HIASI IBADAHMU BERPANGKAL DALAM HATI

 

Setiap kejadian sesuatu fenomena alam itu semestinya ada permulaannya dan ada penghu jungnya atau penyudahnya. Adalah menjadi kewajipan setiap insan untuk mengetahui asal usul kejadian sesuatu itu sebelum melaksanakan ibadah. Ilmu itu adalah kedatangan sesuatu makna maka ibadah juga melakarkan sesuatu makna dalam hidup. Ibadah itu mestilah dirasai oleh hati orang yang beribadah.

Kita melaksanakan ibadah (bekerja) untuk tujuan sesuatu kerana melihat dari pengalaman orang lain yang ibadahnya membuahkan kemurnian hidup. Ibadah itu adalah satu bentuk amanah Allah. Semakin banyak ibadah kita laksanakan semakin baik kedudukan kita dalam masyarakat. Menolong orang yang wajib ditolong adalah ibadah kerana dengan cara itulah ukhuwah kemanusiaannya dapat disemaikan dalam bermasyarakat.

Kelohan orang kaya kerana tidak berjaya mendapatkan peluang yang menguntungkan dalam bisnesnya, Tuhan tidak suka kerana ibadahnya mementingkan peribadi semata! Kelohan orang berdosa kerana dosanya Tuhan amat suka. Lebih-lebih lagi apabila gugurnya air matanya kerana menangis mengenangkan dosa-dosanya yang kelak akan memadamkan api Neraka. 

Takut kepada Tuhan kalau-kalau terbuat salah atau takut tidak diampunkan dosa adalah ibadah. Walaubagaimanapun Ibadah belum tentu bersifat ibadah kerana ibadah itu mestilah dirasai oleh hati orang yang beribadah. Dalam erti kata lain ia khusyuk dalam melaksanakan ibadahnya.

Penghayatan itu adalah kerja hati. Kalau fisikal sahaja yang nampaknya beribadah tanpa dirasai dalam hati ibadahnya tidak ada erti apa-apa kerana tidak sampai kepada Allah. Tuhan tidak pandang rangka tapi pandang isinya. Rangka cantik macam mana sekalipun tidak ada isi, tidak ada erti apa-apa. Rasa bertuhan dibawa ke mana-mana ini adalah ibadah batin. Pahalanya sentiasa mengalir selagi ada rasa dalam hati dan khusyuk. 

Rasa hambah, dan tiada kuasa, dibawa ke mana-mana, adalah juga ibadah batin. Rasa hamba itulah sifat insan yang bertakwa sebenarnya. Janganlah sifat hamba itu ditukar kepada sifat tuan atau ketuhanan. Itu sombong namanya. Allah tidak suka sifat sombong seperti mana perlakuan iblis ingkar sujud, tanda hormat kepada makhluk manusia (Adam). Akibatnya iblis disingkir oleh Allah dari syurga-Nya dan diambil segala keistemewaan hidupnya.

Mengapakah manusia bermasyarakat dan bersosial? Manusia tidak senang seorangan tanpa teman seperti mana Adam, manusia pertama, telah mengalami sebelum Allah wujudkan Hawa sebagai temannya. Kehadiran orang lainlah yang memotivasikan kita berfikir dan melaksanakan ibadah. 

Amal ibadahnya yang telah membuahkan kebahagian hidup mendorong orang lain untuk mencontohinya. Pepatah mengatakan: “Two heads are better than one” memberi kefahaman bahawa berfikir seorangan tidak sebaik dengan berfikir lebih daripada satu. Kita perlukan teman untuk mengolah pemikiran kita untuk menemukan solusi penyelesaian kepada agenda yang diselesaikan
Percambahan fikiran akan menghasilkan kemenangan pada satu-satu ibadah. Maka itu Islam menggalakkan masyarakat mukmin membina ukhuwah kemanusiaan demi menyatukan kekompakan solidaritas sosial. Membina sebuah bangunan saja pun kita bermula dengan sebiji bata, kemudian diikuti dengan menyusun beberapa bata, satu di atas yang lain, sehinggalah tegak nya sebuah bangunan yang indah untuk kegunaan berbagai keperluan pembangunan.

Kalaulah sebiji bata itu ibarat ibadah seseorang maka bata-bata yang berikutnya akan mengikuti ibadah yang telah dilaksanakan oleh bata-bata sebelumnya. Ini bermakna bata-bata yang bakal menyusul yang disusun kemudian akan melihat ke hujung apa yang telah dilaksanakan oleh bata-bata sebelumnya. 

Begitulah felosofi ibadah wajar bersandarkan kepada sesuatu yang sudah sedia ada. Maka dengan hal yang demikian misi dalam ibadah itu akan ditentukan oleh ibadah yang telah berjaya dilaksanakan. Dalam urutan perlaksanaan ibadah menuju kepada kemurnian pembangunan hidup di alam dunia, Allah telah bekalkan manusia dengan kekusaan dan kemurnian kemahiran berfikir serta roh akal yang akan memimpin individu di landasan yang diredhai Allah S.W.T.. Tanpa roh akal yang berperanan dalam perlaksanaan ibadah, akan tergelincir dari landasan yang menuju kebahagian hidup di akhirat kelak. 

Kita hidup di alam dunia bukan seorangan tetapi, kita dikelilingi dengan makhluk yang bersifat ghaib. Mereka sentiasa cemburu terhadap ibadah yang akan memurnikan kehidupan individu berkenaan. Makhluk yang ghaib seperti iblis dan syaitan, telah mendapat keizinan dari Allah S.W.T. untuk memporak-porandakan kehidupan manusia sebagai tanda rasa dendamnya, kerana gara-gara Adam, manusia pertama yang diwjudkan Allah sebagai khalifah-Nya, makhluk iblis telah dikeluarkan dari syurga oleh Allah S.W.T.. Maka itu wajar laksanakan ibadah dengan khusyuk dan tawadhu. 

Setiap ibadah wajar bersandar kepada al-Qur’an dan al-Hadith. Apabila penyelidikan atau pengkajian untuk mengetahui sesuatu dengan sedalam-dalamnya yang biasa dipanggil sebagai ijtihad, terutama hal agama, wajar merujuk kembali kepada asasnya iaitu al-Qur’an dan Hadith. Ada suara-suara sumbang beranggapan bahawa dengan kembali ke sumber asal, akan meng akibatkan lumpuhnya kreativiti dalam berijtihad. Buah fikiran demikian tentu sahaja tidak ada dasarnya, dan tidak perlu dipertahankan.

Nash-nash yang dijadikan sumber hukum, menyangkut hal-hal yang umum, kecuali masalah ibadah dan keluarga yang tidak banyak mengalami perubahan. Sedangkan syari’at datang dengan membawa hukum-hukum yang terperinci. Sebahagian besar dari nash-nash yang ada, mempunyai akhlak yang rasional, dapat menerima lebih dari satu ketetapan, baik nash-nash al-Qur’an mahupun nash-nash al-Hadith.

Konsep pendidikan Islam adalah pembelajaran sepanjang hayat yang menjadikan al-Qur’an dan as-sunnah sebagai acuan dasar dan landasan. Ia merangkumi akidah, syariah, akhlak, muamalat dan sangat bergantung kepada asuhan yang bermula daripada dalam keluarga, para guru di sekolah, kebijakan kerajaan yang berkuasa dan masyarakat.

Ibubapa adalah guru dan pendidik yang pertama dan utama. Maka itu adalah menjadi tanggugjawab mereka untuk mendidik anak-anak seawal yang mungkin sekurang-kurangnya dalam perkara tauhid, dan akhlak. Ini adalah suatu kewajipan di sisi agama Islam dan sekali gus amanah daripada Allah S.W.T.

Faktor-faktor lain bagi memastikan kejayaan pendidikan dan perjalanan hidup anak adalah ibubapa seharusnya mampu menciptakan sakinah dan damai di dalam rumah, memberi nafkah dengan rezeki yang halal dan sentiasa mendoakan anak-anak mereka semoga berjaya dalam bidang yang diceburinya dalam hidup. 

Kegagalan ibubapa di dalam mendidik anak disebabkan oleh beberapa faktor. Pada umumnya kegagalan itu berpunca daripada faktor dalaman seperti kecuaian mereka, semakin hilangnya gahirah ibubapa terhadap anaknya. Rezeki (nafkah) yang haram, keruntuhan keluarga seperti pergaduhan dan perceraian dan lain-lain.

Bagi mengatasi masalah ini jalan penyelesaiannya hanya dengan kembali kepada ajaran al-Qur’an dan mengikuti tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. dengan cara masing-masing pihak mema hami dan menjalankan hak-hak dan kewajipannya sendiri.

Terpenting dalam memahami kehidupan adalah memahami hakikat manusia itu sebagai makhluk Tuhan yang diwujudkan Allah sebagai hamba-Nya. Aristotles, ahli falsafah Greek yang terkenal memandang manusia mempunyai komponen-komponen yang menggambar hakikat manusia seperti hakikat kehidupan (asal kejadian, potensi dan keistimewaan yang dimiliki), rahsia roh dan akal. Fenomena yang mengeistemewakan makluk manusia daripada haiwan-haiwan lain adalah fikirannya. Oleh kerana itu, dia mendifinasikan manusia sebagai haiwan yang berfikir (thinking animal). 

Antropologi berpendapat bahawa ciri khas manusia adalah kesedaran dan kemahuannya untuk berteknik, membuat sesuatu yang baru daripada benda-benda yang telah ada, kemudian mengolahnya untuk pembaikan status hidupnya. Maka manusia difahami sebagai makhluk berteknik.

Pehak lain pula terutama ahli sosiologi melihat manusia itu tidak mampu untuk hidup sendiri. Ia harus mempunyai hubungan antara satu sama lain sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung dengan orang atau pihak lain, bahkan ia menjadi sedar akan dirinya kerana adanya orang lain. Maka itu manusia adalah makhluk bersosial.

Para ahli dalam bidang etika berpendapat bahawa ciri khas yang memisahkan manusia dengan makhluk lain adalah tanggungjawabnya. Ia dituntut oleh hati nuraninya, lingkungan sosialnya dan oleh Tuhan untuk mempertanggungjawabkan segala tindakannya. Dengan demikian makhluk ini adalah makhluk yang bertanggungjawab.

Definisi-definisi tersebut menggambarkan keistimewaan manusia yang mempunyai potentsi dan kemampuan yang dimilikianya. Walaubagaimanapun seiring dengan kesanggupan atau kemampuan tersebut, manusia menunjukkan keterbatasannya dalam mengola kehidupannya. Maka itu memaksanya untuk berfikir tentang dirinya sendiri dalam berhadapan dengan suatu kekuatan yang supernatural yang tidak terhad, yang mengatur alam ini dengan segala isinya termasuk manusia sendiri. 

Bukan sahaja menghadapkan dirinya kepada ‘superpower’ tersebut tetapi juga menyerah kan dirinya kepada fenomena tersebut yang demikiannya hidup manusia selalu diliputi oleh suasana religious (suasana percaya) dan patuh pada kukuatan supernatural tersebut yang kita namai “Tuhan”. Maka itu para ahli agama menyimpulkan bahawa manusia adalah makhluk beragama. 

Al-Qur’an menjelaskan bahawa manusia diciptakan daripada tanah dan setelah sempurna kejadiannya, dihembuskan kepadanya roh ciptaan Allah S.W.T. (Sad:71 – 72). Dari sini jelas bahawa manusia terdiri daripada dua unsur utama iaitu gumpalan tanah dan hembusan roh. Ia perpaduan daripada dua unsur tersebut yang tidak dapat dipisahkan. Bila dipisahkan , maka ia bukan lagi manusia, sebagaimana halnya air, yang merupakan perpaduan antara oksigen dan hydrogen, dalam kadar-kadar tertentu bila salah satu di antaranya terpisah maka ia bukan air.

Dalam melaksanakan ibadah, manusia wajar kembali memikirkan asal usulnya maka disitulah ibadah itu mempunyai keterikatannya kepada kekuasaan Allah S.W.T.. Di dalam ayat yang lain, dijelaskan bahawa sebelum diciptakannya manusia, Allah S.W.T. telah menyampai kan rancangan penciptaan ini kepada malaikat iaitu agar makhluk ini menjadi khalifah (kuasa atau wakil) Allah S.W.T. di bumi. (Al-Baqarah: 30). 

Maka itu jelas bahawa hakikat kewujudan manusia dalam kehidupan ini adalah melaksanakan tugas kekhalifahan; membangun dan mengola dunia ini sesuai dengan kehendak Allah S.W.T.. Kerananya ditetapkanlah tujuan hidupnya, yakni mengabdikan kepada Allah S.W.T.. (Adz-Dzariyat: 56). 

Masa hidup di dunia adalah buat seketika sahaja iaitu sebatas umurnya yang Allah telah tentukan kepada setiap individu maka itu rebutlah peluang yang ada untuk mengisikan ruang masa dengan ibadah berpangkal dalam hati. Selamat melaksanakan ibadah Puasa dalam bulan suci Ramadan ini, semoga segala dosa diampunkan Allah S.W.T. InsyaAllah. 
 
http://bicaramindafarid.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog