Kerana Terlalu Sayang
Setiap yang bermula, pasti ada akhirnya. Setiap yang hitam, pasti ada putihnya. Setiap yang kabur, pasti ada jelasnya. Dan setiap yang benci, pasti ada sayangnya. Setiap yang sedih, pasti ada gembiranya. Begitulah, setiap yang hidup, pasti ada matinya.
Dulu, ketika dia hidup, baktinya berbuah rasa kasih. Dia penyeri kehidupan kita. Kadang-kadang, hanya dengan memandang wajahnya, kita merasakan tenang dan senang. Seolah-olah, diwajahnya itu ada nur yang menceriakan, ada jalan keluar setiap kebuntuan. Saat kita sedih, dia datang, tanpa berkata apa-apa dia mengusap kepala kita. Hanya dengan itu, kita sudah dibumbui ketenangan. Luka bertukar suka, pahit ditelan manis, dan segala derita hilang, hanya dengan senyuman di wajahnya.
Kita tahu, dia bakal pergi suatu hari nanti. Tapi, saban hari kita mendoakan, agar lebih baik jikalau kita yang pergi dahulu. Sungguh, kita tidak tegar kehilangannya, kerana kehilangan itu suatu penyiksaan. Bukan kita menghalang ketentuan Allah, tapi kerana terlalu sayang… terlalu sayang.
Sayang itulah ikatan kita dan dia, jika tidak, biar berjauhan sekalipun, kita tidak merasakan apa-apa. Tegarnya Allah ‘merampas’ kekasih kita, begitukah Allah, suka melihat kita berduka?
Tidak. Kita yang melihat diri sendiri, justeru jika kita yang berduka, maka kita yang menilai. Antara sayang kita kepada dia dan sayang Allah kepada dia, yang mana lebih bernilai? Sanggupkah kita bertanding dalam mengukur sayang kita dengan sayang Allah? Usahkan sanggup atau tidak, layak pun sudah tiada. Allah cuma cebiskan sifat sayang sesama hamba dengan kadar yang sedikit, itupun sudah meronta-ronta kehilangan, sedangkan, di sisi Allah, sayang itu lebih bermakna dan bernilai.
Biarlah, dan redhalah, disana ada Allah yang menjaganya. Ada mahligai untuknya, dan dia bakal menanti kita jua. Cuma masa sahaja yang menentu, samada, kita bakal menyusulnya cepat, atau lambat.
Adakah kehilangan dia lebih bermakna daripada kehilangan jati diri? Bersedihlah kerana kehilangan yang sementara itu, tapi usah memendam rasa terlalu lama. Usah berkabung macam puteri hilang takhta. Tapi, belajarlah untuk menerima hakikat. Itu satu ujian daripa Allah juga, kerana mungkin, hakikat yang lebih pahit dari itu bakal menyusul nanti. Bersedia untuk menerima, kerana hakikat adalah sesuatu yang amat pahit.
Doakan semoga rohnya bahagia di sana, bersama dengan mereka yang telah pergi, dan bersama dengan baktinya buat kita dahulu. Berdoalah agar penamat baginya ialah syurga yang tersergam indah itu, agar, dia bisa mempersiapkan sebuah mahligai untuk menyambut kehadiran kita kelak.
Utuskan salam alfatihah, sebagai peneman yang kita utus untuk menjaganya. Tapi, usah kita lupa, Allah sentiasa menjaganya. Kadang-kadang kesyukuran kita belum cukup atas segala nikmat dan anugerah yang Allah berikan. Sebab itulah, Dia mengambil kembali nikmat dan anugerah itu. Mungkin juga, kehilangannya menyebabkan kita lebih memahami erti tawakkal, justeru, itu satu lagi ujian buat kita.
Dia sudah pergi, bersama dengan kasih yang kita resmi. Segala kenangan kita dan dia di dunia, kita basmikan dengan satu doa. ‘Ya Allah, pelihara dia disana’.
Tidak wajar kita berbungkam, dengan langkisau yang menumpang. Kerana angin ribut bakal berakhir jua. Kata pepatah ‘kita tidak akan berpijak pada air yang sama di sungai, kerana ianya sudah mengalir pergi’. Usah diingatkan terlalu, apa yang telah berlalu. Dengan kehilangan dia, mungkin kita perlu lebih belajar untuk menghargai sesuatu atau seseorang.
Dalam diam, bermujahadahlah kita untuk menerima hakikat yang selalunya pahit. Dalam diam, berdoalah agar kita juga pergi menyusulnya suatu hari nanti. Cubalah, untuk belajar menerima kehilangan, kerana kehilangan bukanlah asing dalam kehidupan.
Bukan kita tidak sanggup, tapi kerana terlalu sayang. Bukan kerana tidak mampu menerima hakikat, tapi ikatan kita terlalu kuat. Kehilangannya mungkin membuatkan kita belajar untuk lebih bersyukur. Tiada apa yang kekal di dunia ini, itu hakikat yang harus kita terima.
Atau kita lebih terbelajar untuk tidak terlalu menyayangi, tidak terlalu mencintai. Kerana itu akan membuatkan kita hilang kualiti peribadi. Saat kehilangan, apa yang harus difikirkan lagi. Segerakan persiapan, tabahkan jiwa, dan runtunkan hati untuk lebih menerima.
Dahulu kita sudah memberikan sepenuhnya kasih kita kepada dia. Ikhlaskan semua itu. Kerana, jika kita ikhlas memberi, mengapa kita takut untuk tidak menerima? Apa yang berlaku, semuanya bermakna untuk sesuatu, sesuatu keikhlasan. Lihatlah, Allah bukan ingin menghancurkan kasih dan sayang kita, tapi Allah ingin sayang kita pula, lebih dari sayang kita kepada dia dahulu.
Terimalah perpisahan dengan tenang. Kerana itu lumrah kehidupan. Biarpun pahit, semuanya satu suratan.
Sahabat, bersedihlah untuk kita yang belum tentu bagaimana akhirnya kita.
By: Hafizul Faiz
http://www.islamituindah.my
Comments
Post a Comment