BUAH2AN TRADISIONAL YANG SEMAKIN PUPUS




Buah Rambai & Buah Tampoi






buah-tampoi2
Sempat juga bertanya kepada makcik yang menjual buah tampoi tu, di mana dia mendapatkan buah tampoi tersebut. Katanya, orang dari Pangsun ( nama tempat yang terletak di kawasan Hulu Langat) yang hantar. Oleh kerana dah tanya, kena lah beli 2 ikat. Walau pun buah tidak berapa molek, dapat jugalah rasa buah tampoi bagi tahun ini. ( kali terakhir makan semasa di Bidor, hujung tahun 2009).


Tetapi sayang, sebab tidak sempat nak rasa buah rambai. Bukan apa, tidak berapa minat sangat ( sebenarnya malas nak turun beli). Sempat ambil gambar je la sebagai tatapan mata anda..
buah-rambai2
Kepada yang mengidam kedua-dua jenis buah ini, bolehlah pergi ke sana ( selagi stok masih ada). Mungkin di tempat anda buah tampoi ,  buah rambai atau buah-buah lain juga sedang berbuah. Di harap bolehlah dikongsikan di sini. Boleh saya mengadakan lawatan ke sana (kalau sempat la).

Buah Berembang

 
berembang-221

Pernah anda melihat buah ini? Buah ini digelar dengan nama buah berembang (Sonneratia alba) atau ada juga yang memanggilnya buah gedabus dan buah perepat. Pokok berembang ini selalunya tumbuh ditepi pantai dan tepi-tepi sungai yang ada air masin . Saya sendiri boleh pernah mencuba makan buah ini tetapi daripada rujukan, rasa buahnya masam. Cara makannya pula cuma cicah dengan garam atau kicap bercampur cili api dan sedikit gula.
buah-berembang31

Yang menariknya tentang buah ini ialah ianya mempunyai kaitan dengan permainan gasing. Ini kerana menurut sumber, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Dalam permainan buah berembang pula, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat, pemusingnya dianggap sebagai pemenang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan.
Begitulah serba sedikit tentang buah berembang. Mungkin anda pernah makan buah ini atau mengetahui khasiat lain buah berembang, di harap anda boleh kongsikannya di sini.

Buah Goncar

 
buah-goncar
Siapa biasa mendengar buah yang dikenali dengan nama Buah Goncar. Kalau orang sebelah utara menyebutnya buah Goncaq. Buahnya kecil dan sekali pandang seakan buah anggur. Rasanya pula masam-masam manis dan apabila masak ia bertukar bewarna merah. Menurut rujukan, di sesetengah tempat buahnya dibuat masak pedas.
buah-goncar2
Saya sendiri belum pernah rasa buah ini. Ada yang memberi komen buah ini juga ada dijumpai di kawasan paya bakau. Saya rasa pokok ini masih banyak terdapat dikampung-kampung. Mungkin anda boleh kongsikan sesuatu mengenai buah ini.

Buah Kerekup

 
kerekup
Saya ada menerima email dari kak Norish yang telah mengirimkan gambar buah kerekup. Tujuannya adalah untuk memberzakan antara buah rukam dan buah kerekup. Bukan apa, ada yang menyatakan buah rukam dan buah kerekup adalah buah sama. Daripada rujukan saya pun, memang buah rukam dan kerekup adalah spesis yang berbeza. Buah Kerekup nama saintifiknya Flacourtia jangomas manakala buah Rukam adalah Flacourtia rukam. Walau bagaimanapun, sekali pandang kedua-dua buah ini memang mengelirukan.
Daripada rujukan dipercayai air rebusan buah boleh diminum bagi merawat masalah hempedu atau hati, sakit kepala, mual dan makanan tidak hadam. Walau bagaimanapun, wanita yang mengandung tidak sesuai mengambil ubat herba buah kerekup atau terlalu banyak makan buah ini.
Walau apapun saya ucapkan terima kasih kepada pengirim gambar ini. Jika anda gambar yang bagus untuk dikongsi bersama. Bolehlah kirimkan kepada saya. Terutama tumbuhan yang jarang dijumpai atau dilihat. Tidak kiralah buah-buah nadir ataupun sayur-sayuran tradisional.

Gula Apong dari Pokok Nipah

nipah21
Pokok Nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di kawasan hutan bakau atau di tempat pasang surut dekat tepi laut. Daun pokok Nipah yang panjang dan lembut banyak digunakan masyarakat tempatan untuk membuat atap nipah dan digunakan dalam seni anyam-menganyam bakul dan jerami.
nipah
Jika Melaka terkenal dengan gula Melaka atau gula merah, Sarawak pula terkenal dengan gula apong, yang juga hampir menyerupai gula merah. Bezanya, gula melaka dihasil menggunakan nira pokok kelapa, sedangkan gula apong dihasilkan menggunaka nira nipah, yang sememangnya banyak di Sarawak.
gula-nipah1
Penggunaan gula apong oleh penduduk tempatan pula sangat popular sebagai bahan membuat pelbagai jenis kuih muih tradisional masyarakat Sarawak.  Antaranya ialah seperti kuih Celorot(gambar di bawah), kuih Keria, dan kuih Bongkol. Selain itu, ia juga sedap di campur dalam minuman cendol.


Oleh kerana proses menghasilkan gula apong agak rumit dan pengeluarannya dikatakan agak terhad, maka tidak hairanlah ianya dijual dengan harga yang tinggi.
gula-apong
Ada sesiapa orang Sarawak di sini yang biasa menggunakan gula apong, di harap bolehlah kongsikan sedikit cerita anda tentang gula apong.

Buah Rotan


buahrotan
Siapa pernah makan buah rotan? Buah Rotan merupakan sejenis buah yang jarang sekali didengari dan ia memang banyak di dalam hutan. Kepada yang biasa masuk hutan terutamanya abang-abang askar, sudah tentu mengenali pokok ini. Penulisan mengenai buah ini sememangnya amatlah kurang. Daripada maklumat yang ditemui, buah ini akan berwarna putih kuning apabila sudah masak. Saya tidak pasti, adakah buah rotan ini mempunyai pelbagai spesis. Anda perlu membuang kulit untuk mendapat isinya. Rasa buah ini dikatakan manis-manis kelat. Mungkin seperti rasa buah salak

Buah Sentul


buah-sentul
Kesempatan pulang ke kampung hari raya yang lalu, saya sempat berkunjung ke rumah makcik saya di Sg. Petani Kedah. Apa yang istimewanya? Saya bertuah kerana dapat  melihat buah sentul yang berbuah dengan lebat sekali. Semasa raya tahun lepas, pokok sentul ini langsung tidak berbunga atau berbuah. Tetapi tahun ini, buahnya lebat sehingga bertaburan di sana sini. Mengikut rujukan saya, pokok buah ini boleh berbuah 2 kali setahun.
buah-sentul2
Pokok sentul ini memang saya kenal sejak dari kecil lagi. Orang sana panggil buah “Stoi”. Buah ni bukan isinya sahaja boleh dimakan tetapi kulit luarnya juga boleh dimakan. Kenalah dibuang kulit luar dahulu kemudian dihiris dan dicicah dengan sambal kicap. Bau buah sentul wangi dan sememangnya boleh membuka selera.
buah-sentul3
Seronok melihat pokok sentul ini mengeluarkan buah yang banyak.  Mungkin lepas ini, pokok ini belum tentu berbuah lagi. Walaupun mengeluarkan buah yang banyak, tetapi sayang, ia terbuang begitu sahaja. Tiada siapa yang mengendahkannya.
buah-sentul4
Kulit buah sentul tebal dan sedikit liat. Kebiasaan buah sentul yang dijumpai di Malaysia adalah bewarna kuning, namun mengikut rujukan, terdapat juga sentul yang bewarna merah yang disebut kecapi. Adakah anda pernah ketemui sentul ini?

Buah Cermai


cermai
Cermai atau nama sainsnya Phyllanthus acidus merupakan salah satu buah yang biasa dijadikan jeruk. Sudah tentu ramai wanita di luar sana yang kecur air liur bila disebut tentang jeruk.
cermai2
Buahnya yang kekuningan menjadi tarikan sesiapa sahaja yang memandangnya. Namun, jika apabila dimakan sudah tentu anda mengerutkan dahi dek kerana rasa masamnya.

Asam Kandis


asam_kandis
Asam Kandis atau Garcinia xanthochymus merupakan pokok yang jarang dijumpai di Malaysia. Apa yang diketahui Asam Kandis adalah salah satu bahan yang seringkali ditambahkan dalam masakan sahaja.
Mungkin pokok ini ada di tempat anda. Harap anda maklumkan jika pokok ini masih ada di kawasan  anda. Selain anda juga boleh kongsikan kegunaan buah atau pokok ini kepada pembaca yang lain.
————————–Edited 1Dis—————-
asam-kandis
Saya ada mendapat email maklumbalas dari seorang pembaca yang menyatakan bahawa gambar saya sertakan mula-mula dahulu adalah bukan buah asam kandis sebaliknya buah asam kandis adalah seperti gambar di atas. Saiz buah adalah sebesar limau kasturi. (garispusat sebesar siling 20 sen).

Pokok Nam Nam


nam_nam
Pernah ke korang semua tengok pokok ini? Aku percaya pokok ini masih banyak di tanam di halaman rumah terutama di kawasan kampung. Ada artikel yang aku baca juga ia banyak terdapat di kawasan di sebelah utara dan pantai timur. Sejauh mana kebenaran itu aku tidak pasti. Walau bagaimanapun, pokok ini dahulu memang ada di tanam di kampung aku di Teluk Intan tetapi sekarang dah tak ada sebab sudah di tebang.
daun_nam_nam
Pokok Nam-nam atau nama saintifiknya Cynometra Cauliflora merupakan tumbuhan yang berbuah dipangkal pokok dan mempunyai  ketinggian kira-kira diantara 2.5 hingga 3 meter sahaja.
nam_nam2
Di sesetengah tempat ada juga orang yang mengelarkannya sebagai buah katak puru. Mungkin disebabkan kulitnya yang kurang menarik dan seperti kulit katak puru agaknya.. Buahnya pula mempunyai rasa masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak.
nam_nam3
Selain daripada makan begitu sahaja, saya sendiri tidak pasti apa lagi kegunaan pokok atau buah tumbuhan ini. Jika pokok ini terdapat di halaman rumah anda, harap dapat dikongsikan bersama.. Diharap anda beritahu di mana lokasi pokok ini jika ia terdapat di kawasan berhampiran anda..

Pucuk Midin


paku-midin
Midin atau nama saintifiknya Stenochlaena palustris adalah tumbuhan liar yang tumbuh di tanah dataran rendah dalam hutan sekunder dan tempat terbuka seperti kebun getah serta gemar menumpang pokok lain.
Tumbuhan ini juga antara tanaman semusim rizomatous dan epiphytic dengan akarnya mencengkam di tanah yang biasa didapati di kawasan paya gambut dan air tawar serta hutan belukar.
Pucuk paku yang lembut, berdaun atau tanpa daun terbuka digunakan sebagai sayur atau ulam. Pelepah berdaun kecil yang mempu-nyai spora biasanya tidak dimakan, manakala warna pelepah berbeza dari hijau muda kepada hijau tua atau kemerah-merahan.
Pelepah subur dan warna merah terhasil daripada tindak balas kepada pertukaran persekitaran yang tidak menentu seperti cuaca dan jerebu.
Di Sarawak, permintaan terhadap paku midin meningkat dengan keadaan tanah berasid dan cuaca yang panas di kebanyakan tempat menggalakkan pertumbuhan paku midin secara semulajadi
Kesedaran awam terhadap makanan kesihatan dan bebas daripada pencemaran mendorong penggunaan dan permintaan semakin meningkat terhadap sayur midin yang tumbuh secara semulajadi.
paku-midin2
Pengambilan sayur midin sebagai makanan dijamin selamat dan mengandungi pelbagai khasiat dengan setiap 100 gram pucuk muda mengandungi 4.8 mg zat besi, selain mengandungi vitamin A (beta karotene) yang penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam.
Selain itu, tumbuhan liar ini kaya dengan mineral terutama fosforus dan kalium. Perubatan secara tradisional percaya pucuk midin mampu mengubati masalah kesihatan seperti penyakit ciri birit dan daunnya yang direbus baik dimakan sebagai ulam.

http://fazlisyam.com 

Comments

Popular posts from this blog