Menangislah...

 
 
 
‎:: Aku Ingin Menangis Ya Allah ::

Bila engkau merasa letih dan hilang semangat, Allah tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan dan hatimu duka, Allah telah mengira titis air matamu, bila engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, Allah tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan akal, maka Allah adalah petunjuk jalan. Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.

Percayakah hati kita begitu keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air bertubi-tubi lama-lama akan berbekas jua. Melihat orang menangis membuatkan kita juga menangis. Tetapi berkesankah di hati? Mungkin sebentar cuma. Hakikatnya, ia tidak meninggalkan sebarang kesan di hati. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan tetapi hati yang dibekukan. Beku dan begitu keras untuk merasakan amaran Allah dalam AlQuran yang mengancam, beku untuk merasakan cinta dan kasih sayang Allah dan RasulNya. Hati ini belum pernah merasa apa itu cinta sebenar dan hakiki kerana ia telah terkunci rapat untuk merasakan cinta itu.

Bekunya air mata dari kerasnya hati... kerasnya hati dari banyaknya dosa... banyaknya dosa kerana lupakan mati... lupanya mati kerana terlalu cintakan dunia..

Ya Allah.. jika hati kami ini keras dan beku.. maka engkau cairkanlah dan lembutkanlah Ya Allah... selembut cahaya sang rembulanMu.. sucikanlah hati kami sesuci hati pesuruhMu Ya Allah.. terangilah hati kami seperti cahaya mentari Mu Ya Allah..

“Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup dan mereka akan mendapar azab yang amat berat” ( Al-Baqarah: Ayat 7)

Mengapa ini boleh berlaku? Ianya membeku dan terkunci. Kerana apa ? Noda-noda hitam telah meliputinya. Noda-noda hitam yang berbekas kerana maksiat-maksiat yang telah dilakukan. Dengan hati ini, bagaimana kita dapat merasakan setiap kasih yang dilimpahkan Allah kepada kita? Hati ini sememangnya layak diganti baru. Ingatlah sahabat, jika hati itu elok, eloklah keseluruhannya, jika rosak hati itu, rosaklah keseluruhannya.

Firman Allah :
"Sekiranya hatimu rosak, jangan bazirkan masamu untuk berdoa agar Allah perbaiki hatimu, sebaliknya berdoalah agar Allah tukarkan hatimu dengan hati yang baru"
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta”
( Al – Baqarah : Ayat 10)

"Seringkali dirimu diminta untuk taat tetapi hatimu sentiasa merasa berat kerana memang tidak mencintai ketaatan. Kerana itu, yang pertama kali harus kamu lakukan adalah mengubati kalbumu. Apabila telah sembuh, nikmat cinta pun akan datang dengan sendirinya. Manisnya maksiat yang dulu dirasakan akan ditemukan pada ketaatan."

Jika seseorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis kerana takut kepada kekuasaan Nya... justeru menangislah kerana ketidakmampuan itu
Namun, di satu ketika, Allah menurunkan pelbagai musibah sebagai ujian yang disebaliknya terkandung hikmah. Di kala ini, airmatalah menjadi rencah dalam kehidupan bagi mencari secebis ketabahan. Mudah saja air mata menitis gugur ke bumi kerana merasakan kekacauan dan keresahan hati yang tak menentu. Kita hanya mampu mengalirkan air mata lebih-lebih lagi apabila bersendirian di tengah malam. Allah itu Maha Mengetahui hamba-hambaNya. Hati ini cair dan lebur.

Tersangatlah hebat musibah yang diturunkan Allah sehingga hati yang membeku selama ini cair dan dilimpahi tangisan. Tangisan yang kadang kala tidak menentu. Sedih mengingatkan kehidupan yang semakin kelam dan tenggelam. Sedih mengingatkan cinta yang tak kesampaian. Sedih mengingatkan hari-hari mendatang yang tidak dapat ditafsirkan.

Namun, tangisan itu adalah keduniaan cuma. Hati ini lupa dan lalai. Dunia itu kan hancur. Dunia itu kan binasa!! Tanyalah pada diri, untuk apa dan untuk siapakah titis air mata ini? Sesungguhnya titisan air mata itu harus kerana Allah. Ingatlah, tangisan untuk dunia tiada nilainya di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah. Allah SWT berseru, “ Dimanakah hamba-hambaKu yang menangis?” Lalu Allah SWT memerintahkan para MalaikatNya supaya membawa hamba-hambaNya yang menangis di siang hari lebih-lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.

Jauhnya pemahaman kita untuk menilai erti sebuah tangisan yang hakiki. Tiada air mata yang mampu menenangkan jiwa kecuali air mata taubat... akan masuk seseorang ke syurga tanpa hisab kerana mengangis mengingatkan dosa yang telah diperbuatkannya...
Harus kita fahami kini hikmah-hikmah di sebalik musibah yang menimpa diri. Allah menginginkan hati yang beku ini menjadi lembut dan dibasahi dengan titisan air mata ketakutan kepadaNya.

Namun, tidak sekali-kali dibiarkan kita lemas. Lemas dalam gelombang dan ombak tangisan dunia. Allah kurniakan sahabat untuk saling memperingati di saat kita lemah walaupun banyaknya dosa yang telah ditaburkan. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hambaNya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.

Ke mana telah tumpahnya air mata kita? Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang membuih seperti di lautan sedangkan amal tidak bertambah? Atau di depan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak air mata kita yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak harganya disisi Allah SWT.

Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya padaNya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.

Nabi Nuh a.s dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat..

Ya Allah jika air mata kami kering... maka engkau perbanyakkanlah dan bekalkanlah sebanyaknya Ya Allah.. moga kami dapat tangisi kerana mengenangkan dosa-dosa yang teramat banyak dan keji.. permudahkan bagi mata dan hati kami untuk menangis kerana cinta dan takut kepada Mu Ya Allah.. biarlah sehingga keluarnya air mata darah sekalipun disebabkan mendamba cinta Mu kerana ingin syahid di jalanMu dan ingin memburu kasihMu supaya mencapai syurga Mu Ya Allah...

Dicelah-celah kegersangan kalbu, suburkan ia dengan tangisan menghadap Ilahi. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar ianya tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana putus asa tetapi kerana Kasih dan Cinta. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang dan untuk itu, kita harus berusaha memperolehinya.

“Demi cinta Allah yang kami kejar, kuatkan hati kami untuk bertahan, berikan kami kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan pertolonganMu di saat kami hampir tewas... sinarkan nur hidayahMu untuk kami terus di jalanMu. Amin,Ya Allah..

~Ya Allah anugerahkanlah kami sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya padaMu, sungguh kami rindu pada tangisan menghadapMu~

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim... dengarkanlah rintihan hambaMu yang fakir lagi hina ini hanya tangisan taubat permula cinta kami kepadaMu Ya Allah

( pesanan untuk diri sendiri dan semua )

 ~~~~~~ Oleh Tinta Khalifah ~~~~~

Comments

Popular posts from this blog