Komunikasi Adalah Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga
“Macammana mengajar hari ini? Ada kisah baru?”
“Erm, hari ini ayang kena mengajar budak-budak peralihan. Mengajar pendidikan moral.”
“Jadinya kena mengajar pelajar Cina dan Indialah ye?”
“Ye.”
“Budak-budak peralihan comel sangat. Perangai macam budak sekolah rendah.”
“Mereka cakap, cikgu… cikgu, bila nak sambung cerita kisah Cinderella.”
Saya tersenyum mendengar cerita isteri. Setiap petang, saya akan mengambil isteri di sekolahnya. Kemudian kami akan berbual-bual pelbagai topik mengenai sekolah. Bermacam jenis cerita pelajar sekolah saya dengar hasil penceritaan isteri. Tak kurang juga dihidangkan dengan pelbagai masalah sosial yang dihadapi pelajar sekolah.
“Abang cuba tengok budak perempuan tu.”
“Mana? Mana?” Saya berpaling ke kiri dan kanan kereta sambil tangan setia memegang stereng.
“Belakang tadi.”
Lantas saya menoleh ke belakang dan memperlahankan kereta. Kereta baru saja melepasi pintu pagar sekolah. Kiri dan kanan kami dipenuhi bas sekolah, van dan kenderaan ibu bapa yang mengambil anak masing-masing.
“Oh, abang dah tengok. Kenapa?”
“Budak perempuan itulah yang ayang cakap dia buat kes pagi tadi. Baru tingkatan 2.”
“Ooo. Cuba cerita kesnya.” Saya membelok kereta ke kiri dan terus membuat pusingan U menuju ke arah Taman Pasir Putih.
“Akak-akak (Guru displin) panggil dia tanya. Ada kawannya beritahu kata dia bercouple dengan pelajar tingkatan empat. Siap bercium lagi. Bila tanya, tak mengaku bersalah.”
“Huh macam-macam.”
Itu antara kisah yang saya dengar. Dan setiap ruang masa yang ada, kami akan berbual pelbagai topik biarpun dalam sesebuah perjalanan. Memandangkan isteri saya akan mengajar di sekolah separuh hari, jadi waktu bersama saya agak singkat. Terasa janggal jika masing-masing menyepi diri tanpa berbual – melainkan jika ada yang merajuk.
Efek Kurang Komunikasi
“Selepas kahwin, dia selalu ambil cuti. Kemudian ada kawan serumah beritahu, dia kerap menangis – memendam rasa. Sedangkan mereka baru saja berkahwin.” Cerita isteri saya mengenai masalah rakan sekerjanya.
“Ish…”
“Dulu sebelum kahwin dia nampak lebih ceria.”
“Sepatutnya bila dah kahwin, lebih menenangkan jiwa. Lebih bahagia daripada sebelum kahwin. Kalau begitu, mesti ada masalah.” Balas saya bersahaja.
“Itulah. Kadang-kadang seorang duduk dalam bilik, seorang duduk luar tengok tv.” Saya mengerutkan dahi mendengar kisah tersebut.
“Itu masalah tiada komunikasi. Bila sesebuah perkahwinan itu tidak ada komunikasi, maka jadi sunyi dan mudah goyah. Kadang-kadang ada juga si suami seperti orang bujang perangainya. Maksudnya dia lebih senang berkongsi masalah dengan rakan-rakan di luar rumah berbanding berbual mesra dengan isteri. Lantas isteri rasa tersisih.”
Bagaimana sebuah keluarga yang baru setahun jagung dibina, tiba-tiba bergoyang bagai disentap ribut taufan. Habis segala harapan dan kebahagiaan. Tiada lagi suka, tetapi duka mengambil alih. Setiap hari diburu perasaan nestapa, berendam airmata dan menjeruk rasa. Sedangkan di awal perkahwinan, kita mengimpikan saat bahagia seusai lafaz sakinah diselimuti rasa bahagia berpanjangan, bahkan mahu hingga ke syurga. Tetapi kini seolah-olah rebah mengejut. Bagai diserang serangan jantung.
Nah, apakah resolusinya? Sebelum terus kepada topik perbincangan ini lebih lanjut. Apa kata kita baca pula luahan hati seorang isteri yang juga turut merintih lagi sedih mengenangkan nasib rumahtangga yang dibina berkocak. Dia mengirim emel tersebut kepada saya dan berharap saya memberikan sepatah dua pandangan.
Emel pertama kirimannya:
“Sejak saya melahirkan anak kedua, masa berpantang memang suami pun tak ambil kisah. Penjagaan berpantang, boleh dikatakan tak berpantang. Akibat kini, selalu sakit dan tak ada perasaan langsung pada suami. Makan minum kami di rumah lagsung sesen pun tidak diberikan. Suami hanya bayar sewa umah-bil, adakah saya berdosa…”
Emel kedua kirimannya:
“Duit makan minum saya dan anak-anak,suami tak bagi. Barang dapur dan keperluan harian, serta perubatan anak-anak pun saya yang tanggung. Dia hanya bayar sewa rumah dan bayar bil yang berkenaan sahaja. Dia juga mengatakan saya tidak memperdulikannya. Saya sudah jelaskan kepadanya, masalah kesihatan saya. Namun suami tidak peduli dan terus marah-marah dan sentiasa marah…”
Apa yang boleh anda perkatakan?
Tiada Musyawarah, Hilangnya Amanah, Terhakisnya Mawaddah
Islam sama sekali tidak membebankan manusia, tetapi seiring fitrah insani. Buktinya, Allah SWT menghalalkan hubungan antara dua jantina dengan perkahwinan setelah mengharamkan perzinaan. Maknanya, apabila dihalalkan Allah SWT, maka seiringnya tentu sekali ada manfaat dan keberkatan yang banyak. Kerana itu Allah SWT berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (ar-Rum: 21)
Oleh itu, Islam menggalakkan lelaki mahupun perempuan berkahwin bukan sahaja sebagai pendokong sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga sebagai membuktikan kekuasaan Allah SWT terhadap hambaNya. Sebab diciptakan manusia itu semenjak azali wujud padanya sifat berkasih sayang, mahu saling menyayangi dan menyintai. Maka, saluran yang betul hanyalah semata-mata dengan mengikat tali perkasihan melalui akad nikah sah.
Justeru, dalam perkahwinan wujud rasa kasih sayang, kasihan belas, cinta, mahabbah, amanah, sakinah, mawaddah dan ada rahmah. Jikalau perkara-perkara sebegitu tidak wujud di dalam sesebuah perkahwinan yang dibina, maknanya mesti ada ‘sesuatu’ yang menghalang mereka.
Ini kerana perkahwinan itu menjanjikan ketenangan, kebahagiaan, kematangan dan rasa bertanggungjawab. Jika perkara sebegitu tidak wujud, barangkali pasangan tersebut perlu muhasabah kembali. Di mana silap salahnya perhubungan mereka. Ini penting bagi memanjangkan jangka hayat usia perkahwinan.
Berbalik kepada masalah asal. Pokok pangkal, sebenarnya kita kurang bermusyawarah (berbincang) atau berkomunikasi bersama pasangan masing-masing. Sebab itulah muncul salah faham, syak wasangka, tiada persefahaman dan kerjasama. Misalnya dalam masalah pertama tadi, pasangan baru berkahwin tetapi bukan bahagia yang dapat tetapi duka. Kesalahannya bermula apabila si suami memendam rasa, berdiam diri, dan begitu juga si isteri. Kadangkala ada juga si isteri jenis peramah, banyak cakap. Bila bercerita kepada suami, si suami diam tanpa respon. Maka komunikasi sebegini kurang elok diamalkan, kerana boleh menyebabkan isteri kecewa.
Sebagai suami isteri, kita perlu setia mendengar pasangan kita bercerita. Biarpun isteri kita bercerita hal remeh-temeh, tetapi sebenarnya bagi dia seperti isu besar. Pemikiran seorang lelaki dan perempuan berbeza. Perempuan sifatnya suka bercerita hal ehwal sekeliling, isu tidak terlalu besar. Manakala lelaki suka berbual isu besar, dan luas skopnya. Oleh itu, suami isteri perlu bijak dalam mengimbangi perbualan. Sesekali tidak ada salahnya isteri mendengar lelaki berceramah, dan suami mendengar luahan cerita isteri.
Begitu juga dalam masalah keretakan rumahtangga kedua. Puncanya ialah apabila lelaki tiba-tiba menjadi pendiam sehingga tidak mengambil tahu hal keluarga, bahkan tidak ambil peduli langsung hal berpantang. Maka berlaku krisis di situ. Sebagai seorang lelaki, sewajarnya perlu berbincang apa masalahnya. Sekurang-kurangnya isteri dapat memahami isi hati dan masalah dialami. Membiarkan anak dan isteri tanpa bicara, itu seolah perbuatan menzalimi mereka. Setiap manusia ada masalahnya, tetapi setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya jika betul-betul kena cara.
Melarikan diri atau memencilkan diri adalah kesalahan dan menyalahi etika perkahwinan. Bahkan perbuatan memarahi isteri dengan suara yang kuat juga adalah perilaku akhlaq buruk. Lebih-lebih lagi jika di depan anak-anak. Ini boleh memberikan kesan negatif kepada masa depan mereka dan tumbesaran minda. Persepsi negatif pasti terhinggap di kepala anak-anak saat ibu mereka dimarahi ayah. Mungkin juga boleh berlaku rasa dendam kesumat pada ayah. Sebab anak-anak lebih cenderung merasa kasihan kepada ibu berbanding ayah.
Dan perbuatan isteri mencebik muka dan menunjukkan riak negatif kepada suami adalah dilarang di dalam agama. Isteri bijak tidak akan berterusan membiarkan suami berdiam diri. Isteri seharusnya perlu mencungkil sebab musabab mengapa suami bertindak sedemikian rupa. Mungkin ada perbuatan isteri yang mengguris hatinya. Buktinya, masa mula berkahwin dia boleh menyayangi isteri, berbual, melayan baik, memberi nafkah cukup dan sebagainya. Dan sudah tentu ada sesuatu perkara yang boleh menyebabkan dia tiba-tiba berubah. Cuba selidik, dan bawa berbincang. Jika tidak, rumahtangga itu bakal retak dan terbelah cepat.
Saya amat tertarik melihat gelagat suami isteri bangsa arab Mesir. Biarpun mereka telah berusia, mereka tidak segan silu berdua-duan di taman bunga, sambil berbual mesra seperti pasangan muda lepas berkahwin. Kadang-kadang, mereka membawa anak-anak mereka ke taman permainan dan berkelah sesama ahli keluarga. Bukan satu keluarga, tetapi ramai begitu. Mereka gemar berbual dan berkomunikasi. Jika ada masalah, mereka akan kongsikan bersama. Jangan disimpan berhari-hari, nanti jadi melarat berminggu-minggu.
Fenomena ini mudah dilihat pada musim panas. Sekitar taman bungan bandar Tanta penuh dengan ahli keluarga. Begitu juga di pesisir pantai Iskandariah, Baltiem, Matruh dan lain-lain tempat percutian. Jadi, alangkah baiknya jika kita kaum keluarga muslim di Malaysia juga begitu. Buangkan yang keruh, ambil yang jernih… Insha’Allah, membawa bahagia hingga ke syurga.
Ingat, komunikasi itu penting demi menyubur mawaddah! Dan pastinya kita bukan berkahwin dengan patung yang bisu tanpa bicara!
Pasir Gudang, Johor.
Comments
Post a Comment