Awasi ‘jerat’ judi permainan
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Gambar HAYAT SUEET
Gambar HAYAT SUEET
Akibat kekurangan ilmu ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan perjudian. – Gambar hiasan
|
PENGHARAMAN judi bukanlah perkara baru dalam Islam. Majoriti umat
Islam menyedari tentang kegiatan perjudian konvensional seperti membeli
nombor ekor, lumba kuda, mesin slot, jackpot dan sebagainya.
Pada asasnya, para fuqaha sepakat bahawa hukum asal pertandingan
adalah harus. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 60 surah
al-Anfaal.
Namun, akibat kekurangan ilmu adakalanya tanpa disedari kita turut
terlibat dalam kegiatan perjudian melalui pertandingan-pertandingan,
permainan atau penyertaan dalam kuiz menerusi khidmat pesanan ringkas
(SMS).
Ini berlaku apabila amalan judi tersebut dipasarkan kepada masyarakat dalam bentuk yang tersembunyi dan mengelirukan.
Ahli Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim
berkata, mutakhir pertaruhan dikutip melalui cara yang kadang-kadang
tidak disedari oleh para peserta pertandingan. Antaranya, kata beliau,
ia berselindung di sebalik istilah seperti wang penyertaan, yuran
pertandingan dan sebagainya.
Adakalanya, ia dikutip secara tidak langsung misalnya melalui caj panggilan telefon untuk menyertai sesuatu pertandingan.
“Di dalam semua keadaan di atas, jika pada hakikatnya hadiah yang
disediakan adalah daripada sumber yang dikeluarkan oleh peserta, maka ia
dikira suatu perjudian.
“Contohnya, jika menyertai pertandingan memancing dan hadiahnya
disediakan daripada wang penyertaan, maka ia termasuk dalam perjudian,”
jelasnya dalam kertas kerja Amalan Judi Moden: Isu dan Penilaian Syariah
di Masjid Putra, Putrajaya, baru-baru ini.
Ia sempena Simposium Fiqh Mu’asirah (semasa) bertemakan Perjudian
Dalam Islam: Isu, Cabaran dan Penyelesaian anjuran Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim).
Simposium sehari itu disertai oleh kira-kira 200 peserta daripada
pelbagai latar belakang termasuk pengamal media dan penyedia
perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.
Ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin. Hadir sama, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Mohamad Saari.
Pensyarah Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali pula berkata, ulama silam menyimpulkan judi boleh terjadi dalam beberapa bentuk.
Pertama, maysir al qimar- judi dengan pertaruhan harta yang disepakati adalah maysir yang diharamkan.
Ciri utamanya adalah pemain sama ada menang atau rugi; permainannya
melibatkan pertaruhan harta dan memindah milik harta melalui pertaruhan.
Kedua, maysir al lahw yang disepakati haramnya. Ada sebahagian judi yang tidak melibatkan pertaruhan harta. Contohnya seperti nard, tawilah dan tab.
Ciri utamanya adalah permainan yang semata-mata bergantung kepada nasib dan tidak berdasarkan pemikiran, kiraan dan seumpamanya.
Ketiga, maysir al lahw yang tidak disepakati haramnya.
Para ulama berselisih pandangan tentang hukum permainan yang tidak
melibatkan pertaruhan wang tetapi memerlukan pemainnya berfikir, mengira
dan menilai.
lImam Hanafi mengatakan permainan itu asalnya haram kecuali empat
jenis iaitu lumba kuda, lumba unta, memanah dan permainan antara suami
isteri.
lImam Malik sama dengan pandangan Hanafi. Mengenai catur, Imam Malik
dilaporkan membenci permainan catur dan melarangnya (haram).
lImam Shafie: semua permainan yang bergantung kepada pengiraan,
pemikiran dan perancangan strategik tidak dilarang tetapi makruh.
Syaratnya, tiada pertaruhan, percakapan buruk atau melalaikan solat.
lImam Hambali: semua permainan yang tiada pertaruhan harta selagi
mana tidak mengandungi mudarat atau melalaikan daripada perkara yang
fardu pada asalnya adalah harus.
Katanya lagi, ulama berselisih pendapat mengenai permainan catur yang tidak ada sebarang pertaruhan.
“Imam Malik dan Hanafi mengharamkannya, Imam Syafie berkata ia makruh
dengan syarat permainan itu tidak melengahkan daripada solat, tiada
pertaruhan wang dan tidak bercakap perkara buruk dan keji.
“Imam Hambali pula berpandangan catur sama seperti nard iaitu hukumnya haram. Hukum catur diqiaskan kepada hukum nard,” katanya.
Ada pun tentang pertandingan melagakan haiwan, Dr. Adawiah berkata,
ia adalah haram sama ada melibatkan pertaruhan wang atau tidak.
“Sebabnya ia adalah sia-sia, tidak berfaedah dan menyakitkan haiwan yang terlibat,” tegasnya.
Permainan sukan ekstrem, kata Dr. Adawiyah, dibenarkan dengan syarat
pesertanya adalah ahli dalam sukan itu dan kemungkinan untuk selamat dan
tidak cedera adalah tinggi serta tidak melibatkan pertaruhan wang atau
harta benda.
“Sebaliknya, jika dikhuatiri sukan itu membawa bahaya dan mudarat
kepada pemainnya atau pemainnya bukan ahli dalam sukan itu, maka ia
dilarang dalam semua keadaan sama ada melibatkan pertaruhan atau tidak,”
tambahnya.
Seorang lagi pembentang kertas kerja, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa menarik perhatian peserta apabila membincangkan bab judi dan hak kebebasan asasi.
Katanya, pertimbangan moraliti dan sistem nilai masyarakat berbilang
kaum di negara ini tidak harus dibiarkan terlalu terbuka tanpa merujuk
kepada Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 3(1) Perlembagaan Negara dengan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama negara.
Naser berkata, tafsiran Perkara 3 telah dijelaskan dalam keputusan
beberapa kes mahkamah seperti Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAIWP) dan Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi.
Dalam kes Lina Joy dan MAIWP, Mahkamah Persekutuan memberi tafsiran
yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan
Persekutuan dan memutuskan antara lain seperti berikut:
“Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual
tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang
aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi,
sosial, budaya, moral atau kehakiman”.
Menurut Nasir, ada dakwaan bahawa prinsip Islam tidak boleh
dilaksanakan ke atas bukan Islam kerana melanggar hak kebebasan asasi
kerana Perkara 11 menyatakan dengan jelas bahawa tiap-tiap orang berhak
menganuti dan mengamalkan agamanya, dan tertakluk kepada fasal (4),
mengembangkannya.
“Adakah hak kebebasan beragama orang lain akan terjejas apabila
mengharamkan sesuatu aktiviti yang kelihatan negatif menurut Islam,”
soal beliau.
Walaupun, golongan tersebut mempertahankan perjudian sebagai hak
kebebasan beragama bagi yang bukan Islam, ia jelas adalah perbuatan yang
bercanggah dengan undang-undang dan prinsip moral yang tidak akan
dilindungi di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu
hak kebebasan beragama.
Peruntukan tersebut adalah seperti berikut: Kebebasan beragama,
11(5) Perkata ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang
berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan
ketenteraman awam, kesihatan awal atau prinsip moral.
http://darululumonline.wordpress.com
Comments
Post a Comment