain daripada Allah dan tidak pula boleh berkumpul dengan kuasa Hakimiyah seseorang yang mengamalkan undang-undang daripada ciptaannya sendiri. Orang-orang yang membanggakan diri mereka sebagai orang-orang Islam yang sebenar, sedangkan mereka tunduk kepada undang-undang ciptaan manusia – yakni tunduk kepada Rububiyah yang lain daripada Rububiyah Allah – adalah salah dan meleset jika mereka fikirkan diri mereka sebagai kaum Muslimin yang tulen! Sebenarnya mereka tidak berada di dalam agama Allah yang sebenar, kerana pemerintah mereka bukan Allah dan undang-undang yang dijunjung mereka bukannya syariat Allah. Malah mereka berada dalam agama pemerintah mereka, malah mereka berada dalam agama pemerintah itu bukan dalam agama Allah yang benar.
 
Wan Solehah Al-Halbani
 

Comments

Popular posts from this blog