Dosa: urusanku dengan Tuhanku


 
Assalamualaikum... apabila bait-bait tazkirah disampaikan, ataupun kata-kata nasihat keislaman diutarakan, hati-hati manusia yang mendengar akan mula memberi reaksi. Ada yang menerima dengan terbuka sambil melihat kesilapan yang perlu diperbaiki dan diperhalusi. ada yang menerimanya dengan jiwa yang tiada perasaan. biar berbuih mulut memberi tazkirah, jiwanya tetap tiada perasaan. namun ada segelintir manusia yang hatinya panas membara, sempit dadanya, sesak nafasnya, menyampah pun ada: lantas dijawab :" apa yang kamu susahkan, dosaku itu urusanku dengan tuhanku. usah kamu masuk campur urusan diriku. diriku masih belum sampai seru! jaga dirimu dahulu. jangan-jangan dahulu, dirimu lebih teruk dari diriku!"

benar, ada manusia memandang remeh persoalan dosa. baginya dosa itu mudah diampuni Tuhannya. bukankah Allah itu Maha Pengampun? lagipun, kata-kata guru agama, walaupun dosa sebesar lautan, keampunan Allah lebih besar... dan benar, memang Allah Maha Pengampun, namun adakah kita pasti kita sempat memohon ampun?

teringat kata sang guru: "maksiat ini keasyikan bagi ahlinya.. dosa ini memabukkan bagi pelakunya.. jika sesuatu itu keasyikan... jika sesuatu yang memabukkan... adakah mudah bagi pelakunya untuk disedarkan? kerana asyik merindukan bulan, pungguk lupa berlalunya malam. kerana mabuk laila majnun lupa hakikat kehidupan.. dan adakah kita rasa terlalu mudah untuk tersedar dari keasyikan dan kemabukkan?"

"ahli maksiat ini benar-benar seperti orang yang mabuk yang baru pulang dari pesta. lalu, dijumpai longkang yang kotor, yang dipenuhi dengan ular dan kala jengking berbisa. lantaran mabuknya, disangka longkang itu sungai yang indah yang jernih airnya. lantas dia terjun ke dalam longkang tersebut. adakah kamu menyangka dia akan terselamat? sudah tentu pada akal kita dia tidak akan selamat. namun apabila kita cuba menyelamatkannya, dia akan menepis tangan kita. katanya, jangan disekat aku, aku ingin menikmati suasana yang indah ini! sedangkan di kala dia terjun ke dalam longkang itu, maut sudah menanti kedatangannya..." jelas sang guru lagi.

benar sahabatku... andai terlalu asyik bergelumang dosa, dirisaukan tak sempat bertaubat di hujung nyawa. mungkin terlalu asyik, sehingga tidak sedar kedatangan malaikat maut di pintu jendela. andai nyawa disentap, di waktu itu selautan taubat sudah tidak bermakna. ditambah dengan bau busuk bangkai di waktu sakaratul maut menjelang tiba. apakah di waktu itu kita masih boleh berkata: nanti sekejap wahai malaikat maut! jangan kasar manyentap nyawaku kerana dosaku itu urusanku dengan Tuhanku dan bukannya urusanmu...


nukilan:
ustazshafiee
seberang takir
http://ustazshafiee.blogspot.com/?expref=next-blog

Comments

Popular posts from this blog