KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT
oleh : Amru Alhaz Bin Adnan

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan  ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki  dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus   yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat  Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli  dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua.
( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya  aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana  terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani  kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang.  Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .
 



KESABARAN DAN PENGORBANAN DALAM PEKERJAAN
Oleh: Amru Alhaz Bin Adnan

Pengorbanan merupakan satu ungkapan yang menjelaskan kesediaan dan penyerahan diri seseorang individu tanpa ada sebarang paksaan. Pengorbanan lahir dari jiwa yang ikhlas dan sudah tentunya tidak mengharap sebarang balasan. Rukun Islam yang lima sejak awal lagi membawa erti pengorbanan. Islamnya seseorang melalui kalimah syahadah bermakna seseorang itu telah menyerahkan diri dan mengorbankan seluruh roh dan jiwa  mengakui keesaan Allah. Melalui ibadah solat, seseorang itu sebenarnya telah mengorbankan masa dan tenaganya untuk menyembah Allah. Ibadah puasa yang baru saja kita tempuhi juga membawa mesej pengorbanan seseorang hamba meninggalkan nikmat nafsu syahwat dan makan minum seketika semata-mata memenuhi tuntutan agama. Begitu juga dengan ibadah zakat, kita mengorbankan harta benda dan wang milikan kita cintai. Dan yang terakhir sekali atau puncak pengorbanan seorang muslim itu ialah menunaikan Fardhu Haji di Makkah. Kesanggupan mengorbankan dunia yang fana inilah yang mendorong jutaan manusia memenuhi lambaian kaabah pada setiap tahun. Pengembaraan ritual ini simbolik penyerahan diri zahir dan batin. Mana tidaknya, wang ringgit, keluarga tercinta, tenaga, masa, urusan perniagaan dan segala yang kita ada dikorbankan hanya kerana Allah. Hal yang demikian ini pastinya tidak mampu terlaksana tanpa sifat ikhlas dalam diri kita.
Konsep pengorbanan bukan hanya terbatas pada ibadah semata-mata bahkan ia harus diterapkan dalam apa saja pekerjaan termasuk dalam menjalankan tugas. Pengorbanan dalam menjalankan tugas mencerminkan keikhlasan seterusnya manjadikannya sebagai salah satu ibadah. Seseorang yang hanya melakukan satu pekerjaan semata-mata untuk mendapat habuan dan faedah bukan merupakan pekerja yang cemerlang. Saya suka menyentuh pengorbanan dari sudut perspektif seorang penjawat awam memandangkan gaji dan upah yang diterima pada setiap bulan merupakan wang rakyat dan ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh kerajaan. Berbeza dengan penjawat awam yang berorentasikan perkhidmatan, mereka yang bekerja di sektor swasta pula berorentasikan perniagaan dan dibayar dengan wang hasil keuntungan syarikat.
Jika diteliti rata-rata di kebanyakan jabatan kerajaan, tidak ramai yang sanggup mengorbankan sedikit masa dan tenaga di luar waktu atau bidang tugasnya. Sebagai contoh mereka mula memikirkan bayaran lebih masa atau mencipta alasan apabila diarahkan bertugas di luar waktu pejabat. Antara puncanya ialah disebabkan tiadanya rasa ikhlas atau tidak merasakan bahawa kerja itu juga merupakan satu ibadah yang dibayar pahalanya oleh Allah.
Umum mengetahui, ibadah terbahagi kepada dua, iaitu Ibadah Khusus dan Ibadah Umum. Ibadah Khusus ialah seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat, bersedekah. Ibadah Umum pula ialah setiap perkara harus yang dilakukan dan mendatangkan kebaikan di samping keredhaan Allah. Justeru setiap pekerjaan yang kita lakukan akan sentiasa mendapat pahala selagi mana ia mendatangkan kebaikan apatah lagi dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak terlalu berkira dan mengharapkan pujian dan balasan
Jika diteliti dalam sirah, kita boleh mengambil contoh pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Musa ketika mana dia dikahwinkan dengan salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib ( Mengikut pendapat sebahagian ulamak) baginda disyaratkan untuk bekerja mengembala ternakan kepunyakan Nabi Syuaib selama 8 tahun sebagai ganti mahar. Namun  Nabi Allah Musa secara sukarela menambah bilangan tahun dan menggenapkannya selama 10 tahun sedangkan pada ketika itu baginda sangat rindu untuk kembali kepada keluarganya di Mesir.
Pengorbanan seperti inilah yang dicari dan ianya tidak mustahil seandainya setiap daripada kita meletakkan niat bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Taubah ayat 105 yang bermaksud:
Dan katakanlah wahai Muhammad “ Beramallah / bekerjalah  kamu (akan segala yang diperintahkan ) maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara –perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
 
BERHARI RAYA MENURUT SUNNAH NABI
Oleh: Amru Alhaz Bin Adnan

Setelah genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza,. Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik. Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama.  Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti  umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi  berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut  hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri  dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:
"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Amalan Bertakbir
Amalan bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan  Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal  (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."   Surah al-Baqarah : 185

Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga  yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.

Satu perkata yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam  di mata masyarakat bukan Islam.

Lafaz Ucapan Hari Raya
Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam  meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan  ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal 1431h pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.

Etika Pemakaian
Umum mengetahui,  merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."


Adapun bagi  kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada  memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang  terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan  serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." ( Hadis riwayat al-Nasaai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..

Kesimpulannya, Setiap usaha dan amalan yang bertujuan meneladani sunnah merupakan batu loncatan kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad S.A.W. Percayalah, amalan sunnah itu dirasakan sesuatu yang asing kerana kita selaku Umat Islam sendiri yang menjadikannya asing. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma ini dapat disambut dengan penuh penghayatan dan kemeriahan  selari dengan perintah Allah dan RasulNya.

Comments

Popular posts from this blog