Tiada siapa terkecuali ujian sakaratulmaut
Daripada
Anas ra katanya, “Tatkala Nabi SAW sedang sakit tenat, Fatimah ra
berkata: “Alangkah menderitanya ayahku.” (pada masa itu Nabi Muhammad
SAW mendengar) lalu Baginda bersabda: “Ayah tidak menempuh kesusahan
lagi selepas hari ini.”
Kemudian selepas wafat Rasulullah SAW Fatimah ra berkata: “Oh ayah”
dia sudah menyahut panggilan Tuhannya, “Oh ayah! Syurga Firdauslah
tempatnya”, “Oh ayah! Kepada Jibril kami khabarkan.” Apabila Rasulullah
SAW telah dimakamkan Fatimah ra berkata: “Wahai Anas, adakah senang hati
kamu menimbus tanah ke atas Rasulullah SAW?”
Islam menggariskan beberapa panduan tertentu bagi umat yang menghadapi musibah kehilangan orang tersayang.
Boleh lahirkan kesedihan
Islam membenarkan umatnya melahirkan kesedihan terhadap jenazah tanpa
jeritan atau ratapan seperti agama lain. Ini kerana tindakan itu
seolah-olah menunjukkan rasa tiada reda dengan takdir yang ditetapkan
Allah.
Hadis ini menggambarkan kesabaran seorang anak menghadap ayah tercinta yang sedang sakit tenat dan meninggal.
Kata-katanya Saidatina Fatimah ra selepas Rasulullah dikebumikan
adalah untuk menggambarkan rasa dukacitanya bukannya membantah ketentuan
Allah.
Menurut huraian ulama, Allah menjadikan nabi-nabi dan wali-Nya menderita sukar menghadapi sakaratul maut hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka. Bagaimanapun, bagi orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakaratulmaut adalah sebagai kaffarah (penghapus dosa) daripada kesalahan yang mereka lakukan.
Diuji hadapi sakaratulmaut
Walaupun Nabi Muhammad kekasih Allah, Baginda juga diuji ketika menghadapi sakaratulmaut untuk meningkatkan darjatnya.
Malah, isteri tercinta Baginda, Aisyah turut menggambarkan kesakitan
yang dihadapi Rasulullah ketika menghadapi kematian dengan katanya: “Aku
melihat Nabi SAW ketika Baginda hampir wafat dan di sisinya sebuah
bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu
lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: “Ya Tuhanku! Berilah
aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau sakaratulmaut
(yang sedang aku hadapi)”.
Sakaratulmaut adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dengan
keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.
Ia akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan pelbagai cara sama
ada yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang. Berdasarkan hadis
ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan mengenai beratnya
sakaratulmaut itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula
menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar.
Malah, ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi
Allah SWT, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia
semata-mata.
Pentingnya mengingati dan menginsafi kematian ini sehinggakan
perbuatan mengiringi jenazah termasuk enam daripada kewajipan orang
Islam terhadap orang Islam lain seperti yang digambarkan dalam hadis
daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan
orang Islam kepada orang Islam yang lain ada lima perkara menjawab
salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan
mendoakan orang bersin”.
http://epondok.wordpress.com
Comments
Post a Comment