MENTERI-MENTERI BESAR PERLIS



DATO' DR MD ISA BIN SABU (DPMP) MENTERI BESAR PERLIS YANG KE-9

KANGAR: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis kecuali Adun Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir pada majlis angkat sumpah Dato’ Dr. Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar di Istana Diraja Arau. Md Isa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-9 di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, kira-kira jam 5.40 petang tadi, diiringi YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Osman dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Abdul Rasid Sudin.

Turut hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin. Istana Diraja Arau mengesahkan perlantikan itu adalah menurut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Sumber berkata, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin bersetuju melantik Md Isa sebagai Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.
8 Adun yang menyokong perlantikan Md Isa sebagai Menteri Besar ialah Ahmad Bakri Ali(Kayang), Jamil Saad (Sena), Mat Hassan (Kuala Perlis), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Yin Sun Onn (Titi Tinggi), Mat Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan) dan Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail (Pauh) dan seorang Adun PAS dari Simpang Empat, Ros’sele Eizan, hadir di majlis berkenaan.

Manakala 4 Adun yang memihak kepada Shahidan ketika kontroversi perlantikan Menteri Besar ialah Khairi Hassan (Mata Ayer), Mansor Jusoh (Chuping), Abdullah Hassa(Sanglang) dan Jafperi Othman (Guar Sanji), hadir sama di majlis itu.

Biodata

* Nama penuh: Dato’ Dr. Md Isa bin Sabu (DPMP)
* Umur: 61 tahun
* Tempat Lahir: Kampung Kechur, Kangar, Perlis
* Isteri: Datin Asiah binti Asmuni
* Anak: 6 orang
* Alamat: No. 22 Jalan Ilmu, Taman Guru Jaya, 01000 Kangar, Perlis
* Pendidikan:
- Graduate Universiti Sains Malaysia (USM)
- Malayan Teachers College, Penang

* Kerjaya:
- Bekas Guru
- Okt 1990 : Exco Kerajaan Negeri Perlis, Pengerusi Pertanian
- Dis 1999 : Exco Kerajaan Negeri Perlis, Pengerusi Pelancongan dan Alam Sekitar
- 17/03/2008 : Menteri Besar Perlis

* Politik:
- 1969 : Memasuki Umno
- 1986 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-7 (vs Mohd Abidin bin Halifah - PAS)
- 1990 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-8 (vs Murshid bin Haji Mohamad - PAS)
- Sept 1993 : Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar
- 1995 : Ahli Parlimen di P2 kerusi Kangar, PRU ke-9 (vs Aziz bin Shariff - PAS)
- 1999 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-10 (vs Abdul bin Zakaria - PAS)
- 2004: Tidak bertanding, PRU ke-11.

Y.M. DATO’ RAJA HAJI AHMAD BIN RAJA ENDUT O.B.E.; P.J.K.
(MENTERI BESAR PERLIS PERTAMA)
Dilahirkan pada 15 Jun 1892 di Kuala Kangsar, Perak. Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu dan peringkat Menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Y.M. Dato’ Raja Haji Ahmad merupakan Menteri Besar yang pertama setelah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Menteri Besar ketika itu ditentukan oleh pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan taraf atau kedudukannya adalah sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan sahaja.

Kerjayanya bermula pada tahun 1913 apabila beliau telah memasuki Perkhidmatan Kerajaan Melayu ( MAS ). Pada tahun 1932, telah dilantik menjadi Pegawai Perkhidmatan Malaya ( MCS ). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Larut dan Matang. Y.M Dato’ Raja Haji Ahmad bin Raja Endut O.B.E ; P.J.K menjawat jawatan Menteri Besar Perlis bermula pada 1 Februari 1948 hingga 20 September 1954.

Y.M. DATO’ LAKSAMANA HJ. MOHD. RAZALI BIN HJ. MOHD. ALI-WASI
(ORANG KAYA LAKSAMANA RAJA MAHKOTA) MENTERI BESAR PERLIS KEDUA
Dilahirkan pada 6 November 1903 di Telok Anson (Teluk Intan), Perak.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak (MCKK). Memasuki bidang perkhidmatan awam sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Perak. Setelah itu, beliau ditugaskan sebagai Pesuruhjaya Tanah di Kedah sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Selangor dan Perak. Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di beberapa tempat. Pada tahun 1956, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jabatan Perkhidmatan Awam dan Timbalan Pengerusi Loteri Kebajikan Masyarakat.

Pada tahun 1951 hingga 1952, beliau dilantik menjadi Pemangku Menteri Besar Perak sebanyak tiga kali dan pada tahun 1954 – 1955 menjadi Menteri Besar Perlis yang ke dua sehingga 30 April 1955. Beliau merupakan seorang Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dilantik menjadi Menteri Besar.


DATO’ ABDULLAH BIN SAHAT J.M.N.; P.J.K. ( MENTERI BESAR KETIGA
Dilahirkan pada 21 Disember 1911 di Parit Buntar, Perak. Mendapat pendidikan awal di salah sebuah sekolah di Perak dan lulus Senior Cambridge. Memulakan kerjaya pada tahun 1932 sebagai Pegawai Pentadbiran Melayu. Pada tahun 1949, bertugas di Perkhidmatan Awam Malaya sebelum ditawarkan sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pekan, Pahang. Selepas itu, beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Perlis. Pada tahun 1955, beliau memangku jawatan Menteri Besar sebelum ditawarkan sebagai Menteri Besar Perlis ketiga sehingga tahun 1959.

Selepas bersara, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran pada tahun 1964 dan pernah menjawat jawatan AJK Majlis Dewan Bahasa Dan Pustaka, AJK Kerja Pelajaran Agama Islam dan beliau adalah salah seorang Pengarah di Persatuan Barah Kebangsaan.

TAN SRI DATO’ SHEIKH AHMAD BIN MOHD.HASHIM S.P.M.P.; S.M.J.K.; P.M.N.; P.J.K.; J.P. (MENTERI BESAR PERLIS YANG KEEMPAT)
Dilahirkan pada 26 Disember 1896 di Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Chowraster, Pulau Pinang dan seterusnya ke Sekolah Rendah Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau meneruskan pelajarannya di Victoria Institution, Kuala Lumpur hingga darjah VII dan lulus Senior Cambridge. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Teknik, Kuala Lumpur. Memulakan kerjaya sebagai juruaudit di Kedah sebelum berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Perlis selama 38 tahun dalam bidang perkeranian di Jabatan Kastam Negeri Perlis, Pejabat Penasihat British (B.A) dan Jabatan Audit. Disebabkan kecekapannya, beliau dilantik sebagai Penolong Juruaudit dan membantu Penasihat British dalam pentadbiran kewangan. Beliau mula melibatkan diri dalam bidang politik semenjak tahun 1946. Beliau juga telah mengasaskan Koperasi Kerjasama Kakitangan bersama tokoh-tokoh lain di Perlis. Koperasi ini kemudiannya bergabung menjadi Bank Persatuan Kerjasama dan ia menjadi asas kepada penubuhan Bank Agung (tahun 1954) dan beliau telah diberikan penghormatan iaitu dilantik menjadi pengerusinya yang pertama.

Beliau juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya. Jasanya bukan sahaja sebagai Ketua Kerajaan Perlis selepas merdeka tetapi juga sebagai tokoh yang berjasa di peringkat kebangsaan melalui peranannya sebagai Ahli Dewan Undangan Persekutuan, Pengerusi Bank Agung, Pengerusi Kongres Koperasi Tanah Melayu, Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Ahli Jemaah Haji dan Tokoh Diplomat. Tan Sri Dato’ Sheikh Ahmad kembali ke rahmatullah pada 4 Disember 1982 ketika berusia 85 tahun.

DATUK JAAFAR BIN HASSAN S.P.M.P.; D.A. (SARAWAK), P.J.K.; J.P.
MENTERI BESAR PERLIS YANG KELIMA
Dilahirkan pada 16 Mei 1925 di Kampung Jarak, Mukim Bintong, Kangar, Perlis. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bintong. Selepas tamat persekolahan, beliau menjadi guru pelatih dan bertugas di Sekolah Melayu Kayang sebelum ditawarkan mengikuti pendidikan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.. Pengajiannya tidak dapat diteruskan akibat peperangan dunia dan ketika itu Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Beliau diberi peluang menjadi Penolong Penghulu di Mukim Kayang dan seterusnya dilantik sebagai Penghulu di Beseri selama 16 tahun. Datuk Jaafar juga mengikuti kursus pentadbiran dan pertanian di Pusat Pertanian Serdang, Selangor pada sesi 1948-1949. Pada akhir tahun 1950-an, beliau diberikan tugas sebagai Setiausaha Kebajikan Negeri ber Ibu pejabat di Sekretariat dan merupakan jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri (SCS).

Di atas semangat untuk memajukan diri dalam bidang akademik, beliau telah mendapat pangkat dua dalam Senior Cambridge setelah berusaha sendiri dan mengikuti kelas bimbingan pada waktu malam bagi mengikuti kelas Bahasa Inggeris. Berkelulusan Ijazah Undang-Undang dari Lincoln’s Inn, London pada tahun 1961. Beliau memegang jawatan Pengadil Litar di Mahkamah Kangar sebelum menceburkan diri dalam bidang guaman dengan menjadi Peguambela dan Peguamcara di Alor Setar dan Kangar sambil bergiat dalam politik di Perlis. Pada tahun 1969, beliau telah memenangi pilihanraya kawasan Sanglang dan telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Sheikh Ahmad Mohd Hashim. Selepas Dato’ Sheikh Ahmad mengundurkan diri, beliau dilantik menjadi Menteri Besar yang kelima. Beliau pulang ke rahmatullah pada 25 September 1987.

DATUK HJ. ALI BIN HJ. AHMAD A.M.P.; P.P.L.; J.P.; J.C.
MENTERI BESAR PERLIS YANG KEENAM
Dilahirkan pada 28 Januari 1925 di Kampung Behor Temak, Kangar, Perlis. Berpendidikan Sekolah Melayu dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Memulakan khidmat dengan kerajaan sebagai guru. Akhirnya dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Rendah Tengku Budriah, Perlis. Mula berkecimpung dalam bidang politik sejak tahun 1946. Kemudian dilantik menjadi senator pada 1976 hingga 1978 selepas bersara. Pada tahun 1978, beliau telah memenangi pilihanraya negeri dan dilantik menjadi ahli EXCO Negeri Perlis.


TAN SRI DR. ABDUL HAMID BIN PAWANTEH P.S.M.; S.P.M.P.
MENTERI BESAR PERLIS YANG KETUJUH
Dilahirkan pada 27 Julai 1944 di Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran ke Penang Free School. Oleh kerana minat yang mendalam di dalam bidang perubatan, beliau telah menyambungkan pelajaran ke Decca College Karachi dan akhirnya memperolehi Ijazah Kedoktoran MBBS dari Universiti Dow Medical College, Karachi. Memulakan kerjaya di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) sekembalinya ke tanah air. Seterusnya beliau berkhidmat di Hospital Kangar sebelum membuka klinik sendiri. Selepas itu, beliau menceburi bidang politik di Perlis. Menjadi Menteri Besar Perlis sejak Ogos 1986 hingga 1995 dan projek menambak laut (reclamation) di sepanjang pantai Perlis dijadikan projek contoh.


 DATO’ SERI SHAHIDAN BIN KASSIM S.P.M.P.; A.M.P.
MENTERI BESAR PERLIS YANG KELAPAN
Dilahirkan pada 17 Jun 1951 di Tambun Tulang, Perlis. Berpendidikan awal
di Sekolah Rendah Kebangsaan Tambun Tulang, Perlis dan peringkat Menengah di Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad, Perlis. Selepas itu beliau ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sejarah pada tahun 1973. Pada tahun 1974, beliau bertugas di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur. Kemudian bertugas di Pejabat Perbendaharaan Kuala Lumpur selama setahun bermula dari 1975. Dari tahun 1977 sehingga 1980, beliau ditukarkan ke Perlis sebagai Pegawai Kemajuan Negeri. Kemudiannya, beliau ke Kementerian Pertanian pada tahun 1980.

Seterusnya pada tahun 1982, beliau meneruskan pelajaran di Universiti Of Holland dalam bidang Pengajian Pembangunan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pengajian Pembangunan. Sekembalinya ke tanah air beliau ditempatkan di Kementerian Tanah di Kuala Lumpur sebagai KPSU. Beliau mula menceburi bidang politik secara aktif pada tahun 1986 dan menjadi Ahli Parlimen. Pada tahun 1987 dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Kuala Lumpur sebelum memenangi pilihanraya pada tahun 1995. Sebagai seorang Menteri Besar yang berdedikasi dan berpengalaman, beliau banyak mencurahkan bakti demi membela nasib masyarakat di Perlis. Beliau menjadi penaung dan penasihat kepada beberapa buah universiti tempatan dan menjadi pengerusi kepada Majlis Kebajikan Negeri termasuk mengendali dan menguruskan segala urusan anak-anak yatim, orang-orang cacat dan lain-lain lagi. 

Perlis, Kubang Pasu, Kedah dan Setul suatu masa dahulu merupakan sebuah jajahan di bawah Kesultanan Kedah. Memandangkan bahawa Perlis hanya sebuah jajahan maka ianya jarang diketengahkan bahkan Perlis disebut secara umum sebagai “Negeri Kedah dan jajahan takhluknya”. Walau bagaimana pun, Perlis mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia pernah muncul sebagai jajahan terpenting apabila Kota Sena dan Kota Kayang menjadi pusat pemerintahan Negeri Kedah sekitar tahun 1653 hingga 1687.


Keadaan menjadi huru-hara apabila Siam mula menyerang negeri Kedah dan jajahannya pada tahun 1821. Ianya berlanjutan sehingga mengorbankan beribu-ribu nyawa orang Melayu tempatan dan juga tentera Siam. Kemuncak pertempuran berakhir sekitar tahun 1838 -1839 apabila pihak Siam membuat keputusan menyerahkan kembali pentadbiran Kedah dan jajahannya kepada orang Melayu tempatan tetapi ianya akan dinaugi oleh Kerajaan Siam.

Kerajaaan Siam telah membahagikan negeri Kedah dan jajahannya kepada empat buah negeri yang berasingan dikenali sebagai negeri Kedah, negeri Kubang Pasu, negeri Setul dan negeri Perlis. Negeri-negeri tersebut akan ditadbir oleh gabenor masing-masing dan Gabenor Perlis pertama ialah Tuan Syed Hussin Jamalullail. Oleh kerana itu, status Perlis dahulunya hanya sebuah ‘jajahan’ telah bertukar menjadi sebuah ‘negeri’ yang mempunyai unit politiknya tersendiri yang diberi mandat oleh Kerajaan Siam.
Terdapat beberapa hipotesis yang diambil daripada cerita lisan dan hasil tulisan berkenaan asal-usul nama negeri Perlis. Antaranya ia dikaitkan berasal daripada perkataan Siam iaitu ‘Prow-lowy’; perkataan Melayu loghat utara ‘Perlus’; nama manusia ‘Tok Perlis’ ; nama batu ‘Perlit’ dan daripada nama pokok ‘ Pokok Perlis’. Walau bagaimanapun, tegasnya setiap sumber mempunyai ceritanya tersendiri untuk menguatkan hujah masing-masing.
http://d40xn.blogspot.com/

Comments

Popular posts from this blog